Categories
GLOBAL

Cacar monyet serang 7 negeri di Nigeria

ABUJA, NIGERIA 11 OKT: Pegawai-pegawai kesihatan di Nigeria meminta orang ramai bertenang selepas berpuluh-puluh kes disyaki cacar monyet dilaporkan di tujuh buah negeri di selatan negara Afrika itu.

Pusat Kawalan Penyakit Nigeria (NCDC) berkata, sebanyak 39 kes disyaki penyakit bawaan virus itu telah dikenal pasti sejak kes pertama dilaporkan di Negeri Bayelsa pada 22 September lalu, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Kawasan yang terjejas termasuk Negeri Lagos yang mempunyai kira-kira 20 juta penduduk.

Penyelaras NCDC, Chikwe Ihekweazu berkata dalam satu kenyataan semalam bahawa sejumlah sampel telah dihantar ke beberapa makmal dan setakat ini, belum ada kes ca­car monyet yang disahkan.

Namun, katanya siasatan perlu diteruskan.

“Warga Nigeria dinasihatkan supaya bertenang, elakkan daripada melakukan rawatan sendiri dan melaporkan kes disyaki cacar monyet kepada di kemudahan kesihatan terdekat,” katanya.

NCDC juga menubuhkan sebuah pusat operasi kecemasan untuk membantu pihak berkuasa negeri mengekang sebarang penularan wabak cacar monyet.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), cacar monyet merupakan penyakit yang jarang berlaku.

Penyakit itu menjangkiti kawasan pedalaman di tengah dan barat Afrika khususnya rantau berdekatan hutan hujan tropika.

Simptom penyakit itu termasuk sakit badan, demam dan ruam serta bintil merah pada bahagian kulit.

Menurut WHO lagi, virus penyakit itu menjangkiti manusia daripada monyet, tupai dan binatang liar Afrika yang lain.

Pada 10 September lalu, sekurang-kurangnya 10 orang meninggal dunia di Republik Afrika Tengah akibat wabak cacar monyet, manakala kematian turut direkodkan di Republik Demokratik Congo.

=EZY=