Categories
AGENDA NASIONAL SUKANKINI

Jurulatih Selangor FC mahu pemain kekalkan momentum kemenangan

MELAKA, 19 APRIL: Ketua Jurulatih Selangor FC, Karsten Neitzel mengingatkan pasukannya agar terus mengekalkan momentum setelah meraih kemenangan 3-2 ke atas Melaka United di Stadium Hang Jebat, Krubong di sini, malam tadi.

Meskipun ketinggalan dua gol pada babak pertama dan kedua, Neitzel tetap memuji semangat kental anak buahnya yang tidak berhenti mencuba dan mencipta peluang untuk mengalahkan skuad tuan rumah sehingga wisel penamat ditiupkan.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan itu, Neitzel mengakui beliau sangat berpuas hati setelah pasukan bimbingannya itu berjaya memperoleh tiga mata penuh untuk memastikan pasukannya terus mendaki kedudukan tertinggi liga.

“Kedua-dua pasukan bermain dengan sebaik mungkin, pasukan tuan rumah memberi tentangan hebat buat kami, peluangnya 50-50 tetapi pemain kami tidak menyerah kalah dan bermain dengan lebih konsisten pada babak kedua untuk memberi tekanan kepada tuan rumah.

“Kami mempunyai pemain pengganti yang bagus malam ini, tetapi apa yang lebih penting adalah kerjasama pasukan, mereka tetap fokus hingga ke akhir perlawanan,” katanya pada sidang media di sini, malam tadi.

Pada pertemuan malam tadi, Melaka United mendahului pelawanan menerusi gol dijaringkan penyerang import dari Montenegro, Stefan Nikolic pada masa tambahan babak pertama sebelum The Red Giants menyamakan kedudukan pada minit ke-enam pada babak kedua.

Skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan itu sekali lagi mendahului melalui jaringan oleh Ahmad Syamim Yahya pada minit ke-58, tetapi Selangor sekali lagi mengejar dengan gol penyamaan Ifedayo pada minit ke-70 sebelum mengutip tiga mata penuh menerusi gol kemenangan Muhammad Syahmi Safari pada minit ke-88.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Melaka United FC Zainal Abidin Hassan ternyata kecewa dengan kekalahan kedua berturut-turut pasukan itu di laman sendiri dan katanya kecuaian pada babak akhir permainan mengundang padah kepada pasukannya.

“Kami berjaya menyumbat dua gol mudah dan ia menjadi pengajaran kepada kami. Buat masa ini, kami perlu memperbaiki prestasi pasukan untuk menghadapi perlawanan seterusnya,” katanya.

Selangor FC kini berada pada tangga kelima liga Super 2021 dengan 14 mata manakala Melaka United di tangga ke-10 dengan tujuh mata.

– BERNAMA