Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Burung pemangsa tidak bawa selesema H5N8 ke Malaysia

ALOR GAJAH, 16 MAC: Tiada ancaman selesema burung (H5N8) dikesan di Malaysia ketika penghijrahan burung pemangsa dari hemsifera selatan yang berlangsung sejak awal Mac ini, kata Presiden Pencinta Alam Malaysia (MNS) Prof Dr Ahmad Ismail.

Beliau berkata walaupun terdapat kes selesema burung dikesan di Algeria Februari lepas yang disebabkan oleh penghijrahan burung-burung berkenaan, namun setakat ini Malaysia masih terselamat daripada ancaman itu.

“Di Malaysia, burung-burung penghijrah yang sering datang ke Selat Melaka pada Mac adalah berbeza daripada burung-burung yang berhijrah ke bahagian Afrika kerana terdapat kelompok burung yang berbeza.

“Bagaimanapun, burung-burung yang berhijrah ke sini berdepan ancaman habitat terutama di kawasan paya bakau yang terjejas dengan tumpahan minyak Oktober lepas yang masih belum dapat dibersihkan sepenuhnya,” katanya ketika ditemui Bernama di Tanjung Tuan di sini, hari ini.

Februari lepas, Algeria mengisytiharkan darurat selepas Pertubuhan Dunia untuk Kesihatan Haiwan (OIE) mengumumkan penularan selesema burung yang melanda kawasan timur negara berkenaan.

Menteri Pertanian Algeria Abdelhamid Hamdani dipetik sebagai berkata sumber virus berkenaan dikesan daripada burung yang berhijrah dengan wabak berkenaan dikesan di bandar kota Ain Fakrounm.

Pensyarah Ekotoksikologi dan Ekologi Hidupan Liar, Jabatan Biologi, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata bagaimanapun pemantauan terhadap kemungkinan selesema burung perlu diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengelak ia berlaku pada masa depan.

Beliau berkata setakat ini, terdapat kira-kira 15,000 burung pemangsa itu dikesan sejak 10 hari lepas dengan kumpulan burung berkenaan mendiami kawasan paya bakau di sepanjang Selat Melaka.

Mengulas mengenai hutan pesisir pantai di Tanjung Tuan yang menjadi penampan hakisan pantai di Melaka serta habitat pelbagai jenis hidupan termasuk burung pemangsa yang semakin ‘nazak’ akibat tumpahan yang sukar dibersihkan, Ahmad berkata perkara itu perlu diberi perhatian oleh semua pihak.

“Kawasan hutan bakau di pesisir pantai ini amat penting kerana burung pemangsa memerlukannya kerana ia menyediakan makanan seperti tikus, cicak dan anak-anak burung.

“Tumpahan minyak yang berlaku boleh menyebabkan pokok bakau mati sekali gus menyebabkan gangguan terhadap habitat burung-burung penghijrah ini yang amat bergantung kepada alam sekitar untuk terus hidup,” katanya.

Burung pemangsa ialah burung jenis maging yang mempunyai ciri pemburu dan pemangsa seperti sayap ringan, mata tajam, paruh bercangkuk, kuku besar dan tajam.

Pada musim sejuk di Hemisfera Utara, ketika sumber makanan dalam kawasan pembiakan menurun, ia akan berhijrah ke selatan yang panas kerana makanan lebih mudah didapati.

Antara burung pemangsa yang sering berhijrah ke Selat Melaka pada setiap Mac adalah Helang Lebah (Oriental Honey Buzzard), Helang Baza Berjambul (Black Baza), Helang Sewah (Japanese Sparowhawk), Alap-Alap Cina (Chinese Goshawk), Helang Merah (Brahminy Kite) dan Lang Baza Hitam (Grey-faced buzzard).

– BERNAMA

 

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA PENDAPAT RENCANA

Pokok bakau perlu ditanam berkala, baiki ekosistem

Oleh Ahmad Muliady Abdul Majid

(Laporan ini sempena Hari Antarabangsa untuk Pemuliharaan Ekosistem Bakau yang disambut 26 Julai)

KUALA PERLIS, 26 JULAI: Penanaman pokok bakau perlu dilakukan secara berkala dan berterusan agar ia mampu membaiki semula ekosistem hutan paya yang bukan hanya memberi kesan kepada alam sekitar tetapi turut menjejaskan pendapatan nelayan khususnya nelayan persisiran pantai.

Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof Dr Ahmad Ismail berkata usaha yang dilakukan kerajaan menanam pokok bakau di persisiran pantai contohnya di Kuala Perlis adalah perkara yang baik namun begitu proses kemenjadiannya tidak 100 peratus. Hanya sekitar 20 hingga 30 peratus sahaja.

“Aktiviti ini perlu dilakukan secara berkala dengan menyulam pokok bakau yang telah mati dan menambah bilangan pokok bakau di kawasan lain, walaupun usaha ini masih di peringkat awal ia sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan masalah hakisan pantai,” katanya kepada Bernama.

