Categories
SELANGOR

MB Selangor Telah Terima Surat Dari Hasan Ali

SHAH ALAM, 18 JAN : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan bahawa beliau ada menerima surat daripada Datuk Dr Hasan Ali yang berpendapat bahawa pelantikan Dr Ahmad Yunus sebagai exco baru mungkin terlalu awal kerana beliau masih mempunyai ruang untuk merayu kepada Majlis Syura PAS.

Menurut Abdul Khalid, beliau telahpun membalas surat tersebut dengan menyatakan keputusan untuk menggugurkan Hasan adalah lanjutan dari keputusan Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pada 8 Januari lalu yang melucutkan beliau sebagai ahli PAS.

“Surat dari jawatankuasa PAS bertarikh 10 Januari 2012 telah mengesahkan keputusan pemecatan beliau berkuatkuasa serta merta dan isu rayuan tidak dinyatakan dalam surat berkenaan.

Proses rayuan adalah amalan yang dipraktikkan oleh PAS sebagai sebuah parti politik dan saya percaya ia tidak bermaksud memberi sebarang prasangka kepada kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.

Justeru, Abdul Khalid berharap supaya bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu dapat menerima keputusan ini dengan berlapang dada dan bersikap terbuka.

Beliau dalam pada itu turut mengambil kesempatan dengan mengucapkan terima kasih di atas peranan yang dilaksanakan Hasan ketika berkhidmat sebagai ahli MMKN.

“Akhirnya kerajaan negeri amat menghargai segala nasihat dan pandangan yang diberikan DYMM Sultan Selangor dalam mengendalikan isu melibatkan pelantikan ahli MMKN ini.

Saya berharap dengan sempurnya pelantikan ini, akan menguatkan lagi barisan pimpinan negeri Selangor dalam melaksanakan reformasi pentadbiran dan pengurusan negeri,” jelasnya.

Hasan sebelum ini diminta mengosongkan jawatan exco Selangor kerana beliau telah dipecat daripada PAS pada 8 Jan dan dengan itu, tidak lagi mewakili parti berkenaan dalam kerajaan negeri.

Adun Gombak Setia itu dipecat daripada PAS kerana tindakannya yang dikatakan menyalahi dan merugikan kepentingan parti itu.

Tarikh rayuan Hasan kepada PAS tamat 7 Februari ini.

Categories
SELANGOR

Khalid: TNB Perlu Perjelas Status Bina Kabel di Cheras

/

SHAH ALAM, 17 JAN : Kerajaan Negeri akan mengadakan perjumpaan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada Khamis ini bagi mendapatkan kata putus berhubung projek pembinaan kabel berkuasa tinggi di kawasan Cheras di Kuala Lumpur.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pihaknya berharap satu keputusan akan dicapai menerusi perjumpaan itu supaya projek tersebut dapat diteruskan selepas beberapa siri perbincangan sebelum ini.

Menurutnya, TNB harus memberikan satu keputusan mengenai projek itu yang tidak membelakangkan kepentingan penduduk setempat.

“Minggu ini kita akan jemput pada hari Khamis pihak TNB untuk menjelaskan pendirian mereka,” katanya dalam sidang media selepas majlis perhimpunan bulanan Kerajaan Negeri Selangor di sini semalam.

Abdul Khalid berkata, difahamkan TNB telah membuat keputusan berbeza dari yang dipersetujui selepas mengadakan perbincangan dengan penduduk, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan tersebut.

“Saya ingin jelaskan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) telah mengadakan beberapa perbincangan. Ia lebih kurang enam bulan dibincangkan dan kita telah meminta TNB membuat inisiatif untuk beberapa kajian tetapi hasil daripada kajian tersebut TNB bersetuju tentang jajaran yang telah kita setujui iaitu melalui bukit juga memasuki hutan simpan supaya tidak melibatkan rumah-rumah.

