Categories
AGENDA NASIONAL

Syed Saddiq didakwa pecah amanah dana parti RM1.12 juta

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan pecah amanah dana sebuah parti politik berjumlah RM1 juta, dan menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun, Syed Saddiq, 29, yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang telah diamanahkan penguasaan ke atas dana Armada, telah melakukan pecah amanah ke atas dana itu, dengan membuat pengeluaran wang berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad, tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq juga menghadapi tuduhan menyalahgunakan harta iaitu, wang sumbangan untuk kempen PRU14 sebanyak RM120,000 yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad,Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di antara 8 April sehingga 21 April 2018, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Faridz Gohim Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir serta Mohd ‘Afif Ali.

Syed Saddiq diwakili peguam Gobind Singh Deo, Datuk S. Ambiga dan Haijan Omar.

Terdahulu, Faridz menawarkan jaminan RM500,000 dan RM300,000, masing-masing bagi pertuduhan pecah amanah dan salah guna wang dihadapi Syed Saddiq atas alasan kesalahan dilakukan adalah serius selain memohon supaya pasportnya diserahkan kepada mahkamah serta beliau perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat.

“Tertuduh mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat dan jumlah jaminan juga sepatutnya tinggi kerana dia mendapat liputan media yang meluas. Jumlah jaminan perlu mencerminkan tahap keseriusan kesalahan dilakukan.

“Tertuduh juga mempunyai peluang untuk mengganggu saksi pendakwaan dan jumlah jaminan tinggi bertujuan memastikan tertuduh tidak melarikan diri. Pendakwaan juga memohon perintah mahkamah supaya tertuduh tidak membuat apa-apa komen secara terbuka kerana kes ini telah dituduh dan ia boleh subjudis kepada mahkamah,” katanya.

Bagaimanapun, Gobind membantah jumlah jaminan itu yang disifatkan sangat tinggi dan memohon jaminan RM20,000, masing-masing bagi pertuduhan pecah amanah salah guna wang atas alasan tujuan jaminan hanya untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.

“Anak guam saya adalah seorang berkedudukan tinggi dan seorang MP (Ahli Parlimen) yang aktif di kawasan Muar. Dakwaan bahawa beliau akan mengganggu saksi pendakwaan adalah tuduhan liar berikutan tiada laporan dibuat menunjukkan tertuduh cuba mempengaruhi sesiapa.

“Beliau telah memberi kerjasama kepada pihak SPRM sejak siasatan dilakukan bermula April tahun lepas dan tiada risiko untuk anak guam saya melarikan diri,” katanya yang turut mempersoalkan tindakan pendakwaan menuduh anak guamnya ke mahkamah beberapa hari sebelum Parlimen bersidang, sedangkan pendakwaan memperoleh izin untuk mendakwa anak guamnya ke mahkamah, tujuh bulan lepas.

Berhubung perintah larangan memberi ulasan yang dimohon pendakwaan, Ambiga pula berkata ia bertentangan dengan hak kebebasan bersuara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan perkara itu disokong oleh Gobind yang turut memaklumkan jika terdapat kenyataan yang ‘menyakitkan hati’, pendakwaan boleh membuat permohonan kepada mahkamah.

Sementara itu, Faridz berkata izin mendakwa tidak mempunyai tarikh luput dan terpulang kepada pendakwaan untuk membawa kes ke mahkamah dan pertuduhan dibuat adalah berasas.

“Tertuduh tidak perlu buat apa-apa komen yang subjudis kepada mahkamah dan dia ada peluang untuk membela diri di mahkamah bukannya di luar mahkamah,” kata Faridz.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Azura membenarkan Syed Saddiq diikat jamin RM330,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan serta menyerahkan pasport sehingga kes selesai dan melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran, sebulan sekali.

Mahkamah membenarkan Syed Saddiq melunaskan bayaran ikat jamin sebanyak RM80,000 pada hari ini manakala baki RM250,000 selewat-lewatnya Selasa depan selain menetapkan 10 Sept untuk sebutan semula kes.

Mahkamah bagaimanapun tidak membuat apa-apa perintah mengenai larangan memberi ulasan.