Ahmad berkata usaha penanaman bakau perlu diperhebatkan lagi dengan menanam lebih banyak pokok bakau bagi meningkatkan pertumbuhan organisma bentos seperti siput, ketam dan sebagainya yang akan menjadi populasi awal hidupan marin di kawasan pantai serta menyediakan makanan kepada burung pantai dan burung laut.

Katanya memandangkan Perlis mengalami kemusnahan pokok bakau yang serius, sokongan pihak korporat, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan penduduk tempatan sangat diperlukan bagi menjayakan program penanaman pokok bakau sepanjang pantai negeri Perlis.

“Hutan bakau sepanjang pantai boleh membantu melindungi ekosistem pantai daripada hakisan, menggalakkan kepelbagaian biologi marin dan aktiviti pelancongan, meningkatkan aktiviti perikanan pantai, pendidikan dan penyelidikan,” katanya.

Penanaman Pokok Bakau Jadikan Pantai Lebih Produktif

Selain itu Ahmad berkata penanaman pokok bakau boleh menjadikan kawasan pantai lebih produktif memerangkap sedimen, menapis bahan-bahan kimia sekiranya berlaku pencemaran dan meningkatkan pertumbuhan hidupan marin yang akhirnya hasilnya boleh meningkatkan pendapatan nelayan persisiran pantai.

“Usaha ini bukan hanya untuk mengelak hakisan pantai sahaja sebaliknya dapat memberi faedah kepada masyarakat setempat dalam aktiviti ekopelancongan dan pendidikan kepada generasi muda terhadap sains,” katanya.

Wartakan Hutan Paya Laut

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Awang Shaffie Awang Ahmadni berkata di peringkat negeri, usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan paya laut telah bermula sejak tahun 2005 apabila kerajaan negeri terlibat secara langsung dalam ‘Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-spesies Yang Sesuai di Pesisiran Pantai Negara’.

“Sehingga 2017 sebanyak 116,683 pokok bakau dan spesies bersesuaian ditanam di sepanjang persisiran pantai negeri Perlis yang melibatkan tanaman seluas 31.0 hektar. Program ini dijalankan seiring dengan program penyelenggaraan tanaman dan kempen kesedaran melibatkan kumpulan sasar seperti pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) dan komuniti setempat,” katanya.

Awang Shaffie berkata Perlis komited dengan usaha pemeliharaan hutan paya laut di negeri Perlis dengan mewartakan hutan paya laut yang pertama bagi negeri Perlis iaitu Hutan Simpan Pulau Ketam seluas 12.87 hektar pada 18 Okt 2019.

Keluasan Hutan Paya Bakau Menurun, Pendapatan Nelayan Merosot

Berdasarkan statistik tahun lepas, jumlah keluasan hutan paya bakau negara hanya sekitar dua peratus daripada jumlah keluasan negara iaitu sebesar 537,686 hektar iaitu 25,000 hektar hutan paya bakau telah musnah dalam tempoh 10 hingga 12 tahun akibat pembangunan.

Faktor ini jelas memberi kesan kepada pendapatan nelayan persisiran pantai, seperti nelayan veteran, Musa Yahya, 72, yang berkata beliau rindukan zaman Kuala Perlis menjadi lubuk rezeki bagi nelayan.

“Jumlah tangkapan ikan yang diperoleh nelayan persisiran pantai hari ini tidak semeriah dahulu, seingat Pak Ngah 50 tahun dahulu, kalau nak dapat sepikul dua ikan senangin boleh dapat dalam masa satu malam sahaja,” kata bapa lima anak itu kepada Bernama di sini.

Musa yang lebih mesra disapa Pak Ngah berkata hasil laut mula berkurangan sejak 20 tahun kebelakangan ini apabila pokok bakau dan api-api yang menjadi ‘sarang ikan’ yang dahulu tumbuh subur, telah tiada.

“Dulu dekat sini terdapat banyak udang, tapi sekarang kalau dapat tangkap seekor dua udang kira bernasib baik. Ini mungkin kerana pembinaan benteng persisiran pantai bagi mencegah hakisan telah memusnahkan habitat udang,” kata Razman Ismail, 55, anak jati Kuala Perlis.

Razman yang mula bergelar nelayan sejak berusia 18 tahun berkata hasil yang diraihnya sekarang sekitar RM60 hingga RM100 sehari bergantung kepada keadaan cuaca dan laut.

Bapa tujuh anak itu memuji usaha yang dilakukan kerajaan untuk pemuliharaan semula hutan paya laut dengan projek tanaman pokok bakau di persisiran pantai Kuala Perlis.

“Alhamdulillah kami nelayan menyokong usaha murni ini bukan hanya dapat menghalang hakisan pantai sebaliknya pada masa yang sama dapat memulihkan semula pembiakan hidupan laut di persisiran pantai dalam jangka masa panjang,” katanya.

-BERNAMA