Categories
NASIONAL

Bincang isu kesihatan mental belia – Syed Saddiq

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 16 MEI: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan mengadakan perbincangan nasional bagi membincangkan kesihatan mental terutama dalam kalangan belia di negara ini.

Perbincangan itu diadakan ekoran kejadian seorang remaja perempuan yang dipercayai membunuh diri selepas jatuh dari tingkat tiga bangunan kedai di Padawan, Sarawak, baru-baru ini.

Syed Saddiq menerusi laman twitternya berkata, perbincangan itu akan dilaksanakan esok jam 5.30 petang di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Gombak.

“Saya benar-benar bimbang berkenaan keadaan kesihatan mental belia kita. Ia adalah isu kebangsaan yang perlu diambil serius.

“Perbincangan nasional akan diadakan jam 5.30 petang Jumaat (esok). Mari kita berdialog di UIAM Econs Cafe,” tulisnya di laman twitter.

Memetik BERNAMA, Syed Saddiq berkata, kurangnya perbincangan berkaitan masalah dialami belia antara faktor terjadinya kejadian yang tidak diingini seperti membunuh diri.

“Isu ini bukan sahaja menjejaskan Malaysia tetapi seluruh dunia turut terkesan dengan masalah kesihatan mental dialami belia,” katanya dipetik BERNAMA.

Terdahulu, remaja perempuan berusia 16 tahun itu dipercayai memuat naik status di media sosialnya dengan menulis, “Sangat penting, bantu saya memilih “D” atau “L”.

Dipercayai “D” membawa maksud kepada kematian manakala “L” (hidup) dan 69 peratus mengundi “D”.