Categories
SELANGOR

Koleksi botol minuman di Pameran Botologi Malaya

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 20 NOV: Peminat koleksi botol kini boleh melihat sendiri pelbagai jenama botol minuman melalui Pameran Botologi Malaya di Muzium Sultan Alam Shah, di sini.

Kurator Kanan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT), Mohamad Haris Shahid berkata, pameran tersebut bermula Sabtu lalu dan berakhir, pada 31 Januari 2018.

“Pameran ini adalah kerjasama antara PADAT dan Persatuan Botologi Malaya mempamerkan koleksi botol minuman soda yang jarang dijumpai daripada pelbagai jenama yang pernah berada di pasaran Malaysia.

“Orang ramai dan peminat boleh datang menyaksikan sendiri secara percuma koleksi botol minuman ini yang terdiri daripada 50 jenama tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Mohamad Haris berkata, pameran pertama kali diadakan di Malaysia itu mengumpulkan kira-kira 1,250 botol dengan penglibatan 16 pengumpul koleksi botol tersebut.

“Idea untuk merealisasikan pameran ini tercetus daripada Persatuan Botologi Malaya supaya masyarakat tahu akan kewujudan botol ini dengan lebih lanjut dari peringkat awal hingga akhir,” tambahnya.

Bagi seorang pengumpul koleksi botol, Megat Shazrin Khalid berkata, minatnya tercetus apabila menjumpai sebiji botol yang tertanam ketika membuat penggambaran di tanah perkuburan.

“Saya jumpa botol coke lama ketika menggali tanah untuk babak di tanah perkuburan dan selepas itu terus berminat nak kumpul.

“Setiap botol ini mempunyai nilai sentimentalnya tersendiri dan revolusi botol kaca ini berbeza mengikut pengeluaran dari tahun ke tahun,” katanya.