Faridz juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa tertuduh akan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bharu dalam masa terdekat dan pihaknya juga akan memohon supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Kuala Lumpur.

Sebelum itu, Syed Saddiq, bersut hitam dan kemeja putih hadir ke mahkamah pada 9 pagi ditemani bapanya, Syed Abdul Rahman dan ibunya, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz. Turut hadir Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dan Naib Presiden KEADILAN Tian Chua.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kegagalan Sukan SEA 2019, Syed Saddiq mohon maaf

KUALA LUMPUR, 17 DIS: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bertanggungjawab sepenuhnya dan memohon maaf atas kegagalan kontinjen negara mencapai sasaran ditetapkan pada Sukan SEA 2019 di Filipina.

“Sebagai Menteri Belia dan Sukan, saya memikul tanggungjawab penuh di atas kegagalan untuk memenuhi prestasi yang ditetapkan. Ia adalah tanggungjawab bersama di dalam pasukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), saya, MSN (Majlis Sukan Negara), ISN (Institut Sukan Negara), persatuan kebangsaan…saya ingin memohon maaf kepada semua peminat sukan tanah air di atas kegagalan ini.

Saya telah pun memaklumkan kepada semua supaya tidak membebankan atlet dengan kata-kata negatif. Ambil celaan dan tanggungjawab bersama, ia disasarkan kepada kami dan bukan kepada atlet yang berjuang sekian lama untuk mengharumkan nama negara,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengurus MSN, semalam.

Syed Saddiq berkata, berdasarkan kepada laporan awal, beberapa kelemahan yang menyebabkan kegagalan itu telah dikenal pasti.

Antara kelemahan tersebut ialah sikap terlalu yakin dalam kalangan beberapa sukan yang diletakkan sasaran untuk meraih pingat emas seperti sukan memanah, pelayaran dan tenpin boling yang berjaya pada edisi lepas dan kejohanan besar sebelum ini.

Begitu juga dengan sukan baharu diperkenalkan pada temasya kali ini yang sukar untuk dibuat perbandingan sasaran mereka kerana tidak mempunyai latar belakang prestasi yang boleh diukur.

Katanya, kegagalan kontinjen mengambil kira aspek pengadilan dalam penetapan sasaran juga menjadi antara faktor sasaran tidak dapat dicapai.

“Kebangkitan atlet dari negara Vietnam dan Thailand khususnya dalam sukan tradisi seperti olahraga, renang dan pelayaran menyebabkan pingat yang disasarkan tidak dapat dicapai selain dari Filipina sebagai negara tuan rumah, turut menggagalkan sasaran kita dalam sukan ragbi dan olahraga, khususnya.

Beberapa atlet yang disasarkan telah tewas kepada atlet negara lain terutama tuan rumah yang menggunakan atlet dua kerakyatan, di mana sebelum ini tidak mempunyai sebarang rekod prestasi kerana tidak pernah mewakili negara tersebut,” katanya.

Syed Saddiq bagaimanapun berkata, terdapat beberapa pencapaian yang tidak boleh dinafikan terutamanya pencapaian atlet pelapis negara yang agak memuaskan dengan lapan atlet pelapis telah menyumbang dua pingat emas, tiga perak dan lima gangsa.

Kontinjen negara gagal mencapai sasaran awal untuk meraih 70 pingat emas apabila sekadar mengumpul 56 pingat emas, 57 perak dan 72 gangsa pada Sukan SEA Filipina yang menutup tirai pada 11 Disember lalu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Papagomo cengkam leher Syed Saddiq – Saksi

KAJANG, 4 NOV: Setiausaha politik kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu Mahkamah Majistret di sini, hari ini bahawa pengendali laman blog, Papagomo, telah mencengkam leher menteri itu untuk menghentikannya daripada terus berjalan pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Februari lepas.

Menceritakan semula insiden tersebut, Mohd Aizad Roslan, 38, berkata Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, 36, telah bertindak menerpa ke arah Syed Saddiq yang ketika itu sedang berjalan ke arah keretanya selepas sesi penamaan calon pada 11.05 pagi, 16 Februari lepas.

