Categories
NASIONAL SELANGOR

Hasan Ali Suka Publisiti, Jangan Samakan Dirinya Dengan PAS

iskandar samad pink 01

SHAH ALAM, 24 MAC : Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr Hasan Ali tidak boleh menyamakan pemimpin PAS Selangor dengan dirinya yang lebih suka mengadakan perbincangan terbuka di luar mesyuarat untuk meraih publisiti.

Sebaliknya menurut Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Selangor, Iskandar A Samad, pemimpin PAS Selangor kerap membincangkan isu berkaitan kepentingan umat Islam di Selangor secara dalaman di mesyuarat-mesyuarat yang diadakan.

“Kebanyakan isu-isu tersebut dibincang secara dalaman samada di dalam mesyuarat Exco atau di dalam mesyuarat di antara PAS Selangor dan Menteri Besar.

“Ia juga dibincang di dalam mesyuarat mingguan Pakatan Rakyat Negeri Selangor,” kata Iskandar dalam satu kenyataan medianya.

Iskandar yang juga merupakan Ahli Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri Selangor berkata sebarang isu yang dibincangkan di dalam mesyuarat Exco sudah tentu tidak boleh dibawa oleh mana-mana Exco untuk dibincangkan secara terbuka di luar mesyuarat.

Ini kerana menurutnya lagi, amalan ini adalah selari dengan lafaz sumpah kerahsian yang dilakukan oleh setiap Exco yang sepatutnya difahami oleh Hasan yang pernah menduduki kerusi Exco selama hampir empat tahun.

“Oleh itu, saya menafikan bahawa pimpinan PAS Selangor atau Exco-Exco PAS Selangor gagal membangkitkan atau memperjuangkan isu-isu yang melibatkan kepentingan Islam.

“Malah mereka membangkitkan isu-isu ini dengan penuh ketegasan (kerana) tidak mungkin pimpinan dan Exco PAS Selangor hanya berdiam diri apabila akar umbi kami sentiasa prihatin dan lantang dalam isu-isu melibatkan umat Islam,” kata beliau lagi.

Semalam, Sinar Harian dalam satu laporan bertajuk ‘Pemimpin PAS Kena Tutup Mulut’, Hasan mendakwa PAS Selangor dan Exco PAS gagal membawa mesej perjuangan parti itu untuk mempertahankan kedudukan Melayu Islam di negeri itu.

Categories
NASIONAL

Anwar Saman Utusan : Keputusan Ditangguh Sehingga Januari 22

Anwar Saman 01

KUALA LUMPUR 27 DIS: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menangguhkan sehingga 22 Januari tahun hadapan bagi keputusan kes saman RM 50 juta terhadap akhbar Utusan Malaysia oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk VT Singham membuat keputusan itu bagi menilai semula semua fakta kes berkenaan.

Anwar dalam pernyataan tuntutannya mendakwa akhbar Utusan Malaysia bertarikh 17 Januari lalu di muka hadapannya dan di muka surat 10 telah dengan salah dan berniat jahat, mencetak serta menerbitkan fitnah terhadapnnya.

Anwar mendakwa artikel Utusan tersebut yang bertajuk “Tolak Anwar-Hasan? memfitnahnya sebagai menghalalkan kegiatan homoksesual.

Dalam satu sidang media di luar mahkamah, Anwar yang juga Ketua Umum PKR berharap suatu keputusan yang adil dapat diberikan oleh mahkamah supaya dijadikan panduan di masa hadapan oleh semua pihak.

“Kita menyokong kebebasan media, tetapi bukan media yang dikuasai politik korup yang hanya digunakan untuk memfitnah musuh-musuh politik dan menjatuhkan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita sejurus hari ini.

Jelasnya, etika kewartawanan semakin tidak diendahkan oleh media yang dikuasai Umno-BN.

