Categories
PBT SELANGOR

Najmuddin dilantik yang dipertua MPKj baharu

SHAH ALAM, 2 OGOS: Najmuddin Jemain dilantik sebagai yang dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) baharu berkuat kuasa 19 Julai lalu.

Berucap selepas majlis angkat sumpah hari ini, Najmuddin meminta MPKj berganding bahu membantu golongan terkesan akibat penularan Covid-19 seperti individu hilang kerja, orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal dan warga emas.

“Seluruh kakitangan MPKj perlu sentiasa proaktif menghulurkan bantuan mengikut kemampuan serta memudahkan urusan pemegang taruh bagi bersama-sama bangkit,” katanya.

Najmuddin berkata beliau juga akan memberi fokus meningkatkan sistem penyampaian pihak berkuasa tempatan itu selaras sasaran mencapai status bandaraya di bawah Pelan Strategik MPKj 2021-2025.

Selain itu menjayakan dasar digital negara dan bandar pintar dengan memperkenalkan perkhidmatan serta aplikasi dalam talian bagi memudahkan urusan orang ramai.

Najmuddin, 46, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Malaya (UM) dan Ijazah Sarjana Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau yang sebelum ini memegang jawatan pegawai daerah Hulu Langat menggantikan Dato’ Zulkefli@Zulkefli Khalid.

Categories
PBT SELANGOR

Mohd Yazid dilantik yang dipertua MPS baharu

SHAH ALAM 30 JULAI: Mohd Yazid Sairi dilantik sebagai yang dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Selayang (MPS) baharu berkuat kuasa 19 Julai lalu.

Berucap dalam majlis angkat sumpah pada Selasa, beliau bertekad memberi penekanan berhubung isu kilang tanpa kebenaran, pembuangan sampah haram, kacau ganggu dan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP).

“Saya berhasrat untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Kerjasama diharapkan daripada barisan ahli majlis untuk menjadi perantara antara masyarakat dalam menyalurkan maklumat dan aduan bagi membolehkan MPS membuat tindakan,” katanya.

Pelantikan Mohd Yazid sebagai YDP kelapan menggantikan Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor yang berpindah ke Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).

Beliau yang berusia 47 tahun merupakan pemegang Sarjana Pengurusan Strategik Sumber Manusia di Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) dan mempunyai pengalaman hampir 21 tahun dalam pentadbiran awam.

Jawatan terakhir yang disandang beliau ialah timbalan pengarah pegawai tadbir dan diplomatik di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Categories
PBT SELANGOR

MPK keluar empat kompaun kepada pemilik gudang haram, cemar udara

SHAH ALAM, 8 JUN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengeluarkan empat kompaun terhadap pemilik premis gudang di Jalan Kem, Pelabuhan Klang kerana beroperasi secara haram.

Yang Dipertuanya Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata premis terbabit menjalankan aktiviti menyimpan arang batu, kontena, palet bahan bakar dan sisa cangkung (tempurung sawi).

“Longgokan bahan dan aktiviti pemindahan ke kontena atau lori menyebabkan pencemaran udara kerana habuk berterbangan sehingga ke penempatan penduduk berhampiran.

“Tindakan dibuat di bawah Undang-Undang Kecil 3 (UUK 3) Pelesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian (PTPP) MPK 2007,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Ahmad Fadzli berkata Jabatan Alam Sekitar turut mengeluarkan notis pematuhan pembersihan kerana melakukan aktiviti menyebabkan pencemaran.

“Selain itu polis daerah Klang Selatan turut menahan empat warga asing dipercayai pekerja premis mengikut Akta 342 Kanun Keseksaan.

“MPK akan memperhebatkan operasi membanteras kilang haram dari semasa ke semasa dengan kerjasama pelbagai agensi selain mengarahkan semua jabatan sentiasa peka aduan setempat,” katanya.

Pada Ahad lepas Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri membangkitkan isu operasi gudang tersebut selepas menerima rungutan penduduk setempat berhubung pencemaran udara.

Categories
NASIONAL

Agong berkenan kurnia 200 darjah kebesaran Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan (DKBPWP) kepada 200 penerima sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2019 di Istana Negara.

Pada tahun ini, seorang individu dianugerahkan Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri dan 27 Individu dianugerahkan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk.

Selain itu, 36 individu dianugerahkan Johan Mahkota Wilayah (JMW), 32 individu menerima anugerah Kesatria Mahkota Wilayah, 36 individu menerima anugerah Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan 68 individu menerima Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW).

Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri Datuk Jalil Marzuki mendahului senarai penerima yang dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Beliau, yang telah berkhidmat selama 33 tahun dan bertanggungjawab menyelaras, memantau projek pembangunan mahkamah di seluruh Malaysia serta menyelia Jabatan Bantuan Guaman dan Jabatan Insolvensi Malaysia, adalah satu-satunya penerima SMW pada tahun ini.

Selain itu, Profesor Ginekologi dan Pendidikan Perubatan (Pengajaran Klinikal) Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Harlina Halizah Siraj@Ramli yang juga pendakwah dikurniakan Darjah Kebesaran PMW yang membawa gelaran Datuk.

Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof Madya Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail pula dikurniakan Bintang JMW.

Empat atlet negara termasuk atlet akuatik terjun negara Nur Dhabitah Sabri, yang juga anak jati Kuala Lumpur, turut diberi pengiktirafan dengan dikurniakan AMW.

Pencapaian terbaik Nur Dhabitah apabila mendapat tempat kelima pada Sukan Olimpik, satu pingat perak dan dua gangsa pada Sukan Asia dan dua gangsa pada Sukan Komanwel serta pernah dinobatkan sebagai Olahragawati Wilayah Persekutuan 2017.

Selain Nur Dhabitah, tiga lagi atlet iaitu Jabriella Teo Samuel, Muhammad Erry Hidayat Muhammad Hidayat dan Nur Ain Nabilah Tarmizi dianugerahkan pingat PPW.

*Sumber: BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

Noraini fokus tingkat kualiti komuniti bandar

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SUBANG JAYA, 24 JAN: Pembaharuan pengurusan bagi meningkatkan kualiti hidup komuniti bandar menjadi fokus utama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) baru, Noraini Roslan.

Katanya, beliau masih dalam proses melihat sistem sedia ada untuk ditambah baik.

“Saya merangka untuk melakukan pengurangan pembaziran dari segenap aspek sama ada dalam bentuk masa, kakitangan dan kewangan supaya kita dapat lakukan penjimatan ke atas pembangunan, namun dapat meningkatkan kebajikan masyarakat.

“Selain itu, juga saya sedang melihat pengurusan sisa pepejal membabitkan pembuangan secara pukal yang masih lagi berlaku walaupun Subang Jaya adalah kawasan perbandaran,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat penuh MPSJ, pagi tadi.

Beliau berkata, MPSJ antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang cemerlang dalam Malaysia dan mendapat pengiktirafan lima bintang, justeru tidak banyak perubahan ketara perlu dilakukan.

“Selama tiga minggu saya berkhidmat di MPSJ, tidak banyak perubahan diperlukan dari segi sistem, cuma terdapat beberapa perkara perlu penambahbaikan yang membawa kepada kecekapan,” katanya.

Noraini merupakan wanita kedua menerajui PBT di bandar, pada 3 Januari lalu selepas Datin Paduka Alinah Ahmad ketika bergelar Datuk Bandar Petaling Jaya, pada 2013.

Noraini pernah menjawat jawatan sama ketika menerajui Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) hampir 11 tahun sebelum beliau menjadi Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) .

Kini, beliau mengambil alih jawatan berkenaan daripada penyandang, Dato’ Norhisham Ahmad Dahlan yang bersara, pada Mei tahun lalu.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri lantik Datuk Bandar Shah Alam baharu, 5 YDP Majlis Perbandaran

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 JANUARI: Kerajaan Negeri mengumumkan pelantikan Datuk Bandar Shah Alam, Yang Dipertua Majlis Perbandaran/Daerah dan Pengarah JAIS yang baru, hari ini.

Pelantikan itu diadakan di Majlis Penyampaian Amanat dan Penyerahan Surat Pelantikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammad Khusrin Munawi.

khusrin2Antara yang dilantik adalah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad; Yang diPertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Yang diPertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Encik Mohd Sayuthi Bakar

Sementara itu, jawatan laian adalah Yang diPertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Abd Hamid Hussain; Yang diPertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSp), Puasa Mohd Taib dan Yang diPertua Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Azlinda Azman.

Pada masa sama, Datuk Haris Kasim dilantik sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi mengantikan Ahmad Zaharin Mohd Saad.

-NFN-

Categories
NASIONAL

‘Puan, Walaupun Kami Wanita Umno Tetapi Kami Nak Undi Puan Kali Ini’

Wanita Umno Sokong PR 01

SERI SERDANG 2 MEI : Beberapa wakil pergerakan wanita Umno Seri Serdang menyatakan sokongan kepaa Calon PAS DUN Seri Serdang, Noor Hanim Ismail.

Menurut Nor Hanim, beliau diberitahu sendiri anggota pergerakan itu dalam satu pertemuan ketika menjalankan kempen bagi merampas kerusi yang sebelumnya dimenangi bekas Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor daripada Umno-BN, Datuk Mohamed Satim Diman.