“Saya difahamkan bahawa hasil daripada perbincangan penduduk, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri di kawasan tersebut mereka mengatakan TNB bersetuju pula untuk jajaran D (di kawasan lain). Kita akan panggil TNB betul atau tidak? Kalau betul mengapa dia…..dulu dia setuju situ tetapi kenapa (sekarang) dia setuju sini,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri berpendirian jelas iaitu projek tersebut dijalankan bagi menyalurkan bekalan tenaga elektrik mencukupi bagi kawasan di Lembah Klang.

Katanya, pihaknya tiada mempunyai kepentingan lain tetapi hanya berkepentingan dari segi pelaksanaannya sahaja.

Projek pembinaan kabel berkuasa tinggi oleh TNB di sekitar Cheras mendapat bantahan kira-kira 500 penduduk di kawasan berhampiran iaitu Cheras Hartamas dan Taman Bukit Segar Jaya dalam pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Projek tersebut dibekukan sejak Oktober tahun lalu selepas Abdul Khalid mengarahkan TNB berunding dengan penduduk terlebih dulu.

 

Categories
NASIONAL

MB : Najib Terdesak Untuk Tawan Balik Selangor

SUNGAI PETANI, 14 JAN: Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang semakin rancak turun bertemu rakyat di Selangor bagi meraih sokongan untuk Barisan Nasional disifatkan sebagai usaha terdesak di mana BN “hanya bermimpi dan mengigau”.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, selama lebih 50 tahun BN mentadbir Selangor mereka gagal untuk memberi keselesaan kepada rakyat namun kini mereka merayu kepada rakyat untuk kembali menyokong BN.

“Ramai pemimpin BN mengigau dan mimpi sampai PM (Najib Razak) terpaksa turun untuk minta undi BN demi perubahan. Buat apa undi semula BN, ini kerja bodoh,” katanya.

Jelas Abdul Khalid, sebagai pentadbir negeri, perkara utama adalah melaksanakan janji yang disebutkan dan bukan hanya pandai berkempen semata-mata.

“Jangan cakap banyak, kempen banyak tapi yang penting kita kena lakukan gerak kerja,” katanya di satu ceramah di Pengumpulan Hasil Pertanian, Lembah Jerai di sini malam tadi.

Mengulas lanjut katanya, pengenalan dasar ‘Merakyatkan Ekonomi Selangor’ bukannya satu slogan semata-mata sebaliknya merupakan gerak kerja yang perlakukan untuk keselesaan rakyat.

MES yang dilaksanakan sehingga kini berjaya memberikan manfaat kepada rakyat melalui program pemberian air percuma 20 metre padu, Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) dan beberapa program lain.

Katanya, gerak kerja telus yang diamalkan pimpinan Pakatan ternyata mengakibatkan kroni Umno ‘sakit perut’ kerana gagal untuk mendapatkan projek dengan jalan mudah.

Manakala Naib Presiden Pas, Husam Musa berkata tiada alasan untuk rakyat menidakkan kekuatan Pakatan bagi mentadbir negara selepas pilihanraya umum akan datang.
“Ini bukan kempen kosong, tetapi ini telahpun dibuktikan di Selangor,”

Husam yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan berkata rakyat perlu mengubah kerajaan persekutuan
dan melihat sejauh mana kematangan BN mengambil alih tugas pembangkang.

“Kita ubah pada PRU-13 ini. PM Malaysia Anwar Ibrahim, Najib pula Ketua Pembangkang. Kita lihat mampu atau tidak dia menggalas tugas itu.

“Sejak pembebasan Anwar dari tuduhan karut yang direka BN, ramai antara pemimpin Umno yang bercadang  untuk menyertai kita (PR), pintu kapal yang dinahodai Anwar sentiasa terbuka sebelum PRU, selepas PRU baru insaf mahu sertai perjuangan kita, ia sudah terlambat, pintu kapal sudah tertutup, biar mereka lemas dalam lautan,” katanya sambil menerima tepukan gemuruh.

