Categories
AGENDA SUKANKINI

Pasukan bola sepak, hoki negara gagal lagi ke Olimpik

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: Ternyata bahawa prestasi dua sukan popular negara iaitu bola sepak dan hoki semakin merosot apabila sekali lagi gagal untuk melayakkan diri ke pentas Sukan Olimpik di Tokyo 2020 yang akan bermula pada 23 Julai ini.

Skuad bola sepak negara atau lebih dikenali sebagai Harimau Malaya, telah dua kali berjaya melayakkan ke Sukan Olimpik iaitu di Munich pada 1972 dan edisi Moscow pada 1980. Tetapi mereka memboikot Sukan Olimpik Moscow.

Semasa edisi 1972 di Munich, Malaysia menduduki tempat ke-10 dalam kalangan 16 negara yang mengambil bahagian, setelah tewas 3-0 kepada Jerman Barat dan 6-0 kepada Maghribi, namun berjaya menewaskan Amerika Syarikat (AS) 3-0 untuk menduduki tempat ketiga dalam Kumpulan A.

Gol jaringan Shaharuddin Abdullah, Allahyarham Wan Zawawi Wan Yusof dan Allahyarham Salleh Ibrahim menentang AS, adalah sesuatu yang dihargai bagi peminat Harimau Malaya.

Bekas ketua pasukan kebangsaan Datuk Soh Chin Aun, yang pernah beraksi di pentas Olimpik 1972 dan merupakan sebahagian daripada pasukan yang layak ke Olimpik 1980, berharap pihak berkepentingan berusaha secara proaktif untuk memastikan Malaysia layak ke sukan berprestij itu dalam masa terdekat.

Tatkala, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyasarkan slot ke Olimpik Paris 2024, bekas pemain pertahanan berusia 71 tahun itu berkata keadaan menjadi semakin sukar bagi Malaysia untuk melayakkan diri kerana negara lain kini didapati semakin hebat.

“Sudah semestinya, beraksi di Olimpik adalah suatu pencapaian tertinggi dalam sukan. Bukan senang untuk ke Olimpik. Semoga mereka semua melakukan yang terbaik (namun mereka akan) dan perlu berusaha untuk layakkan diri.

“Bagi saya, kini menjadi semakin sukar untuk kita melayakkan diri, kerana pasukan dari Asia seperti Korea Selatan, Jepun dan negara-negara Arab, jauh lebih baik berbanding kita,” kata Chin Aun, yang mesra digelar sebagai ‘Tauke’ dan terkenal dengan sikap kepimpinan yang bijak dan tegas sama ada di atas atau luar padang, kepada Bernama.

Legenda bola sepak kebangsaan yang berasal dari Melaka itu, mewakili Malaysia dari tahun 1969 hingga 1984 dan membimbing pasukan kebangsaan meraih pingat gangsa pada Sukan Asia 1974 di Tehran, Iran.

Pada Sukan Olimpik 1972, Chin Aun sebaris dengan beberapa pemain bola sepak terbaik Malaysia antaranya Allahyarham Namat Abdullah, M. Chandran, V. Krishnasamy, Wong Kam Fook, Wong Choon Wah, Harun Jusoh, Ali Bakar, Looi Loon Teik, Lim Fung Kee, dan Bahwandi Hiralal.

Walaupun bola sepak, iaitu sukan paling popular di Malaysia, hanya berjaya layak sebanyak dua kali ke Sukan Olimpik, namun sukan berpasukan kedua paling popular, iaitu hoki berjaya layak sebanyak sembilan  kali ke temasya sukan terbesar dunia itu.

Malah, pasukan hoki lelaki kebangsaan berjaya tampil dalam empat edisi berturut-turut dari 1964 hingga 1976, dengan pencapaian terbaik mereka berada dua kali pada kedudukan kelapan iaitu di Munich 1972, membabitkan pertandingan 11 negara dan berjaya melayakkan di Montreal empat tahun kemudian, dalam 16 pasukan yang mengambil bahagian.

Namun, bintang mereka telah merosot setelah kali terakhir layak ke Olimpik Sydney 2000. The Speedy Tigers, gelaran buat skuad hoki lelaki kebangsaan, sejak itu telah ketinggalan lima kali berturut-turut untuk menyertai edisi Sukan Olimpik.

