Categories
PBT SELANGOR

TAFES MPSepang terima penarafan Malaysia Book Of Records

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 31 OKT: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) berjaya menerima penarafan Malaysia Book Of Records (MBOR) menerusi pelaksanaan Taksa Free Aedes (TAFES), baru-baru ini.

Timbalan Yang Dipertuanya, Muhammad Hafiz Shaari berkata, TAFES adalah silibus yang dirangka dan dibangunkan bagi memberi pendidikan serta pendedahan awal berhubung kawalan juga pencegahan denggi di peringkat pra-sekolah.

Katanya, ia bertujuan melatih dan membimbing guru di peringkat prasekolah dengan pengetahuan serta kemahiran mendalami ilmu berkaitan denggi.

“TAFES juga mendidik dan membimbing anak di fasa prasekolah berkenaan pencegahan serta kawalan demam denggi selain membentuk juga menzahirkan anak menjadi generasi berpengetahuan, positif dan menjadi agen perubahan dalam keluarga.

“Ia juga memastikan keadaan persekitaran taska, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak bersih serta bebas pembiakan nyamuk,” katanya kepada SelangorKini.

Sehubungan itu, Muhammad Hafiz mahu kakitangannya tidak jemu untuk sentiasa berinovasi dan mencari idea baru dalam menyampaikan perkhidmatan lebih baik.

Beliau turut menyarankan kakitangan MPSepang supaya menanam sikap berlumba-lumba mendapatkan ilmu pengetahuan sebagai teras dalam menjayakan inovasi dan kreativiti.

“Pembudayaan inovasi dalam MPSepang harus diteruskan dan dipertingkatkan supaya tidak menjadi sekadar cakap kosong dan amat luas serta perlu diterjemahkan dalam seluruh aspek kehidupan yang membawa kesejahteraan serta kemakmuran kepada rakyat, di daerah Sepang.

“Pembudayaan inovasi bermula dari kefahaman penghayatan ilmu berkaitan inovasi, maka menjadi kewajipan kepada ketua jabatan dan ahli majlis untuk melaksanakan penghayatan ilmu dalam kalangan warga kerja bagi meningkatkan serta mengembangkannya,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Mohon kebenaran niaga di Sepang sebelum 31 Oktober

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEPANG, 25 OKT: Penduduk yang ingin menjalankan perniagaan di premis milik Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) digalak memohon sebelum 31 Oktober ini.

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu melalui Facebook berkata, peluang terbuka kepada rakyat Selangor dan penduduk yang bermaustautin, di negeri ini lebih daripada lima tahun.

“Permohonan sewaan itu dibuka bagi medan selera, medan niaga, kedai, gerai, pusat penjaja, kompleks niaga dan kiosk.

“Had umur pemohon hendaklah berusia 18 tahun ke atas dan tidak melebihi 60 tahun pada tarikh permohonan,” kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, MPSepang berkata, permohonan boleh dibuat melalui individu mahupun syarikat, namun ia terhad kepada satu permohonan bagi setiap kekosongan yang diiklankan.

Pemohon boleh hadir ke Jabatan Penilaian dan Pengrusan Harta PBT itu untuk mendapatkan borang atau terus muat turun di laman sesawang wwww.mpsepang.gov.my.

Categories
PBT SELANGOR

MPSepang tampil 13 muka baru, 10 muka lama Ahli Majlis 2018-2020

OLEH AFIX REDZUAN

CYBERJAYA, 30 JUL: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) secara rasmi melantik 23 daripada 24 orang Ahli Majlis baharu bagi sesi 2018-2020 pada Majlis Angkat Sumpah Menerima Jawatan Ahli Majlis.

Lafaz ikrar sumpah perakuan menerima jawatan berlangsung di hadapan Timbalan Yang Dipertua, Muhammad Hafiz Shaari bersempena Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis MPSepang Bil7/2018 di Bilik Semarak, Ibu Pejabat MPSepang, Cyberjaya.

Majlis lafaz ikrar dimulakan Orang Besar Daerah Sepang, Yang Dimuliakan Tengku Dato’ Dr Jamaluddin Tengku Mahmud Shah dan diakhiri Mohd Shukor Mustaffa.

Muhammad Hafiz dalam ucapannya mengharapkan semua Ahli Majlis dapat bekerjasama bagi merealisasikan visi dan misi menjadikan Daerah Sepang Bersih, Hijau dan Sejahtera.

“Perlantikan ini adalah satu amanah dan tanggungjawab yang amat berat serta penting. Ia bukan untuk memenuhi kepentingan diri sendiri, rakan-rakan atau saudara-mara.

“Penglibatan Ahli Majlis dalam Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diharapkan mempercepatkan proses kelulusan Permohonan Kebenaran Merancang dan turut sedia menyediakan prasarana serta kemudahan awam kepada masyarakat setempat yang bakal menikmati limpahan kepesatan pertumbuhan kawasan hasil daripada pembangunan projek ikonik tersebut,” katanya.

Secara keseluruhan KEADILAN mempunyai jumlah tertinggi dengan keanggotaan sembilan Ahli Majlis diikuti DAP (tujuh), AMANAH (empat) dan BERSATU (tiga).

Daripada jumlah itu, 13 daripada Ahli Majlis sesi kali ini merupakan muka baru manakan 10 yang lain muka lama.

