Categories
NASIONAL

Tahan Yazid Sufaat Bukti Umno-BN Terus Kekang Sistem Kehakiman

yb saari grafik yazid sufaat copy

SHAH ALAM 8 FEB : Kewujudan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) dilihat sebagai satu usaha kesinambungan Kerajaan Umno-BN untuk mengekalkan bidang kuasa eksekutifnya dalam sistem kehakiman negara.

Menurut Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungib, tindakan itu juga bertujuan bagi menyembunyikan skandal Kerajaan Umno-BN daripada dibicarakan secara terbuka dan penuh adil di mahkamah.

Ujarnya, akta baru yang diluluskan parlimen pada Julai tahun lalu itu tidak mempunyai banyak perbezaan dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan sebelum ini.

“Seperti ISA, akta baru ini juga dilihat menghadkan dan menekan kuasa mahkamah yang sepatutnya bebas daripada campur tangan eksekutif, yang sepatutnya berpeluang untuk melakukan semakan dengan teliti dalam sesuatu perbicaraan.

“Bagaimanapun, tekanan ini penting untuk BN amalkan kerana jika penghakiman adil dijalankan, maka sudah pasti rahsia dan skandal mereka dalam isu-isu tertentu akan terbongkar,” jelas Adun Hulu Kelang ini.

Mengulas penahanan Yazid Sufaat semalam di bawah akta itu, Saari berkata ia dilakukan secara tidak adil serta mencabul hak asasi manusia.

“Sepatutnya beliau perlu diberikan peluang untuk mendapatkan peguam kerana dalam tempoh 24 jam tanpa khidmat nasihat undang-undang, kita boleh andaikan macam-macam perkara boleh berlaku.

“Dengan tiada hak untuk diikat jamin, tiada ruang membela diri, ia sememangnya sama seperti ISA, sama sekali tidak adil,” tegas Saari yang pernah menerima pengiktirafan antarabangsa atas sumbangan beliau dalam mempertahankan hak asasi manusia.

Yazid Sufaat, seorang bekas tahanan ISA, ditahan bersama pekerjanya, Mohd Hilmi Hasim di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) di kantin Mahkamah Tinggi Jalan Duta pada jam 12.30 tengah hari semalam.

Penahanan mereka mendapat reaksi negatif daripada pelbagai pihak termasuk Suaram yang menyifatkan akta itu sebagai satu bentuk tindakan kerajaan menzalimi rakyat, seterusnya menggesa agar akta tersebut dimansuhkan segera.

Akta Kesalahan Keselamatan (langkah-langkah Khas) memberi kuasa besar kepada pihak polis untuk menahan orang yang dituduh sehingga 28 hari untuk tujuan siasatan tanpa melalui proses mahkamah.

Orang yang dituduh juga tidak dibenarkan bertemu peguam dalam tempoh 48 jam atau dua hari selepas ditahan.

Selain itu, akta ini juga memberi ruang untuk polis membuat tangkapan secara wewenangan berdasarkan Klausa 4 (1) yang memberi kuasa kepada polis untuk membuat penangkapan tanpa waran.