Ketua Pasukan Speedy Tigers di Sukan Sydney 2000, Datuk Mirnawan Nawawi mengakui bahawa beliau sedih melihat pelapisnya dalam pasukan kebangsaan sekali lagi gagal layak ke Olimpik,  namun optimis bahawa pemain kebangsaan mempunyai semua kualiti untuk dipamerkan.

Datuk Mirnawan Nawawi, yang merupakan kapten Speedy Tigersm ketika skuad kebangsaan itu tampil kali terakhir di Olimpik Sydney, optimis bahawa barisan pemain yang ada kini mempunyai kemampuan untuk menamatkan kemarau penantian yang berpanjangan sekali gus layak ke Olimpik Paris pada 2024.

Bagi, Mirnawan, yang digelar sebagai ‘Bos’, usaha keras perlu bermula dari sekarang.

“Tak guna kita kenang balik atau menangis mengenai peluang terlepas, tetapi harus belajar daripada pengalaman supaya kita layak ke edisi seterusnya. Selain perancangan yang rapi dan teliti, serta program yang baik, kita memerlukan pemain dengan mentaliti menjadi juara, yang laparkan kejayaan di kejohanan-kejohanan kelayakan dan pertandingan berperingkat tinggi.

“Dengan adanya sokongan daripada semua pihak dan kerja keras daripada pemain, kita mampu layak ke Olimpik Paris 2024. Anda bukan seorang pemain bertaraf antarabangsa yang sempurna sehingga anda beraksi di Olimpik,” kata pembawa bendera kontinjen negara Sukan Olimpik Sydney 2000 itu.

Mirnawan, yang bermain untuk pasukan kebangsaan selama 14 tahun dari 1989 dan tampil dalam tiga Sukan Olimpik (1992, 1996, 2000) sebelum dilantik sebagai pengurus pasukan kebangsaan tahun lalu, mengakui bahawa impiannya adalah untuk melihat generasi pemain Malaysia yang lain layak ke Sukan Olimpik.

— BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Mirnawan Nawawi dilantik pengurus skuad lelaki negara

KUALA LUMPUR, 27 SEPT: Ikon hoki negara Datuk Mirnawan Nawawi dilantik sebagai pengurus pasukan lelaki negara berkuat kuasa serta-merta bagi membantu ketua jurulatih Arul Selvaraj sehingga Sukan Olimpik Paris 2024.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal mengesahkan pelantikan itu selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Eksekutif badan induk hoki negara itu di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, petang semalam.

“Kami sebulat suara bersetuju melantik Mirnawan sebagai pengurus skuad senior lelaki kebangsaan. Sudah tiba masanya kita kembali ke era dahulu apabila ikon hoki diberikan tanggungjawab mengemudikan pasukan kebangsaan.

“Sebelum ini, kita lantik jurulatih sebagai pengurus pasukan tapi kita merasakan sistem tersebut tidak memberi kesan positif kerana peranan jurulatih dan pengurus berbeza. Pengurus lebih kepada motivasi, jurulatih lebih kepada taktikal,” katanya kepada media, semalam.

Skuad Hoki Kebangsaan giat berlatih setelah hampir tiga bulan menghentikan segala aktiviti di semua peringkat sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 1 Julai 2020. Foto BERNAMA

Mesyuarat itu turut membincangkan mengenai bekas pemain kebangsaan bagi jawatan pengurus pasukan hoki wanita serta pengurus pasukan hoki remaja.

Mengenai pelantikan pengarah teknikal Projek Khas Sukan Asia 2026, Subahan berkata tiada kata putus dimuktamadkan setakat ini.

Beliau berkata pihaknya memerlukan sedikit masa untuk membuat pertimbangan sebelum mengumumkan pelantikan jawatan baharu itu.

“Kita berharap jawatan tersebut dapat diisi sebelum Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) bermula pada 1 Oktober depan,” katanya.

Jawatan berkenaan diwujudkan buat pertama kali untuk memastikan skuad hoki lelaki dan wanita negara meraih pingat emas pada Sukan Asia 2026 di Nagoya, Jepun.

– BERNAMA