Categories
EKONOMI

Tidak yakin punca B40 enggan libat dalam bidang usahawan

JASIN, 2 JUN: Tidak yakin dengan kebolehan diri sendiri antara punca menyebabkan golongan berpendapatan rendah (B40) enggan melibatkan diri dalam bidang keusahawanan, kata Menteri Pembangunan Usahawan.

Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, ini kerana golongan berkenaan sering bimbang mereka akan gagal dalam menyaingi pasaran dengan usahawan lain pada peringkat awal perniagaan.

“Kita sentiasa mengalakkan orang Melayu, terutama dalam kalangan B40, supaya lebih berani ke depan dan kreatif kerana banyak peluang dan ruang disediakan untuk membantu mereka memulakan perniagaan.

“Tapi saya lihat hari ini, yang datang lebih banyak hanya meminta wang, sedangkan banyak kaedah permulaan perniagaan yang telah diaturkan oleh kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Ihya Ramadan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) bersama Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Jasin di Masjid Al-Ghaffar, di sini malam ini.

Turut hadir, Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Muhammad Zahid Md Arip.

Mohd Redzuan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata, selain tidak yakin dengan kemampuan diri, golongan B40 juga dilihat kurang mempunyai maklumat mengenai kaedah untuk memulakan perniagaan.

Dalam pada itu, beliau berkata selain golongan B40, kumpulan anak muda juga perlu berani mengemukakan cadangan kepada kementerian, sekali gus membuka peluang kepada mereka untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan.

Menurutnya, kerajaan sentiasa komited mencari ruang agar golongan berkenaan tidak terpinggir dan ketinggalan dari segi pendapatan, seiring sasaran menjadi negara usahawan 2020.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kereta terbang pertama Malaysia akan dipacu teknologi tempatan

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Kereta terbang pertama Malaysia akan dipacu teknologi tempatan, kata Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Md Yusof.

Beliau berkata, prototaip kereta itu sudah ada dan dijangka diperkenalkan kepada awam tahun ini.

“Tahun ini adalah sasaran yang realistik kerana kita sudah ada teknologinya. Semua ini tentang kecepatan pelaksanaan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan inisiatif Pertumbuhan Malaysia, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kereta itu adalah selamat dan berupaya terbang pada altitud rendah dan pada kelajuan munasabah.

“Pelaburan untuk membina prototaip lebih sedikit daripada RM1 juta,” katanya.

Mohd Redzuan berkata, projek kereta terbang adalah cara untuk kerajaan mewujudkan persekitaran yang mendorong rakyat untuk memikirkan tentang teknologi baharu.

“Kami menyediakan pemangkin dan ekosistem bagi merangsang rakyat untuk berfikir melangkaui apa yang kami lakukan hari ini,” katanya.

Beliau berkata, projek itu juga bagi memanfaatkan keupayaan negara dalam sektor aeroangkasa, dron, kenderaan tanpa pemandu (UAV) dan automotif.

“Malaysia mempunyai kepakaran untuk cemerlang dalam bidang aeroangkasa, dron, UAV dan kereta nasional dan kita perlu menggunakan kemahiran kita kerana apa yang penting adalah kita mahu menjadi negara pengeluar,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, projek itu berasingan daripada projek kereta nasional ketiga yang diilhamkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengenai Pertumbuhan Malaysia, beliau berkata, inisiatif itu diterajui operator platform dalam talian ke luar talian Fave untuk membantu peruncit luar talian di Malaysia memasuki dunia digital dari segi perkhidmatan pembayaran, pemasaran, data dan kewangan.

“Ini selaras dengan misi kementerian untuk memperluas dan menyelaraskan kegiatan keusahawanan kepada lebih bersasar,” katanya.

Pengasas Fave, Joel Neoh berkata, inisiatif itu berobjektif membantu 100,000 restoran di seluruh Malaysia untuk memanfaatkan digital menjelang 2020.

“Ketika dunia pesat beralih kepada digital, perniagaan luar talian terutamanya mereka dalam bidang minuman dan makanan serta runcit perlu memanfaatkannya dan menyesuaikan diri dengan perubahan dalam tingkah laku pengguna atau berisiko ketinggalan,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif itu juga dilaksanakan secara usaha sama dengan Grab Malaysia, Maybank, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, Persatuan Pembiayaan dan Nexus Produktiviti Peruncitan, Makanan dan Minuman.

SUMBER: BERNAMA