OLEH NADIAH ZAMLUS
SHAH ALAM, 18 APR: Pemain bola sepak Mesir, Mohamed Salah diiktiraf antara 100 tokoh paling berpengaruh di dunia oleh TIME 2019.
Bintang Liverpool beragama Islam itu juga lebih dikenali dengan panggilan Mo Salah di kalangan peminatnya.
“Mo Salah adalah manusia yang sangat baik, dia adalah ikon Muslim seluruh dunia, beliau secara personalitinya adalah rendah diri, bijak dan lucu. Pendek kata Mo Salah adalah manusia yang amat baik walaupun kita melihatnya sebagai seorang pemain bola sepak,” kata pengacara ‘HBO’s Last Week Tonight with John Oliver’, John William Oliver, dalam coretannya di TIME.
Mo Salah mencipta sejarah apabila menjadi pemain Mesir pertama dinamakan Pemain Terbaik Tahunan, Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional England (PFA), tahun lalu.
Pemain berusia 26 tahun itu menerima anugerah berkenaan kerana persembahannya dengan menjaringkan 41 gol dalam semua kejohanan sejak menyertai kelab itu dari AS Roma tahun lalu, membantu Liverpool mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara dan memastikan empat tempat teratas Liga Perdana.
Kejayaan demi kejayaan Mo Salah turut berjaya menarik perhatian Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.
Susulan itu, Dr Zulkifli terpanggil untuk berkongsi pendapatnya dengan netizen mengenai rahsia kejayaan Salah.
Katanya, kejayaan Salah pada hari ini bukan sahaja kerana kelincahan semasa berada di atas padang tetapi sikap pemain itu yang sentiasa mengutamakan pegangan agama.
“Kejayaan demi kejayaan dirangkulnya jika dilihat daripada perspektif yang lebih luas, bukan sahaja kerana kelincahan beliau tetapi juga adalah kerana sikap beliau yang begitu menjaga solat dan hubungannya dengan Allah SWT.
“Melihat kepada latar belakang hidupnya, benarlah disiplin solat telah berjaya mengubah hidupnya menjadi apa yang anda lihat hari ini,” katanya.