“Saya serta dua lagi pegawai YB iaitu Amin (polis pengiring) dan Redzuan (pegawai khas) mengiringi beliau ke arah kereta yang terletak di laluan jalan utama. Tiba-tiba sekumpulan penyokong parti Barisan Nasional (BN) yang sedang melepak di situ telah memaki dan mengherdik kami tetapi kami tidak menghiraukan provokasi itu.

“Mereka telah menyerbu ke arah kami dan saya tiba-tiba perasan ada lelaki yang berlari dari arah belakang untuk melintasi kami. Lelaki itu kemudian menerpa ke arah YB dan mencengkam lehernya dengan tangan kiri. Saya nampak dengan jelas,” kata saksi itu.

Saksi pendakwaan kedua itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin pada hari pertama perbicaraan kes Papagomo yang menghadapi tuduhan mengaibkan dan mendatangkan kecederaan terhadap menteri itu.

Saksi itu berkata Syed Saddiq yang trauma berikutan insiden berkenaan telah membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Way sebelum membuat pemeriksaan di Pusat Perubatan Universiti Malaya berikutan kecederaan pada bahu dan lehernya.

Ketika ditanya Muhammad Hairuliqram sekiranya beliau mengenali lelaki yang mencengkam leher Ahli Parlimen Muar itu, saksi telah membuat pengecaman di dalam mahkamah terhadap Papagomo selaku Orang Kena Saman (OKS).

Sementara itu, saksi pendakwaan pertama, Pemangku Sjn Mohd Amin Bacho, 41, yang bekerja sebagai pegawai pengiring Syed Saddiq berkata dalam kekecohan yang berlaku ketika itu, Papagomo juga menyebut “Kau ni bodoh la Saddiq. Masuk ke kawasan aku” terhadap menteri itu.

“Ketika kami diserang, anggota bantuan trafik dan pasukan unit Amal Parti Islam Semalaysia (PAS) telah mengiringi kami berjalan ke arah kereta. Dalam keadaan tegang itu, saya melihat dia meluru ke arah YB dan meletakkan tangannya ke atas bahu kiri YB seperti hendak menghentikannya daripada berjalan.

“Papagomo kemudian telah menyebut kata-kata itu dan saya serta-merta mengarahkannya untuk melepaskan tangan daripada bahu YB kerana melihat beliau semakin tidak selesa,” katanya.

Tambahnya lagi, di sepanjang laluan awam dari kawasan luar dewan pencalonan hingga tiba ke kereta, mereka telah diherdik dan dimaki dengan pelbagai kata-kata kesat oleh penyokong BN antaranya “bangang”, “anjing” dan “bodoh”.

Pada 28 Februari, Papagamo yang juga Exco Pemuda UMNO didakwa mengaibkan kehormatan Syed Saddiq dengan menyebut “ko bodoh” bagi maksud mengganggu kesantunannya di tepi jalan Persiaran Impian Perdana, Saujana Impian pada 11.05 pagi, 16 Februari, mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, OKS didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan di leher dan bahu Ketua ARMADA itu pada tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2, 000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nor Afidah Idris bersambung Rabu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Gojek mampu tingkat ekosistem e-dagang – Syed Saddiq

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan khidmat pengangkutan seperti Gojek mampu membantu meningkatkan ekosistem e-dagang di negara ini.

Syed Saddiq berkata, negara luar seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia telah menjadikan rangkaian perkhidmatan dua roda itu satu platform untuk merancakkan ekonomi digital di negara itu.

“Kalau dilihat di Thailand, mereka ada sistem e-dagang bagi penghantaran yang terbaik sebelum penyertaan Grab bike dan Gojek…ia ada pengangkutan (mengendalikan) dalam 10,000 pakej sehari tetapi selepas penyertaan (Grab dan Gojek) ia meningkat empat kali ganda.

“Ini bermaksud usahawan kecil dapat merasai nikmatnya kerana ekonomi e-dagang dapat berkembang dengan pesat. Jika kita pergi ke Bangkok, Indonesia dan Vietnam, mereka boleh pesan makanan di warung-warung dan dihantar terus ke rumah. Kita mahukan ekosistem itu kerana ia dapat membantu usahawan kecil,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan bertajuk Why the need for Gojek, bersama Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang, Ketua Pengarang Bernama Datuk Mokhtar Hussain serta editor-editor kanan media lain di Wisma Bernama hari ini.

Syed Saddiq sekali lagi mengulangi ekosistem perkhidmatan pengangkutan dua roda perlu dilihat dalam skop yang luas dengan pelbagaikan servis seperti penghantaran makanan dan dikembangkan kepada ekonomi digital keseluruhannya.

“Adalah menjadi tanggungjawab untuk memastikan ekosistem pekerjaan itu dapat ditambah baik dan pada masa yang sama ia bukan sahaja melibatkan pengangkutan dua roda, kita perlu lihat daripada penghantaran makanan, e-dagang dan banyak yang lain.

“Lihat pula dari segi penghantaran makanan di Malaysia sekarang lebih kepada restoran terkemuka kerana tiada satu ekosistem yang agak baik di mana sampai warung-warung kecil depan rumah kita itu pun boleh disertakan dalam ekonomi tidak formal melalui ekonomi digital ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Bincang isu kesihatan mental belia – Syed Saddiq

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 16 MEI: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan mengadakan perbincangan nasional bagi membincangkan kesihatan mental terutama dalam kalangan belia di negara ini.

Perbincangan itu diadakan ekoran kejadian seorang remaja perempuan yang dipercayai membunuh diri selepas jatuh dari tingkat tiga bangunan kedai di Padawan, Sarawak, baru-baru ini.

Syed Saddiq menerusi laman twitternya berkata, perbincangan itu akan dilaksanakan esok jam 5.30 petang di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Gombak.

“Saya benar-benar bimbang berkenaan keadaan kesihatan mental belia kita. Ia adalah isu kebangsaan yang perlu diambil serius.

“Perbincangan nasional akan diadakan jam 5.30 petang Jumaat (esok). Mari kita berdialog di UIAM Econs Cafe,” tulisnya di laman twitter.

Memetik BERNAMA, Syed Saddiq berkata, kurangnya perbincangan berkaitan masalah dialami belia antara faktor terjadinya kejadian yang tidak diingini seperti membunuh diri.

“Isu ini bukan sahaja menjejaskan Malaysia tetapi seluruh dunia turut terkesan dengan masalah kesihatan mental dialami belia,” katanya dipetik BERNAMA.

Terdahulu, remaja perempuan berusia 16 tahun itu dipercayai memuat naik status di media sosialnya dengan menulis, “Sangat penting, bantu saya memilih “D” atau “L”.

Dipercayai “D” membawa maksud kepada kematian manakala “L” (hidup) dan 69 peratus mengundi “D”.

Categories
NASIONAL

Beri peluang belia terlibat dalam peringkat pembuat keputusan- Syed Saddiq

CYBERJAYA, 25 SEPT: Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu lebih banyak peluang diberikan kepada belia berusia 35 tahun ke bawah untuk dilantik ke peringkat pembuat keputusan sama ada di agensi kerajaan, swasta mahupun komuniti.

Beliau berkata cara itu akan dapat memastikan suara mereka didengari di samping melonjakkan potensi mereka dalam menghasilkan idea-idea unik untuk membangunkan organisasi.

“Tan Sri Tony Fernandes (Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia) telah memulakan dahulu dengan melantik Neelofa (selebriti) sebagai wakil belia dalam lembaga pengarah syarikat itu dan beliau (Tony) berkata langkah itu sangat berjaya dan mungkin akan diperluaskan lagi,” katanya pada sidang media selepas Sesi Dialog Pembudayaan dan Pemerkasaan Keusahawanan Muda, di sini hari ini.

Katanya bagi mengetahui gambaran menyeluruh kedudukan belia di negara ini termasuk pada peringkat pembuat keputusan beliau telah meminta Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia menyediakan indeks belia negara ​​​​​​​yang dijangka siap menjelang Januari tahun depan.

