Categories
PBT SELANGOR

MPS tubuh bilik gerakan Covid-19, pantau kes libat kakitangan

SHAH ALAM, 30 OGOS: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menubuhkan bilik gerakan bagi memantau kes Covid-19 membabitkan kakitangannya.

Yang dipertuanya berkata bilik gerakan beroperasi sejak 23 Januari lalu memudahkan siasatan punca kes dan rantaian kontak tempat kerja.

“Ia menguruskan data berkaitan petugas dijangkiti wabak dan menyelaras maklumat dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Gombak.

“Arahan menjalani saringan akan dikeluarkan terhadap mereka yang menjadi kontak rapat selain dimakaikan gelang kuarantin dan memberi surat pelepasan selepas tamat tempoh,” kata Mohd Yazid Sairi ketika mempengerusikan mesyuarat bulanan MPS hari ini.

Menurutnya, MPS mengambil serius kebajikan dan keselamatan kakitangan sepanjang menjalankan tugas terutama yang bertugas di lapangan seperti penguat kuasa, petugas pembersihan serta petugas penyelenggaraan.

Sementara itu, Mohd Yazid berkata seramai 167 kakitangan dijangkiti Covid-19 setakat 26 Ogos lalu dengan 16 daripadanya masih dikuarantin.

Beliau turut memaklumkan 1,066 atau 95.52 peratus anggota MPS lengkap menerima dos vaksin dan hanya 16 lagi belum berbuat demikian.

Categories
PBT SELANGOR

Mohd Yazid dilantik yang dipertua MPS baharu

SHAH ALAM 30 JULAI: Mohd Yazid Sairi dilantik sebagai yang dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Selayang (MPS) baharu berkuat kuasa 19 Julai lalu.

Berucap dalam majlis angkat sumpah pada Selasa, beliau bertekad memberi penekanan berhubung isu kilang tanpa kebenaran, pembuangan sampah haram, kacau ganggu dan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP).

“Saya berhasrat untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Kerjasama diharapkan daripada barisan ahli majlis untuk menjadi perantara antara masyarakat dalam menyalurkan maklumat dan aduan bagi membolehkan MPS membuat tindakan,” katanya.

Pelantikan Mohd Yazid sebagai YDP kelapan menggantikan Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor yang berpindah ke Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).

Beliau yang berusia 47 tahun merupakan pemegang Sarjana Pengurusan Strategik Sumber Manusia di Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) dan mempunyai pengalaman hampir 21 tahun dalam pentadbiran awam.

Jawatan terakhir yang disandang beliau ialah timbalan pengarah pegawai tadbir dan diplomatik di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Categories
SELANGOR

Tiga projek mega baiki infrastruktur di Sepang

OLEH NORHAYATI UMOR

CYBERJAYA, 22 MEI: Tiga projek mega membabitkan kerja menaik taraf bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di daerah ini sedang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Pegawai Daerah Sepang, Mohd Yazid Sairi berkata, projek yang menelan kos RM321 juta itu membabitkan kerja menaik taraf Jalan B48 hingga Simpang Tiga Jenderam Ke Pekan Sepang Lama (RM105 juta) dan jejambat merentasi Persimpangan FT29/FT31 dengan kos RM70 juta.

“Turut dibina jalan ‘bypass’ dari Sungai Blankan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sepanjang 19.5 kilometer dengan kos RM146 juta,” katanya dalam sembah ucapan pada Majlis Berbuka Puasa DYMM Sultan Selangor Bersama Rakyat dan sambutan Nuzul Al-Quran di Masjid Raja Fi Sabilillah, di sini.

Pada masa sama, Mohd Yazid berkata, sebanyak sembilan projek membabitkan pembinaan kolam, takungan banjir dan tebatan banjir turut dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran dengan kos RM89.45 juta.

“Bagi pembangunan luar bandar, sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan untuk menyelenggara jalan luar bandar dan memperbaiki kemudahan awam seperti balairaya dan padang sukan,” katanya.

Sementara itu, sebanyak RM17 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri untuk menaik taraf Maahad Integrasi Tahfidz Sains Bagan Lalang, meliputi pembinaan blok asrama baru dan bangunan akademik dalam usaha memperkukuh institusi Islam.

