Categories
GLOBAL NASIONAL

9 maut dalam insiden bangunan runtuh di Nigeria

LAGOS, 14 MAC: Sekurang-kurangnya sembilan orang maut manakala ramai lagi masih terperangkap selepas bangunan yang menempatkan sebuah sekolah dan beberapa unit pangsapuri runtuh, pada Rabu di hab komersial Lagos, Nigeria.

Seorang pegawai penyelamat tempatan memaklumkan kepada agensi berita China Xinhua bahawa sekurang-kurangnya sembilan mayat ditemui, dan sekolah di bangunan tiga tingkat dalam kawasan Ita-Faji, di Pulau Lagos itu mempunyai 172 murid berdaftar.

Penyelaras Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan di wilayah barat daya Nigeria, Ibrahim Farinloye berkata, sukar untuk memberikan jumlah mangsa yang terkorban atau cedera kerana operasi menyelamat masih berlangsung.

“Kebanyakan mangsa yang maut adalah murid sekolah rendah swasta di bangunan itu dan kira-kira 50 lagi berjaya diselamatkan,” katanya.

Hospital Umum Pulau Lagos yang menempatkan kebanyakan mangsa terselamat untuk rawatan mengesahkan bahawa 41 orang berada dalam “keadaan stabil.”

Pegawai bangunan negeri Lagos turut memaklumkan, bangunan itu ditandakan sebanyak tiga kali untuk dirobohkan.

Murid sekolah terbabit sedang belajar dalam kelas kira-kira 10 pagi waktu tempatan apabila bangunan itu runtuh tanpa amaran yang turut menjejaskan penduduk dan pemilik kedai berhampiran.

Punca runtuhan belum dapat dipastikan.

Sementara itu, Presiden Nigeria Muhammadu Buhari, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Abuja pada Rabu, menzahirkan rasa dukacita beliau berhubung insiden runtuhan yang menyebabkan kemalangan jiwa, terutama kanak-kanak.

Presiden itu turut meminta kerajaan negeri Lagos, yang merupakan hab ekonomi Nigeria, “melakukan segala yang diperlukan agar insiden tragis sedemikian tidak berulang pada masa akan datang.” –BERNAMA

Categories
GLOBAL

Lima maut rempuhan perhimpunan di timur Nigeria

LAGOS, 8 FEB: Insiden rempuhan membabitkan ribuan penyokong dalam satu perhimpunan politik bagi memilih semula Presiden Nigeria, Muhammadu Buhari, menyebabkan lima terbunuh manakala beberapa lagi cedera, di timur negeri Taraba.

Menurut agensi berita China Xinhua, Dorcas Philemon, yang juga jurucakap sebuah hospital pakar di mana mayat mangsa disimpan mengesahkan insiden itu kepada wartawan di Jalingo, ibu kota Taraba.

Televisyen dan media sosial menyiarkan imej beribu-ribu orang berhimpun di sebuah stadium di Jalingo bagi menunjukkan sokongan kepada Buhari dalam satu majlis kempen yang dihadiri ahli politik kanan, lapor BERNAMA.

Buhari meluahkan kesedihan berhubung kehilangan nyawa dalam perhimpunan itu melalui satu kenyataan.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap sokongan besar-besaran yang diterima dari seluruh negara dan menyeru penyokongnya bertenang bagi mengelak insiden tragik itu berulang serta menasihati pengurusan kumpulan ramai di tapak perhimpunan dipertingkat.

“Saya mahu mereka terus bernafas dan menyaksikan dividen tadbir urus bermakna yang bakal dilaksana oleh pentadbiran Kongres Kemajuan Semua (APC) apabila mereka memperbaharui mandat kami,” katanya.

 

Categories
GLOBAL

Wabak taun: 175 maut, lebih 10,000 terjejas

LAGOS 13 NOV: Kes disyaki taun melonjak di timur laut Nigeria di mana keganasan Boko Haram memaksa puluhan ribu penduduk berlindung di kem penuh sesak, kata Norwegian Refugee Council (NRC), semalam.

Kumpulan kemanusiaan itu berkata, kira-kira 10,000 orang terjejas akibat wabak taun yang pantas merebak dan 175 orang maut di negeri timur laut Adamawa, Borno dan Yobe sehingga awal bulan ini.

“Satu daripada punca utama wabak ialah kesesakan dalam kem yang menjadikannya sukar menyediakan perkhidmatan air, sanitasi dan kebersihan mencukupi,” kata pengurus program NRC, Janet Cherono di Maiduguri, ibu kota Borno.

Katanya, musim hujan turut memburukkan lagi keadaan.

“Jika lebih banyak kawasan tanah tidak disediakan dengan segera untuk mengurangkan kesesakan dalam kem dan pembinaan kemudahan kesihatan dan kebersihan, Nigeria menuju ke arah satu lagi wabak taun menjelang 2019,” katanya.

Nigeria menyaksikan kekerapan wabak taun sejak Boko Haram mengangkat senjata menentang kerajaan pada 2009.

Lebih 1.8 juta orang hilang tempat tinggal akibat konflik berdarah itu yang meragut lebih 27,000 nyawa dan menjejaskan kehidupan harian di rantau Lake Chad.

SUMBER: AFP

Categories
SUKANKINI

WC2018: Dua gol Ahmed Musa ‘cairkan’ Iceland

OLEH HAFIZAN TAIB

VOLGOGRAD, 23 JUN: Nigeria menewaskan Iceland 2 – 0 dalam perlawanan kedua Kumpulan D bagi menghidupkan peluang dalam saingan pada Piala Dunia 2018.