“Apabila kita sudah tahu kelompongan yang ada, barulah kita boleh bantu contohnya syarikat yang hendak melantik anak muda atau ada keraguan, saya akan berikan keyakinan kepada mereka bahawa belia boleh dilantik berdasarkan merit,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Md Yusof yang turut serta dalam sidang media tersebut, berkata penglibatan belia dalam pembangunan negara sangat penting dan kerajaan akan menjadi pemudah cara bagi meningkatkan penyertaan mereka.

Bagaimanapun katanya kerajaan tidak boleh membentuk dasar untuk memaksa syarikat korporat dan syarikat berkaitan kerajaan melantik belia ke dalam lembaga pengarah mereka.

“Jadi kita akan terus memberi sokongan kepada segala aktiviti melibatkan usahawan muda supaya mereka dapat menonjolkan diri mereka,” katanya.

Mengenai sesi dialog tersebut, Syed Saddiq berkata ia bertujuan merasionalisasi dan memperhalusi program keusahawan belia sedia ada serta mendapatkan cadangan baharu dalam memenuhi komitmen Manifesto Kerajaan Pakatan Harapan – Iltizam untuk Anak Muda yang merangkumi Dana Pemerkasaan dan Keusahawanan Anak Muda sebanyak RM1 bilion.

Beliau berkata kementeriannya bersama-sama Kementerian Pembangunan Usahawan akan mengambil maklum sebarang cadangan dan maklum balas yang diterima bagi memperkasa pembangunan usahawan negara.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Lebih banyak kerjasama Selangor – Kementerian Belia demi kepentingan belia

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 JUL: Kementerian Belia dan Sukan komited untuk menjalin lebih banyak kerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi memastikan pembangunan belia khasnya melibatkan bidang vokasional di negeri itu berjalan lancar.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau yakin hasrat itu lebih mudah dilaksanakan apabila Selangor memiliki Menteri Besar muda dan Raja Muda yang sentiasa mengambil berat isu-isu belia di negeri ini.

“Saya agak gembira kerana Kerajaan Negeri khasnya Raja Muda Selangor menitikberatkan kepentingan graduan kolej vokasional di mana kita kena pastikan graduan kolej vokasional ini sama sahaja seperti graduan universiti sedia ada kerana mereka adalah masa hadapan.

“Pengetahuan belia dalam bidang masing-masing memastikan mereka dapat mengangkat masa hadapan anak muda sedia ada dan lebih banyak kerjasama dengan Kerajaan Selangor, khususnya kita ada Menteri Besar muda yang menjiwai anak muda serta seorang Raja Muda yang mengambil kisah isu Vokasional,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum, Nota Persefahaman dan Kenyataan Bersama Yayasan Raja Muda Selangor, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Next Academy dan Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC) di sini, hari ini.

Sebelum itu, pada majlis sama, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah menyaksikan wakil daripada Yayasan Raja Muda Selangor, bersama wakil Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan, Next Academy dan Selangor Human Resource Development Centre (HSRDC) menandatangani MoU.

 

Categories
NASIONAL

Syed Saddiq menteri termuda dalam sejarah trending di twitter

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 3 JUL: Pelantikan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai menteri baru termuda dalam sejarah Malaysia menjadi trending di laman twiter.

Sebelum ini, Mohamed Sabu turut trending di twitter setelah diumumkan memegang jawatan Menteri Pertahanan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed.

Syed Saddiq dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan semalam selepas mengangkat sumpah di Istana Negara bersama 12 lagi menteri lain.

Menariknya, topik mengenai menteri paling muda dalam sejarah itu turut menjadi bualan pengguna laman sosial di peringkat antarabangsa termasuk negara jiran, Indonesia.

Beberapa media di republik itu juga memuji menteri berusia 26 tahun itu melalui siaran media.

Sementara itu ibu Syed Saddiq, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz, 57, ketika dihubungi stesen radio EraFM berkata, beliau bersyukur kerana anaknya dilantik sebagai menteri kabinet sekaligus bakal memberi khidmat bakti kepada masyarakat.

“Terima kasih kepada semua yang terus memberi sokongan dan sebagai ibu saya berharap supaya Syed melaksanakan amanah yang diberi rakyat dengan baik,” katanya.

=EZY=