Categories
SELANGOR

Cyberjaya model bandar pintar Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

CYBERJAYA, 22 MEI: Cyberjaya akan terus dipacu sebagai model bandar pintar di Selangor, kata Pegawai Daerah Sepang, Mohd Yazid Sairi.

Beliau berkata, model itu merangkumi pembangunan ‘Cyberjaya City Centre’ dan ‘Cyberjaya Innovation Fund For The Future’.

Katanya, penubuhan Hab Serantau Teknologi Kewangan dan Hospital Cyberjaya yang sedang dibina turut menjadi model pembangunan daerah itu.

“Daerah Sepang khususnya Cyberjaya dipilih untuk pembangunan kluster teknologi tinggi dan taman sains merangkumi Kluster Aeropolis dan Aeroangkasa iaitu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, manakala Kluster eko pelancongan pula di sepanjang persisiran Pantai Morib hingga Sungai Pelek,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sembah ucapannya kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan sambutan Nuzul Al-Quran di Masjid Raja Fi Sabilillah, di sini.

Mohd Yazid berkata, pelbagai jenis pembangunan berimpak tinggi itu membolehkan Sepang menjadi bandar raya terkemuka di Asia.

“Lebih-lebih lagi kita mempunyai Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang mengandungi kompleks perniagaan komersil, zon komersil bebas, taman tema, hotel, dewan persidangan, zon pemuliharaan alam semula jadi dan zon pelancongan hijau,” katanya.

Sementara itu, katanya, projek pembangunan berorientasikan pelancongan juga giat dirancang, bermula dengan projek KLIA Aeropolis dari pantai Bagan Lalang sehingga ke pantai Tanjung Rhu.

“Pembangunan di pesisir pantai ini dijangka akan mengubah landskap Sepang sebagai destinasi pelancongan yang menarik, menawarkan kemudahan hotel, taman tema, vila, restoran, dewan persidangan dan pusat membeli-belah,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Yazid berkata, pihak swasta turut memainkan peranan dalam pembangunan di Sepang membabitkan pelbagai projek perumahan, perniagaan dan perindustrian.

Katanya, penyertaaan pihak swasta itu menjadi pemangkin kepada strategi pembangunan secara klusterisasi yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri.

 

Categories
SELANGOR

Tagline ‘Made in Sepang’ bawa produk usahawan ke mata dunia

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEPANG, 1 DIS: Tagline ‘Made in Sepang’ bakal membawa produk daerah itu ke peringkat lebih tinggi sekali gus memperkasakan usahawan di situ.

Pegawai Daerahnya, Mohd Yazid Sairi berkata, Sepang sememangnya terkenal dengan pelbagai produk dilahirkan usahawan berjaya termasuk buah naga dan nenas premium.

Katanya, selain itu produk pertanian termasuk ubi kayu, terung dan betik turut mendapat permintaan luas sehingga ke luar negara.

“Justeru penggunaan tagline ‘Made in Sepang’ ini diyakini mampu melebarkan lagi sayap usahawan di Sepang kerana kita mempunyai ‘branding’ tersendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Jelajah Usahawan Selangor (JUSEL) peringkat daerah Sepang di Tapak Penjaja Putra Perdana, Puchong, di sini.

Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail.

Mohd Yazid berkata, jelajah berkenaan membuka mata masyarakat setempat berhubung peluang yang diberi Kerajaan Negeri untuk membantu masyarakat menjadi usahawan berjaya.

Katanya, pelbagai agensi Kerajaan Negeri seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) dan pihak perbankan bersedia membantu orang ramai yang berminat menjadi usahawan.

“Saya juga menggesa supaya persepsi memiliki ijazah sebagai kejayaan utama dalam kehidupan seseorang perlu diubah.

“Kita tidak mahu lagi pemilik ijazah hanya mencari kerja sahaja, sebaliknya mereka perlu mewujudkan peluang pekerjaaan buat orang lain melalui bidang usahawan.

“Oleh itu, gunakanlah peluang sebaiknya apabila program seperti JUSEL ini diadakan, datang dan ambil segala maklumat dari agensi kerajaan yang ingin salurkan kepada anda,” katanya.