Categories
NASIONAL

Mufti Selangor setuju acara sentuh anjing jika tepati syarak tapi…

Oleh AFIX REDZUAN
SHAH ALAM 20 OKT: Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid bersetuju dengan kempen menyentuh anjing jika acara itu menekankan tiga tujuan pemeliharaan haiwan itu mengikut Islam.
“Kalau matlamat acara itu untuk mengetahui bahawa Islam memang menggalakkkan memelihara anjing dengan tiga tujuan, ini saya setuju,” katanya kepada Selangor Kini.
Beliau merujuk kepada kelonggaran untuk menjadikan anjing sebagai binatang terlatih untuk pemburu, mengawal keselamatan rumah atau mengesan bahan terlarang seperti dadah.
“Maknanya, bagaimana kaedah menjadikan anjing itu jinak, dididik dan terlatih. Boleh mengikut arahan tuannya. Ini saya setuju.
“Tetapi kalau semata-mata untuk perkenalkan anjing ialah binatang yang boleh dipelihara seperti kucing, saya tidak setuju,” katanya.
Mempersoal matlamat acara itu yang disifatkannya tidak jelas, Tamyes menyifatkan acara itu gagal membuang persepsi negatif masyarakat Islam terhadap anjing.
Sebaliknya, beliau khuatir berlaku pemindahan najis mughallazah (berat) kepada pemegang haiwan itu dalam penganjuran acara berkenaan.
“Anjing yang dibawa kecil-kecil, tidak ada siapa takut. Kalau yang besar atau garang, silap gaya digigit atau disalak. Itu mengundang ketakutan.
“Yang dibawa semata-mata untuk memperkenal mereka yang pelihara anjing sebagaimana pelihara binatang ternakan lain seperti kucing.
“Kalau itu matlamatnya, memang tersasar untuk menjadikan anjing sebagai binatang ternakan,” katanya.
Ratusan umat Islam mengunjungi acara ‘I Want to Touch a Dog’ di Central Park, Bandar Utama yang bertujuan mengatasi persepsi negatif terhadap anjing.

Leave a Reply

Your email address will not be published.