Manakala, Ahli Parlimen Kepong, Tan Seng Giaw pula berkata dalam merialisasikan hasrat Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya, rakyat perlu bersiap sedia dengan mentaliti yang teguh sebagai perisai menangkis usaha jahat Umno-BN untuk mengekalkan kuasanya.

“Penduduk Selangor dan Kelantan harus diambil contoh, mereka tidak menolak pemberian gula-gula politik dari Umno-BN, tetapi apabila tiba masa pilihanraya, mereka tetap pangkah (mengundi) Pakatan Rakyat.

“Mentaliti ini membuatkan Perdana Menteri hilang idea bagaimana untuk menawan kembali negeri-negeri bawah kepimpinan Pakatan Rakyat, kerana rakyat lebih celik dan cerdik hari ini,”

 

Categories
SELANGOR

MB Kecekapan Mengurus Wang Perlu Ditingkatkan

PETALING JAYA, 13 JAN : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberi peringatan kepada pentadbiran negeri agar menguruskan kewangan dengan baik seterusnya menjimatkan wang yang diamanahkan rakyat.

Beliau menyampaikan amanat penting ini ketika menghadiri Anugerah Perdana Komuniti Mampan Petaling Jaya 2010/2011 di Hotel One World, Bandar Utama malam tadi.

“Saya ingin mengingatkan semua bahawa bukan jumlah wang yang menjadi persoalan tetapi cara perbelanjaan itu dilaksanakan dan pengurusan kewangan itu yang penting demi pembangunan,” tegas Khalid dalam ucapannya.

Khalid turut memberitahu terdapat kebocoran daripada segi penggunaan kewangan sehingga kos meningkat sehingga 30 hingga 40 peratus iaitu kira-kira RM13 hingga 15 juta kos pertambahan.

“Saya lihat ini perlu dikurangkan kerana sudah tentu kecekapan dan kebolehan sesebuah kerajaan itu diukur daripada ‘value for money’ yang diamalkan.

“Semestinya juga rakyat mengharapkan agar kita menggunakan dana yang ada dengan pengurusan terbaik,” pesan Khalid.

Sementara itu, majlis anjuran Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) menganugerahkan Anugerah Integriti Komuniti Mampan dalam 5 kategori di samping anugerah utama iaitu Anugerah Perdana.

Anugerah bagi kategori Integriti Sosial dimenangi oleh Kawasan Rukun Tetangga Damai Senja, Kejiranan Selamat pula dimenangi oleh Kawasan Rukun Tetangga Taman Kasih Indah dan Kejiranan Hijau pula dianugerahkan kepada Rukun Tetangga Flat PKNS Taman Datuk Harun.

Sementara itu, anugerah Tadbir Urus diberikan kepada Persatuan Penduduk Seksyen 21 Simpang dan Anugerah Keusahawanan dianugerahkan kepada Persatuan Penduduk Apartment Idaman Damansara Damai.

Bagi kategori utama Anugerah Perdana, tempat ketiga dimenangi oleh Persatuan Penduduk Mayang Jaya yang menerima geran pembangunan sebanyak RM10,000. Naib johan pula digondol oleh Rukun Tetangga SS2B dengan penerimaan geran pembangunan sebanyak RM 25,000 dan Johan keseluruhan yang menerima geran pembangunan sebanyak RM 50,000 jatuh ke tangan Persatuan Penduduk dan Pemilik Rumah Damansara Jaya (DJROA).

Kesemua anugerah disampaikan oleh Khalid diiringi Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman. Ini merupakan tahun kesepuluh penganjuran anugerah ini dan untuk tahun ini, penilaian telah dilakukan selama dua tahun bermula dari 2010 hingga penghujung 2011.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian dan tarian kebudayaan oleh artis budaya MPPJ. Antara tetamu kehormat lain yang hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi, EXCO Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu dan EXCO Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong.