Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga lelaki ditahan seludup lebih 50,000 tin minuman keras

KUALA LUMPUR, 23 MAC: Seorang lelaki tempatan bersama dua lelaki warga Myanmar ditahan di Putra Heights, Subang Jaya, di sini, pagi tadi kerana disyaki menyeludup 52,704 tin arak dianggarkan bernilai RM1.3 juta.

Komander Briged Tengah PGA SAC Muhammad Abdul Halim berkata ketiga-tiga suspek berusia 30 hingga 55 tahun itu ditahan di sebuah rumah ibadat dalam operasi kontraban (op kontraban) oleh sepasukan polis dari Cawangan Risik Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) serta merampas arak jenama Martens, Luxus dan Leo dalam operasi itu.

Beliau berkata arak seludup itu dipercayai diimport dari luar negara untuk pasaran tempatan dan dijual dengan harga lebih murah di sekitar Lembah Klang.

“Siasatan awal mendapati pihak pengurusan rumah ibadat itu tidak terbabit dengan kegiatan berkenaan dan percaya sindiket itu menggunakan tempat tersebut hanya sementara sebagai tempat penyimpanan arak untuk mengelak kegiatan mereka dikesan,” katanya dalam sidang media di lokasi serbuan di Putra Heights, Subang Jaya, di sini semalam.

Dalam perkembangan lain, tiga lelaki warga tempatan berusia lingkungan 35 hingga 45 tahun ditahan di Bandar Jaya Putra Johor Bahru, Johor kerana disyaki terlibat sindiket penyeludupan rokok.

Muhammad berkata penahanan tiga lelaki berkenaan membawa kepada rampasan 34 kotak rokok seludup jenama Manchester berserta sebuah kereta Honda City dan enam telefon bimbit bernilai RM351,620 di sebuah premis dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, seorang lelaki tempatan berusia 22 ditahan di dalam sebuah kereta di Jalan Benteng Parit Kedondong, Parit Bunga, Tangkak, Johor, semalam kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah jenis syabu seberat 5,190.6 gram.

Muhammad berkata dadah dianggarkan bernilai RM269,000 berkenaan dibungkus dalam plastik berwarna hitam dan cuba dicampak suspek keluar dari kereta apabila sepasukan polis dari Batalion 6 PGA, Bakri, Muar, Johor menghampiri kenderaan mereka. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Sindiket proses minuman keras palsu tumpas

KUALA LUMPUR, 2 JULAI: Polis menumpaskan sindiket memproses dan mengedar minuman keras dipercayai tiruan dan menahan empat lelaki dalam satu serbuan di Puchong dekat sini, kelmarin.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata suspek yang ditahan berumur antara 30 hingga 40 tahun dan dua daripada mereka merupakan warga Myanmar.

“Dalam serbuan itu, 87 kotak minuman keras pelbagai jenama, enam tong dram 200 liter dan empat tong air 100 liter yang berisi cecair berwarna gelap dipercayai alkohol berjaya dirampas.

“Nilai alkohol yang dirampas berjumlah RM222,000…mereka ini juga menjadikan Lembah Klang sebagai lokasi pengedaran,” katanya dalam kenyataan semalam.

Selain itu, Acryl Sani berkata polis turut merampas dua kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Vellfire dan Nissan Serena dipercayai digunakan untuk mengedar barang berkenaan.

“Kesemua suspek direman empat hari sehingga Sabtu ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 4(1)(c) Akta Membaharui Undang-Undang (Penghapusan Samsu Gelap) 1976,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Lebih 12,000 minuman keras seludup dirampas di Klang

KUALA LUMPUR, 26 JUN: Batalion Keempat Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas sebuah lori dengan muatan minuman keras yang disyaki diseludup bernilai hampir RM40,000 di susur keluar Bukit Tinggi, Lebuh Raya Klang-Shah Alam, dekat sini, malam kelmarin.

Pegawai Pemerintahnya Supt Zulafendy Hassan berkata dalam serbuan pada 9.30 malam (24 Jun), PGA turut menahan pemandu lori, seorang lelaki tempatan berumur 24 tahun dan dibawa ke balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut.

“Ketika membuat rondaan Op Benteng di kawasan Klang, pasukan terserempak dengan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di Kilometer 20.9 Lebuh Raya Klang-Shah Alam.

“Hasil pemeriksaan, kita menemukan 12,960 tin arak pelbagai jenama yang disyaki diseludup di dalam lori itu selain wang tunai berjumlah RM1,980,” katanya dalam kenyataan sambil menambah kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kastam rampas kontena minuman keras RM2.6 juta di Pelabuhan Klang

PETALING JAYA, 19 JUN: Sembilan kontena berisi minuman keras yang dianggarkan bernilai RM5.6 juta termasuk cukai, dirampas disyaki melibatkan sindiket penyeludupan di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada 12 Jun lepas.

Penolong Ketua Pengarah Jabatan Kastam Zon Tengah Datuk Zulkarnain Mohamed Yusuf berkata hasil pemeriksaan ke atas kesemua kontena itu menemui pelbagai jenis arak dipercayai tidak mendapat kelulusan kastam.

Beliau berkata pihaknya melakukan rampasan kesemua arak berkenaan yang dianggar bernilai RM2.6 juta melibatkan kuantiti rampasan sebanyak 165,000 liter minuman keras.

“Rampasan ini turut membawa kepada penemuan modus operandi baharu pihak sindiket dipercayai melibatkan warga asing yang mendapat bantuan ejen perkapalan bagi tujuan penyeludupan,” katanya pada sidang media di Jabatan Kastam Zon Tengah di Kelana Jaya di sini hari ini.

Zulkarnain berkata ejen perkapalan terbabit didapati turut bersekongkol dengan memanipulasi data sistem di pelabuhan bagi mengaburi pihak kastam.

“Mereka ini didapati menggodam kata laluan sistem pelabuhan pegawai kastam bagi meminda status kontena yang ditahan kepada ‘release’,” katanya.

Susulan itu, beliau berkata pihaknya mengenal pasti ejen perkapalan yang terlibat sementara tindakan lanjut sedang dilaksana bagi mengesan ejen lain bagi membantu siasatan.

Zulkarnain berkata kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kastam tumpas sindiket seludup minuman keras bernilai RM1.8 juta

 

PETALING JAYA, 30 Mei: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan penyeludupan 60,000 liter minuman keras pelbagai jenama dianggarkan bernilai keseluruhan rampasan dan cukai sebanyak RM1.8 juta dalam pemeriksaan pada dua kontena di Pelabuhan Klang dekat sini, Isnin lepas.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata nilai rampasan berkenaan dianggarkan RM188,760 manakala jumlah cukai RM1.6 juta.

Beliau berkata minuman keras itu dimasukkan ke dalam kontena dan sindiket tersebut membuat pengikraran palsu pada Borang Kastam 1 (Import) sebagai perkakasan isi rumah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Berikutan itu, seorang lelaki warga tempatan berumur 55 tahun yang merupakan ejen perkapalan kontena itu ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(g)(v) Akta Kastam 1967 kerana cubaan mengelak duti Kastam secara penipuan dan Seksyen 135(1)(v)(aa) Akta Kastam 1967,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Kelana Jaya, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, 25.5 tan produk hasil tembakau serbuk berwarna kelabu, dry snuff dirampas yang dianggarkan berjumlah RM1.2 juta, dengan jumlah cukai RM2.1 juta dalam serbuan ke atas sebuah gudang berhampiran Seri Kembangan pada 9 Mei lepas.

“Bagaimanapun, syarikat dan pengurus lelaki warga Pakistan berumur 35 tahun telah dituduh pada 23 Mei lepas di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

“Tertuduh menggunakan modus operandi dengan membawa masuk dry snuff dari negara luar dan membuat pengikraran palsu pada borang Kastam,” katanya.

Zulkurnain berkata produk hasilan tembakau tersebut dihantar ke gudang yang diserbu sebelum dijual kepada pekerja asing di sekitar Lembah Klang.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barangan tidak berkastam dan jika sabit kesalahan, memperuntukkan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya sekali. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kastam fokus banteras aktiviti seludup rokok, minuman keras

SEREMBAN, 22 JAN: Jabatan Kastam memberi fokus utama kepada membanteras kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras tahun ini.

engarah Kastam Negeri Sembilan, Zaida Hussin berkata, komitmen itu bersandarkan kepada penguatkuasaan pindaan Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976, pada 2 Jan lalu.

Katanya, pindaan yang mengenakan hukuman lebih tinggi bagi penyeludupan dan penjualan rokok serta minuman keras tidak lulus Kastam itu diharap dapat membendung penyeludupan dan penjualan bahan itu secara haram di pasaran di negara ini.

“Kami amat mengalu-alukan maklumat yang boleh disampaikan untuk kami mengambil tindakan segera ke atas mereka yang didapati menjual rokok dan minuman keras tanpa kelulusan kastam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Hari Bertemu Pelanggan sempena sambutan Hari Kastam Sedunia ke-37 tahun 2019 di sini, hari ini.

Katanya pada tahun ini juga, Jabatan Kastam lebih fokus kepada peranannya dalam meningkatkan kelancaran dan kepantasan pergerakan barang, orang dan pengangkutan merentasi sempadan dengan bantuan dan kerjasama erat bersama agensi lain di sempadan dengan tujuan dapat memacu ekonomi negara dan mengelakkan kebocoran hasil.