“Wanita-wanita Umno juga turut membantu sebab saya pernah duduk sebagai Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah di sini, di mana ibu-ibu daripada Umno ini memohon peruntukkan buku teks.

Wanita Umno Sokong PR 02

“Pada masa itu kita tak dapat bantuan buku teks dan ramai penduduk itu adalah golongan kurang berkemampuan dan sekarang bila mereka tahu saya bertanding mereka cakap pada saya, Puan, walaupun kami Umno tetapi kami nak undi puan kali ini,” kata Noor Hanim.

Selain pernah menjawat jawatan YDP PIBG, sehingga kini Noor Hanim juga merupakan pengerusi di pelbagai biro di tiga sekolah sekitar Puchong dan Subang Jaya serta Pegerusi Pendidikan Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 13 Majlis Perbandaran Subang Jaya (MBSJ).

Noor Hanim turut memberitahu, kunjungan beliau di bilik gerakan BN juga diterima baik oleh petugas-petugas di situ.

“Sebenarnya ketika menyantuni pengundi, bila kita jumpa bilik gerakan BN kita akan lawat juga dengan memberi manifesto dan penerangan kepada mereka dan mereka menerimanya dengan baik dan memberi ucapan selamat berjaya kepada kita,” kata Noor Hanim lagi.

Noor Hanim berkata lagi, pada masa ini amat jelas mood pengundi di DUN Seri Serdang yang inginkan perubahan.

“Alhamdullilah sokongan kaum Cina ini sangat tinggi, tidak kira dari DAP, MCA, PKR atau tiada berparti mereka rasakan ini kalilah perlu ubah bukan lain kali.

“Sini bukan kubu Umno lagi, kita dapat lihat dalam ceramah saya memang terima sambutan besar hingga penuh padang berbanding ceramah Umno-BN lebih banyak kerusi,” ujar Noor Hanim yang berkelulusan Diploma Pengurusan dan Perniagaan dari Swansee Institute.

Dalam PRU-12 pada 2008 majoriti dimenangi Satim merosot teruk dengan hanya 45 undian berbanding majoriti diterimanya dalam PRU-11 pada 2004 dengan 10,545 undian.

Categories
NASIONAL

Peniaga Bantah Penambakan Pantai Teluk Kemang

SHAH ALAM, 26 OKT : Hampir 100 orang terdiri daripada peniaga, pengusaha pantai dan Persatuan Peniaga Kecil Melayu Port Dickson mengadakan demonstrasi secara aman di hadapan Wisma Negeri di Seremban, Negeri Sembilan bagi membantah isu penambakan pantai Teluk Kemang yang menjejaskan pendapatan mereka.

Himpunan yang turut disertai Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Negeri Sembilan itu berpunca daripada ketidak puasan hati peniaga yang mendakwa ditindas pemimpin Umno-BN termasuklah Yang DiPertua (YDP) Majlis Perbandaran Port Dickson.

Demonstrasi yang bermula seawal pukul 11 pagi itu turut menyaksikan penyerahan memorandum kepada pegawai khas Menteri Besar Negeri Sembilan.

Sementara itu, Pengarah Seketariat SAMM Negeri Sembilan, Azizi Aziz berkata, penambakan pantai itu bukan hanya menggugat periuk nasi peniaga, malah turut merosakkan rupa bentuk muka bumi pantai Teluk Kemang yang menjadi tumpuan pelancong.

 

“Penambakan pantai atas alasan ‘pantai sempit’ adalah tidak relevan. Ia akan menjurus kepada kerosakan ekosistem dan secara tidak langsung mengubah rupa bumi pantai Teluk Kemang yang diiktiraf sebagai pantai yang selesa dan selamat.

“Seperti yang berlaku di pantai Batu 4 dan Batu 5 Port Dickson selepas penambakan, kecerunan pasir yang ditambak telah mengubah kedalaman pantai dan menyebabkan banyak nyawa yang terkorban.

“Akhirnya pantai tersebut dihindari pengunjung. Kita khuatiri pantai Teluk Kemang akan menerima nasib sama,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sehubungan itu, katanya, SAMM akan mengadakan satu sidang media khas dan mengatur pertemuan semua mangsa yang terlibat dengan beberapa menteri kabinet di parlimen minggu depan bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Dalam demonstrasi sama, para peniaga turut membantah perancangan pembangunan yang tidak menepati spesifikasi sehingga menimbulkan tanda tanya serta menolak pembinaan longkang besar yang menyebabkan air laut Teluk Kemang menjadi keruh dan kotor.

Selain itu, peniaga turut memohon supaya gerai lama, tandas awam dan bangunan buruk diganti dengan fasiliti baru, memastikan setiap premis perniagaan memperolehi CF tepat pada masanya serta diberikan pampasan setimpal sekiranya projek penambakan ini diteruskan.