“Ini bukan sahaja soal Utusan, tetapi soal etika kewartawanan kerana sebelum ini terutamanya media milik Umno-BN boleh buat senang hati dan tidak berlaku adil,” katanya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Beliau diwakili peguamnya N. Surendran dan Latheefa Koya.

Dalam laporan Jan 17 itu, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali membidas Anwar kerana mempertikaikan undang-undang berkaitan homoseksual di negara ini.

Hasan turut menggesa agar rakyat menolak perjuangan Anwar.

Categories
NASIONAL

Kecewa Tidak Bergabung Dengan Umno Punca Nasharuddin Minta PAS Keluar PR, Kata Khalid Samad

SHAH ALAM 16 OGOS : Khalid Samad menyifatkan cadangan Nasharuddin Mat Isa agar PAS Keluar daripada Pakata Rakyat jika DAP menentang hudud disebabkan rasa kecewa beliau yang gagal melihat PAS bergabung dengan Umno-BN.

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor, Khalid berkata berkemungkinan Nasha mengharapkan impak besar daripada cadangan penggabungan PAS-Umno kerana beliau mungkin akan beroleh jawatan yang tinggi sekiranya penggabungan itu berjaya.

“Beliau mungkin kecewa kerana PAS tidak mahu bergabung dengan Umno. Kalau penggabungan itu berjaya mungkin dia mengharapkan akan dapat jawatan tinggi seperti jawatan di kabinet,” katanya dalam sidang media di pejabat.

Khalid menambah, kenyataan yang dikeluarkan itu adalah berkisarkan hudud bagaimanapun Khalid mempersoalkan Umno yang menolak hudud.

Beliau turut menggesa Nasha agar melihat kembali kepada kenyataan Umno yang turut menolak hudud sebelum ini.

“Beliau kata PAS perlu keluar Pakatan kerana DAP tidak terima hudud tetapi adakah Umno menerima hudud?

“Beliau sengaja menimbulkan isu, mungkin itulah dia lihat ‘peluang’ terlepas dan pada masa yang sama dia pun kecewa kerana dia kalah dalam pertandingan merebut jatan timbalan presiden.

“Ini menyebabkan dia tidak seperti dulu dan dia memang nampak semakin rapat dengan pimpinan Umno walaupun di Parlimen,” katanya.

Nasharuddin sebelum ini, pernah mencetuskan kontroversi ekoran menyokong cadangan pembentukan kerajaan perpaduan Umno-PAS sehingga menimbulkan rasa kurang senang kepada Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Ketika muktamar Agung PAS tahun lalu, Nasha gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden dan jawatan itu dimenangi Mohamad Sabu.

Jelas Khalid lagi, keputusan sama ada nasib Nasha bakal menjadi seperti Adun Gombak Setia, Datuk Dr Hasan Ali juga tidak berasas kerana dalam PAS keputusan itu adalah hak individu.

“PAS bukan parti yang menentukan nasib sama ada nak pecat atau tidak, lucut jawatan ahlinya terpulang kepada mereka sendiri,” katanya.

Categories
NASIONAL

Dr Rani : Debat Hasan Ali Tidak Professional


SHAH ALAM, 9 JULAI : Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman menyifatkan cabaran debat daripada Presiden JATI, Datuk Dr Hasan Ali sebagai satu tindakan terdesak dan tidak profesional.

Kata Dr Abdul Rani, jika Hasan mengatakan dirinya profesional, beliau tidak seharusnya menetapkan tarikh untuk berdebat sesuka hati.

“Kalau nak berdebat perlu ada persetujuan kedua-dua pihak. Saya tidak pernah bersetuju untuk berdebat dengannya.

“Dia dah dipecat baru sibuk-sibuk nak turun padang. Bila dah tak ramai orang datang nak dengar ceramahnya dia cuba mencari isu lain untuk menonjolkan dirinya semula,” katanya dalam sidang media di luar Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sebelum ini, Dr Hasan, yang juga bekas pesuruhjaya Pas Selangor, dilaporkan menghantar surat kepada Dr Rani yang menetapkan tarikh dan tempat lokasi debat tersebut tanpa mendapat persetujuan Dr Rani.

Debat yang bertajuk ‘Dimanakah Hala Tuju PAS Selangor’ yang dianjurkan JATI dijadual berlangsung pada 11 Julai ini di Meru, Klang.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, Dr Hasan seharusnya mengajak beliau berdebat kerana permasalahan antara mereka belum selesai.

“Dia sendiri dah menuduh saya parasit dalam PAS dan saya sendiri mempunyai isu-isu mengenai JATI”, kata Khalid di dalam sidang media yang sama.

Khalid berkata, beliau bersedia untuk berdebat dengan Dr. Hasan sebagai jalan terbaik untuk menjawab segala tuduhan yang dilemparkan oleh Dr Hasan.

“Saya sendiri dimaklumkan Sinar Harian sudah berusaha mengaturkan debat diantara saya dan Dr. Hasan sejak dari bulan Februari lagi.

?Namun beliau tidak bersetuju atas alasan majlis shura JATI tidak membenarkan untuk beliau berdebat,” katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor.

Katanya, debat yang dianjurkan oleh Dr.Hasan merupakan tindakan terdesak JATI bagi meraih sokongan kerana tiada sambutan terhadap ‘roadshow’ persatuan itu.

Categories
NASIONAL

Khalid Samad Saman Balas Hasan Ali

SHAH ALAM 4 MEI : Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad hari ini mengumumkan akan memfailkan saman balas terhadap Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali.

Menurut Khalid, beliau kini dalam usaha memfailkan saman terhadap Dr. Hasan melalui peguamnya, Hanifa Maidin berhubung dakwaan menggelarnya parasit dalam PAS.

“Saya dalam proses ‘compiling’ bagi kes saman balik ini. Insya-Allah dalam masa dua minggu lagi peguam saya akan memfailkannya di mahkamah.

“Tindakan ini juga diambil ekoran saman yang dikemukakan terhadap saya oleh Dr. Hasan Ali,” jelas Khalid dalam sidang media di pejabatnya di sini pagi tadi.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu menerima surat saman daripada Dr. Hasan pada 27 April lepas di pejabatnya.

“Saman itu berkenaan dengan kenyataan saya sebelum ini yang memohon penjelasan daripadanya mengenai siapa taja beliau yang mana pada waktu itu menjadi perbualan hangat.

“Pertanyaan itu sekadar ingin memberi peluang kepadanya untuk menjelaskan dari mana sumber dia dapat untuk melakukan road tour dan juga perlancaran pertubuhan ‘Jati’ di SACC (Shah Alam Convention Centre).

“Kita maklum bahawa kesemua itu memerlukan perbelanjaan yang besar, jesteru itulah kita memohon penjelasan darinya, bukannya menuduhnya menerima tajaan dari mana-mana pihak,” ujar Khalid sambil menambah jumlah saman tidak dinyatakan sebaliknya akan ditentukan oleh mahkamah.

Dr. Hasan dipecat dari PAS awal tahun ini kerana dilihat sering mengeluarkan pandangan yang bertentangan dan merugikan PAS. Beliau kemudian digugurkan dari jawatan Exco Negeri Selangor sebelum bertindak menubuhkan Jati yang didakwanya untuk memperjuangkan Islam, Melayu dan Raja-raja.

Categories
SELANGOR

Ubahsuai Pejabat Hasan Ali Tertinggi

SHAH ALAM 27 MAC : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terkilan dengan kredibiliti yang ditunjukkan oleh Bekas Exco Datuk Dr Hassan Ali dalam pengubahsuian pejabatnya di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Abdul Khalid berkata, perkara yang ditunjukkan itu tidak menunjukkan prinsip pemimpin yang mengamalkan sikap ketulusan.

Khalid berkata berdasarkan audit yang dijalankan, Hasan menggunakan RM329,000 untuk mengubahsuai pejabat beliau, jumlah yang tertinggi berbanding exco lain.

Jumaat lalu, Adun Bukit Antarabangsa, Azmin mendedahkan Hasaan menggunakan peruntukan untuk baik pulih pejabat Exco membabitkan kos RM300,000, sedangkan menteri besar sendiri tidak ubah suai pejabat.

?Kenapa kita perlu mengikut orang lain, orang lain ubahsuai, kita juga hendak buat juga.

“Jangan menggunakan asas itu, orang lain buat, kamu kena buat lebih dari orang. Itu tidak boleh dan bukan prinsip kepimpinan Kerajaan Negeri,” katanya dalam penggulungan perbahasan Dewan Undangan Negeri petang tadi.

Antaranya, exco lain yang mengubahsuai pejabat mereka adalah Exco Kebajikan, Hal Ehwal, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail sebanyak RM190,000 dan Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian kilang Haram, Ean Yong Hian Wah sebanyak RM146,000.

Manakala Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Ir.Iskandar Abdul Samad sebanyak RM81,000. Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar sebanyak RM70,000.

Selain itu, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu sebanyak RM30,000. Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari sebanyak RM30,000.

Bagi Exco Pelaburan,Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok dan Exco Perlancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabelth Wong sebanyak kurang daripada RM25,000 serta Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali tidak melakukan apa-apa ubahsuai.

Tambahnya, jika beliau (Hassan) memperjuangkan rakyat seharusnya beliau melihat ‘Value For Money’.

“Saya tidak menghalang jika hendak lakukan pengubahsuaian itu, sekiranya beliau gunakan RM300,000 itu untuk keluasan lebih 3000 kaki persegi, jika RM100 sekaki, jadi angka itu munasabah.

“Tetapi jika dibuat keluasan hanya 500 kaki persgi tetapi jumlah itu RM300,000 maknanya kita mesti tahu duit itu dilaburkan ke mana,”katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Teng: Bukti JATI ada hubungan dengan UMNO-BN

SHAH ALAM, 27 MAC : Pesanan Blackberry yang dikirim oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Teng Chang Khim kepada semua Exco Selangor termasuk Bekas Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr. Hassan Ali telah disebarkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Adun-Adun Umno-BN.

Selain itu, Hasan Ali juga menggesa mereka meninggalkan dewan pagi ini kerana memprotes tindakan yang dibuat oleh Chang Khim.

SMS yang dihantar Teng kepada Exco yang kemudiannya dimajukan Hasan kepada Adun Bn adalah seperti berikut “This is possibly the last winding up sessions for exco, opportunity should be fully used to talk about our success in the past four years like what Yaakob is doing now.(Teng tersilap hantar sms ini pada saya, persoalannya tidakkah ini bertentangan dengan amalan speaker TIDAK sepatutnya bias. Elok tak kita jadikan isu pagi ini dan KELUAR TINGGALKAN DEWAN. Hari ini sidang tamat,”.)

Teng turut mengakui tersalah mengantar pesanan SMS tersebut kepada Bekas Exco, Hasan Ali dan menganggap pesanan sms tersebut bukan merupakan isu besar atau menyalahi etika Dun.

“Ini juga menunjukkan bahawa Umno-BN mempunyai hubungan yang baik dengan JATI,” ujar Chang Khim ketika ditanya bagaimana pesanan ini boleh diketahui oleh Adun Umno-BN.

Tujuh orang ADUN Umno-BN bertindak keluar dewan kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Teng tersebut.

SMS tersebut mengandungi pesanan dari Chang Khim yang menyarankan semua Exco supaya membuat penggulungan usul dengan sebaik-baiknya seperti apa yang dilakukan oleh Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari.

Categories
NASIONAL

Halimah Ali: “Saya Merempat, Tumpang Pejabat Orang”

SHAH ALAM, 26 MAC: Tuduhan Adun Gombak Setia, Dato Dr Hassan Ali yang mendakwa Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali telah melakukan pengubahsuaian ke atas pejabatnya disangkal hari ini.

Menurut Dr Halimah, pejabat yang diduduki pada masa ini merupakan pejabat yang ditumpanginya semenjak beliau dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri.

“Pejabat sendiri pun tak ada. Saya cuma merempat, tumpang pejabat orang sahaja di sebelah Pejabat Kewangan,” kata beliau ketika ditemui di lobi Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.

Halimah turut mempelawa wartawan melawat pejabatnya sebagai membuktikan bahawa dakwaan Hassan Ali adalah satu tuduhan liar semata-mata.

“Ini mesti tak pernah datang pejabat saya, esok boleh datang supaya boleh tengok sediri pejabat saya.

“Memang tiada ubahsuai apa pun di pejabat itu.  Saya jemput semua datang ke pejabat saya dan jangan lupa bawa kamera sekali,” katanya lagi.

Sementara itu Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Perihatin, Dr Xavier Jayakumar turut menyangkal tuduhan Hassan yang mendakwa beliau menggunakan peruntukan yang tinggi untuk melakukan pengubahsuaian pejabat.

“Saya memang ada buat ubahsuai pejabat, tetapi cuma tukar karpet dan tambah ‘partion’, itu sahaja.

“Anda fikir dengan pengubahsuaian yang saya sebut tadi tu boleh cecah RM300,000 tak?

“Tentulah kos ubah suai yang saya sebut tadi jauh lebih rendah dari RM300,000.

“Esok saya akan berikan detail kos pengubahsuaian pejabat saya, cuma sekarang saya boleh jamin kos ubah suai pejabat saya cuma memakan kos yang rendah sahaja,” ujar beliau.

Adun Bulit Antarabangsa, Azmin Ali minggu lalu mendedahkan bekas pesuruhjaya PAS itu ketika menjadi Exco telah membelanjakan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk mengubahsuai pejabatnya ketika mula menjadi exco.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tiada Tindakan Terhadap Perbelanjaan RM300,000 Hasan Ali

KUALA LANGAT 24 MAC : Kerajaan Selangor tidak akan mengambil tindakan terhadap Datuk Dr. Hasan Ali yang membelanjakan RM300,000 bagi mengubah suai pejabatnya sewaktu bergelar Exco Negeri.

Ini kerana perbelanjaan kerja ubah suai itu mengikut tatacara perbendaharaan yang betul dan tindakan itu dipercayai bagi membesarkan ruang pejabat untuk tugas portfolio yang disandangnya.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, tindakan Hasan itu adalah mengikut tatacara yang telah ditetapkan.

“Bagaimanapun, apabila dilihat terlampau banyak perbelanjaan dan penggunaan itu, sudah tentulah orang akan membangkitkan samada perlu atau tidak, sesuai atau tidak.

“Apapun, dari segi penggunaan, ia adalah selari dengan tatacara yang dibenarkan” ujar beliau dalam satu sidang media selepas Majlis Perasmian Muzium Insitu Jugra di Banting, di sini pagi tadi.

Di dalam sesi Dewan Negeri Selangor semalam, ADUN Bukit Antarabangsa Azmin Ali mendedahkan yang Hasan membelanjakan RM300,000 untuk ubah suai pejabatnya.

Sementara itu, Dr Shafie yang merupakan pengerusi Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT), berkata jumlah wang tersebut digunakan untuk membina satu ruang pejabat yang baru.

“Ini kerana ruang di pejabat yang lama itu terlalu sempit, maka Dr. Hasan Ali bina ruang yang baru yang lebih luas,” ujar Dr. Shafie. PADAT merupakan salah satu badan di bawah kelola Dr Hasan semasa beliau exco.

ends

Categories
SELANGOR

Hasan Ali Guna Sidang DNS Untuk Bercakap Soal Peribadi

SHAH ALAM 21 MAC : Terkesan dengan perlucutan jawatannya sebagai Exco Agama, ADUN Gombak Setia, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang kini hadir ke Sidang Dewan Undangan Negeri sebagai Ahli Bebas, menggunakan ruang perbahasan hari ini sebagai medan melepas perasaan dan lunak membincangan soal peribadi.

Walaupun ditegur beberapa kali oleh ahli dewan bahawa ucapannya bercanggah dengan Perkara 361 Undang-undang Dewan, Hasan tegar meneruskan ucapanya yang bersifat peribadi itu selain melakukan serangan peribadi terhadap beberapa ahli dewan.

Sikap Hasan yang sering menjadikan isu murtad dan peranan pemimpin kerajaan negeri dari kalangan Islam khususnya PAS menegakkan martabat Islam, dipersoalkan oleh ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim.

Suee Lim mengesa Hasan menjelaskan peranan dan usahanya dalam memberi kefahaman penuh kepada masyarakat bukan Islam semasa mengalas Exco Agama.

“Sudah setengah jam, Gombak Setia membincangkan soal peribadi dan menyerang peribadi Ahli Dewan yang lain berhubung agama Islam dan peranan memartabatkannya.

“Saya ingin tahu apakah yang Gombak Setia lakukan sepanjang tiga tahun sebagai Exco Agama dalam memberi penerangan dan kefahaman terhadap orang bukan Islam seperti soal perlaksanaan hukum hudud,”soalnya.                                                                                                               

Sementara itu ADUN Kota Alam Shah, M. Manoharan turut membidas sikap Hasan itu yang lantang membahaskan soal peribadinya, sedangkan sepanjang mengalas jawatan exco beliau sering gagal menjawab soalan didalam dewan dan menjalankan tugasnya dengan baik.

“Saya berasa kesian dengan Gombak Setia, semasa menjadi Exco sepanjang tiga tahun, beliau gagal menlaksanakan tugasnya, sebaliknya hari ini beliau menggunakan ruang ucapan dengan menjadi duri dalam daging,”jelas Manoharan.

Hasan digugurkan daripada jawatannya dalam kerajaan negeri Sebagai Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Januari lalu.

Hassan juga telah di lucutkan sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor setelah tidak membuat rayuan kepada jawatankuasa disiplin PAS Pusat berhubung tindakan pemecatan beliau

Categories
SELANGOR

Empat Exco Wanita Handal Majukan Negeri

SHAH ALAM, 21 MAC : Pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sejak Mac 2008 berjaya membawa perubahan positif baik dari sudut kepimpinan mahupun kemajuan negeri.

Adun Kota Alam Shah, M.Manoharan berkata, kepimpinan Abdul Khalid yang bersifat telus dan bebas dari sebarang kontroversi seharusnya dicontohi dan dijadikan tauladan oleh barisan pimpinan Umno-BN

Jelasnya, keadaan ini amat berbeza daripada amalan korupsi dan penyelewengan hasil negeri yang diamalkan pemimpin Umno-BN yang pernah menjawat jawatan itu sebelum ini.

“Saya amat berpuas hati atas pentadbiran Menteri Besar dalam mengendalikan urusan pemerintahan kerajaan negeri. Apabila dibandingkan dengan pimpinan sebelum ini, ternyata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tiada skandal dan bebas rasuah.

Malah hasil pasir juga meningkat, malah ekonomi Selangor berjaya menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi negara,” katanya.

Manoharan berkata, Abdul Khalid juga dilihat berjaya mengharungi pelbagai tohmahan daripada pelbagai pihak terutama berhubung isu pelucutan jawatan Adun Gombak Setia, Datuk Dr Hasan Ali sebagai Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

Menurutnya, tohmahan itu sebaliknya dijadikan pemangkin oleh Abdul Khalid untuk mengukuhkan pentadbiran negeri.