Kedua-dua gol Ahmed Musa pada minit ke-49 dan 75 mengubah nasib pasukan Afrika itu yang kalah 0 -2 kepada Croatia dalam perlawanan awal.

Penyerang Leicester City itu memecah kebuntuan dalam empat minit separuh masa kedua dengan jaringan gol selepas menyempurnakan hantaran Victor Moses.

Musa sekali lagi mencuri tumpuan dengan gol kedua selepas memperdaya pertahanan Iceland, Kari Arnason melalui sepakan deras dari luar kotak penalti.

Pada minit ke 80, Iceland berpeluang merapat jurang apabila mendapat penalti namun Gylfi Sigurdsson menyepak melepasi palang gol.

Dari dua perlawanan, Nigeria kini mengumpul tiga mata dan akan berdepan Argentina bagi penentuan ke peringkat 16 terakhir.

Iceland dengan satu mata pula akan membuat perhitungan dengan Croatia (enam) yang kini mendahului kumpulan.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

Piala Dunia: Croatia lakar kemenangan selesa 2-0

KALININGRAD, Russia: Gol sendiri dan sepakan penalti memberikan Croatia kemenangan selesa pada aksi pertama Kumpulan D kempen Piala Dunia apabila menewaskan Nigeria 2-0 di Stadium Kaliningrad.

Tandukan terbang Mario Mandzukic yang kemudiannya terkena pemain tengah Nigeria, Oghenekaro Etebo pada minit ke-32 membolehkan Croatia mendahului perlawanan.

Manakala gol kedua diperolehi meneruso Luka Modric apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-71.

Croatia meraih sepakan penalti itu selepas pertahanan Nigeria, William Troost-Ekong mengasari Mandzukic di hadapan pengadil perlawanan di dalam kotak penalti.

Kemenangan ke atas Nigeria menyaksikan Croatia kini berada di tangga teratas Kumpulan D selepas Argentina terikat 1-1 dengan Iceland di Moscow dalam perlawanan terdahulu.

FOTO SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Cacar monyet serang 7 negeri di Nigeria

ABUJA, NIGERIA 11 OKT: Pegawai-pegawai kesihatan di Nigeria meminta orang ramai bertenang selepas berpuluh-puluh kes disyaki cacar monyet dilaporkan di tujuh buah negeri di selatan negara Afrika itu.

Pusat Kawalan Penyakit Nigeria (NCDC) berkata, sebanyak 39 kes disyaki penyakit bawaan virus itu telah dikenal pasti sejak kes pertama dilaporkan di Negeri Bayelsa pada 22 September lalu, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Kawasan yang terjejas termasuk Negeri Lagos yang mempunyai kira-kira 20 juta penduduk.

Penyelaras NCDC, Chikwe Ihekweazu berkata dalam satu kenyataan semalam bahawa sejumlah sampel telah dihantar ke beberapa makmal dan setakat ini, belum ada kes ca­car monyet yang disahkan.

Namun, katanya siasatan perlu diteruskan.

“Warga Nigeria dinasihatkan supaya bertenang, elakkan daripada melakukan rawatan sendiri dan melaporkan kes disyaki cacar monyet kepada di kemudahan kesihatan terdekat,” katanya.

NCDC juga menubuhkan sebuah pusat operasi kecemasan untuk membantu pihak berkuasa negeri mengekang sebarang penularan wabak cacar monyet.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), cacar monyet merupakan penyakit yang jarang berlaku.

Penyakit itu menjangkiti kawasan pedalaman di tengah dan barat Afrika khususnya rantau berdekatan hutan hujan tropika.

Simptom penyakit itu termasuk sakit badan, demam dan ruam serta bintil merah pada bahagian kulit.

Menurut WHO lagi, virus penyakit itu menjangkiti manusia daripada monyet, tupai dan binatang liar Afrika yang lain.

Pada 10 September lalu, sekurang-kurangnya 10 orang meninggal dunia di Republik Afrika Tengah akibat wabak cacar monyet, manakala kematian turut direkodkan di Republik Demokratik Congo.

=EZY=

 

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Erdogan terus hubungi pemimpin dunia selesaikan krisis Rohingya

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 3 SEPT: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan terus menghubungi pemimpin negara Islam menekankan kepentingan bekerjasama bagi menyelesaikan krisis kemanusiaan dihadapi masyarakat Islam Rohingya di Myanmar.

Agensi Berita Turki ANADOLU AGENCY melaporkan perkara demikian dinyatakan Erdogan dalam ucapan sempena Aidil Adha kepada pemimpin Kazakhstan, Senegal dan Nigeria menurut sumber presiden.

Menurut sumber yang enggan dikenali ekoran sekatan untuk media menyatakan Erdogan menyatakan usaha itu ketika menghubungi Presiden Kazakhstan: Nursultan Nazarbayev, Presiden Senegal: Macky Sall, dan Presiden Nigeria: Muhammadu Buhari.

Erdogan Turki 1Awal minggu lalu, Erdogan turun membincangkan krisis Myanmar melalui telefon bersama pemimpin negara seperti Pakistan, Iran, Mauritania, Qatar, Saudi Arabia, Kuwait, Azerbaijan, dan Bangladesh.

Sebelum ini media antarabangsa melaporkan Lebih 2,600 buah rumah di negeri Rakhine, barat laut Myanmar yang didiami penduduk Islam Rohingya rentung akibat dibakar.

Situasi itu disifatkan keganasan terburuk melibatkan etnik Rohingya dalam tempoh beberapa dekad.

Menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) kira-kira 58,600 penduduk Rohingya melarikan diri daripada keganasan di Rakhine dan mencari perlindungan di Bangladesh.

Rohingya

 

Rohingya

=EZY=