Categories
NASIONAL

Mufti Selangor setuju acara sentuh anjing jika tepati syarak tapi…

Oleh AFIX REDZUAN
SHAH ALAM 20 OKT: Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid bersetuju dengan kempen menyentuh anjing jika acara itu menekankan tiga tujuan pemeliharaan haiwan itu mengikut Islam.
“Kalau matlamat acara itu untuk mengetahui bahawa Islam memang menggalakkkan memelihara anjing dengan tiga tujuan, ini saya setuju,” katanya kepada Selangor Kini.
Beliau merujuk kepada kelonggaran untuk menjadikan anjing sebagai binatang terlatih untuk pemburu, mengawal keselamatan rumah atau mengesan bahan terlarang seperti dadah.
“Maknanya, bagaimana kaedah menjadikan anjing itu jinak, dididik dan terlatih. Boleh mengikut arahan tuannya. Ini saya setuju.
“Tetapi kalau semata-mata untuk perkenalkan anjing ialah binatang yang boleh dipelihara seperti kucing, saya tidak setuju,” katanya.
Mempersoal matlamat acara itu yang disifatkannya tidak jelas, Tamyes menyifatkan acara itu gagal membuang persepsi negatif masyarakat Islam terhadap anjing.
Sebaliknya, beliau khuatir berlaku pemindahan najis mughallazah (berat) kepada pemegang haiwan itu dalam penganjuran acara berkenaan.
“Anjing yang dibawa kecil-kecil, tidak ada siapa takut. Kalau yang besar atau garang, silap gaya digigit atau disalak. Itu mengundang ketakutan.
“Yang dibawa semata-mata untuk memperkenal mereka yang pelihara anjing sebagaimana pelihara binatang ternakan lain seperti kucing.
“Kalau itu matlamatnya, memang tersasar untuk menjadikan anjing sebagai binatang ternakan,” katanya.
Ratusan umat Islam mengunjungi acara ‘I Want to Touch a Dog’ di Central Park, Bandar Utama yang bertujuan mengatasi persepsi negatif terhadap anjing.
Categories
SELANGOR

Penolong Pendaftar Nikah Perlu Komited Laksanakan Tugas

SHAH ALAM, 15 MEI : Penolong Pendaftar Nikah di Selangor diingatkan untuk berusaha memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dengan meningkatkan tahap keupayaan dan kebolehan semasa menjalankan tugas.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Penolong Pendaftar Nikah berperanan besar terhadap pembangunan keluarga kerana membentuk masyarakat mengikut hukum syarak.

Selain itu, mereka juga perlu meningkatkan kemahiran komunikasi dengan berusaha menguasai pelbagai bahasa etnik lain.

“Penolong Pendaftar Nikah harus menguasai teknologi sejajar dengan dunia tanpa sempadan bagi memudahkan segala urusan yang dijalankan. Penggunaan email dan laman sosial boleh dijadikan sebagai medium komunikasi secara maya terhadap masyarakat yang diberi perkhidmatan,” katanya dalam ucapan perasmian Muzakarah Penolong Pendaftar Nikah peringkat negeri Selangor di Dewan Seri Bankuet Intekma Resort & Convention Centre di sini hari ini.

Abdul Khalid menambah, program seumpama ini mendatangkan kebaikan terhadap isu perkahwinan kerana ia dapat diketengahkan dan dibahaskan bagi mencari penyelesaian tuntas dan bernas.

Tambahnya, jabatan berkaitan juga perlu memastikan integriti Penolong Pendaftar Nikah dilaksanakan dengan telus dan jujur agar tidak berlaku tindakan yang bercanggah dengan kehendak syarak.

“Saya sangat menaruh harapan agar individu yang dipilih ini tidak terlibat dengan salah guna kuasa dalam menjalankan tugas. Saya juga berharap mereka dapat menjalankan tugas dengan berdisiplin dengan masyarakat,” tegasnya.

Program itu adalah bagi memberi anjakan paradigma kepada Penolong Pendaftar Nikah supaya gerak kerja yang dilakukan selaras dengan prosedur yang ditetapkan dalam mencapai matlamat ajaran Islam.

Selain itu, ia bagi meningkatkan tahap profesionalisma di kalangan Pendaftar Nikah seluruh negeri.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam (Jais), Datuk Marzuki Hussin dan Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Sehingga kini, jumlah keseluruhan mereka yang dilantik di bawah Seksyen 28 (1) dan Seksyen 28 (2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 adalah seramai 429 orang.