Dalam pada itu, beliau turut memuji peranan keempat-empat Exco Wanita yang berjaya menujukkan kehebatan serta kehandalan mereka dalam membangunkan portfolio masing-masing yang menyumbang kepada kemajuan negeri.

“Saya berbangga melihat kejayaan dan perubahan yang dibawa oleh exco wanita. Contohnya, Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail yang memegang portfolio wanita telah berjaya membela nasib wanita termasuk ibu tunggal melalui pelbagai program yang diperkenalkan.

Selain itu, Adun Selat Klang, Dr Halimah Ali juga berjaya membawa kemajuan dari sudut pendidikan dengan memastikan tiada pelajar yang tercicir dari sudut pembelajaran. Saya ingin mencadangkan kepada Menteri Besar untuk membentangkan laporan kerja exco wanita kepada rakyat sebagai bukti kejayaan mereka dalam membangunkan negeri,” jelasnya.

Categories
SELANGOR

Tiada Sekatan Hasan Ali Mengambil Bahagian Dalam DNS

SHAH ALAM, 19 MAC : Pentadbiran Pakatan Rakyat Selangor tidak akan menyekat atau menghalang bekas Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Ali daripada mengambil bahagian dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Dewan Annex, malah mengalu-alukan kedatangan beliau untuk berbahas.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan Pakatan Rakyat (Pakatan) memberi kebebasan kepada bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu untuk berhujah dan mengutarakan pandangan di dalam dewan.

Malah jelasnya, sidang DNS adalah platform terbaik bagi wakil rakyat yang dipilih semasa pilihan raya untuk menyuarakan keperluan rakyat di kawasan masing-masing.

Beliau berkata, situasi ini amat berbeza daripada sidang dewan sebelum ini semasa zaman pemerintahan Umno-Barisan Nasional (BN).

“Apabila rakyat memilih wakil itu, maknanya wakil tersebut berhak untuk menyuarakan pandangan atau keperluan rakyat. Tiada sekatan untuk dia (Hasan) berbahas.

“Bermula tahun 2008, DNS bersidang dengan mengambil kira supaya membolehkan semua ahli dewan termasuk dari BN, ahli bebas dan Pakatan Rakyat untuk menyatakan pendirian mereka.

“Itu sebab dewan kita bersidang sekurang-kurangnya lima hari atau lebih. Keadaan ini tidak berlaku semasa zaman pemerintahan Umno sebelum ini,” tegasnya.

Menurut Abdul Khalid, semua ahli dewan yang ingin membahas mengenai titah DYMM Sultan boleh mendapat peruntukan masa.

Bagaimanapun tegasnya, kesempatan yang diberikan ini haruslah digunakan dengan bijak dan tertib.

“Kesempatan ini mesti digunakan tetapi ahli dewan dinasihatkan untuk mengemukakn cadangan bernas dengan menumpukan kepada penyelesaian selain bersikap tertib.

Sidang dewan yang mulia ini bukanlah platform untuk mencipta satu drama mengata orang,” katanya.

ADUN Gombak Setia itu buat pertama kalinya hadir ke Sidang Dewan Undang Negeri Selangor sebagai ADUN bebas setelah digugurkan daripda jawatan exco kerajaan Selangor Januari lalu.

Hasan hilang jawatannya setelah dipecat sebagai ahli PAS.

Hasan ketika ditemui pemberita sejurus selepas Majlis Perasmian Pembukaan Sidang DNS Kali ke-12 hari ini menyatakan bahawa dirinya bersedia berdepan dengan barisan kepimpinan Pakatan.

“Saya tiada seberang masalah untuk semua ini, pemecatan saya dari ahli Pas dan disusuli dengan pelucutan Exco adalah secara yang penuh bermaruah, saya di pecat bukannya kerana rasuah ataupun perkara-perkara yang dilarang dalam Islam.

“Agaknya perjungan saya ini tidak secucuk dengan perjuangan DAP dan PKR, walau apa pun saya akan terus berjuang,”jelasnya.