Categories
PBT SELANGOR

MPSepang laksana dasar bersih restoran 24 jam

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SEPANG, 29 JUN: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) akan memperkenalkan dasar panduan khas bagi menjalankan pemantauan pembersihan terhadap operasi restoran 24 jam.

Timbalan Yang Dipertuanya, Muhammad Hafiz Shaari berkata, keperluan pelaksanaan dasar baru itu bagi memastikan pembersihan restoran 24 jam di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan berkenaa terjamin.

“Setakat ini, tiada jadual atau arahan pembersihan standard ditetapkan berkenaan tatacara atau prosedur bersesuaian bagi tujuan pembersihan premis 24 jam.

“Justeru, MPSepang menjalankan kajian dan mengambil inisiatif bagi menetapkan panduan jadual pembersihan khas restoran serta kedai yang beroperasi 24 jam.

“Inisiatif ini bertujuan mewujudkan prosedur pembersihan yang menjadi rujukan kepada pemilik premis 24 jam, selain mendidik amalan mementingkan kebersihan di kawasan premis,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Ahli Majlis MPSepang, Bilangan 6/2018 di Bilik Semarak, di sini, pada 27 Jun lalu.

Pada masa sama, katanya, pemilik premis 24 jam disaran menekankan tiga elemen sesi pembersihan di premis perniagaan dan restoran masing-masing.

“Ia membabitkan sesi 1 pagi, sesi 2 petang dan sesi ketiga pada waktu malam.

“Pada setiap sesi pembersihan, operator perlu menghentikan operasi bagi memberi laluan kepada kerja pembersihan,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MPsepang iktiraf peranan ahli majlis

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SEPANG, 29 JUN: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menghargai peranan ahli majlisnya yang komited menyumbang kepada pelaksanaan dasar di kawasan pentadbirannya.

Timbalan Yang Dipertuanya, Muhammad Hafiz Shaari berkata, peranan mereka membantu melaksanakan dasar ‘policy makers’ membantu Pihak Berkuasa Tempatan itu befungsi dengan baik.

“Pembabitan ikhlas dan bersungguh-sungguh ahli majlis sebagai pembuat dasar kepada MPSepang dilihat sebagai keberkesanan peranan mereka dalam menyumbang pembangunan organisasi.

“Sehubungan itu, MPSepang ingin menzahirkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih atas sumbangan dan jasa sepanjang berkhidmat sebagai ahli majlis di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Ahl Majlis MPSepang, Bilangan 6/2018 di Bilik Semarak, di sini, pada 27 Jun lalu.

Khidmat ahli majlis MPSepang bagi penggal 2016-2017 tamat, pada 30 Jun ini.

MPSepang memiliki 24 ahli majlis dengan proses pelantikan mereka dibuat menerusi senarai nama yang dikemukakan komponen pentadbiran negeri, sebelum ini.

 

Categories
PBT SELANGOR

Deposit sewa dewan di Sepang naik mulai Julai

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEPANG, 28 JUN: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) akan menaikkan bayaran deposit bagi penggunaan dewan serbaguna di kawasannya, berkuat kuasa Julai ini.

Bagaimanapun, Timbalan Yang Dipertuanya, Muhammad Hafiz Shaari berkata, jumlah sewaan masih kekal kecuali Dewan Pentas Budaya Bandar Baru Salak Tinggi yang perlu dibayar RM200, berkuat kuasa Ogos.

Katanya, ia adalah percuma untuk kegunaan awam sebelum ini, namun MPSepang menyemak semula keputusannya selepas menaik taraf dewan awam.

“Satu contohnya adalah Dewan Taman Gemilang di Dengkil, dengan pihak majlis membelanjakan RM200,000 untuk kerja membaik pulih.

“Peningkatan yuran adalah untuk melindungi dewan daripada kerosakan kerana sebelum ini kami terpaksa menanggung kos kerja pembaikan ekoran kerosakan pada engsel pintu, sinki dan kerusi,” katanya dalam kenyataan.

Categories
PBT SELANGOR

MPSepang terima penarafan EKSA

OLEH SHEEDA FATHIL

SEPANG, 24 APR: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menjadi Pihak Berkuasa Tempatan pertama, di Selangor yang berjaya menerima penarafan persijilan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) dengan kategori cemerlang, pada April lalu.

Yang Dipertuanya, Dato’ Puasa Md Taib berkata, beliau merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada warga kerja MPSepang atas usaha serta komitmen diberikan sehingga berjaya mencapai penarafan itu.

“EKSA diperkenalkan bukan bertujuan menggantikan konsep 5S (Sisih, Susun, Sapu, Seragam, Sentiasa Amal), sebaliknya menambah baik elemen terbabit dengan menyokong kewujudan persekitaran kerja yang kondusif.

“Langkah ini selaras dengan usaha memperkukuhkan budaya organisasi berprestasi tinggi dan inovatif dalam kalangan agensi sektor awam melalui penyediaan persekitaran, budaya kerja serta nilai yang menjadi amalan penjawat awam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Ahli Majlis, di MPSepang, di sini, semalam.

Katanya, EKSA memperkenalkan model penilaian dan pengauditan baharu merangkumi Kriteria Generik dan Kriteria Khusus dengan turut mengambil kira kepelbagaian premis agensi kerajaan mengikut jenis perkhidmatan diberikan.

Terdahulu, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri melancarkan EKSA bagi mewujudkan suasana kerja kondusif dan meningkatkan imej korporat selain menambah baik pelaksanaan amalan 5S, di sektor awam.

Categories
PBT SELANGOR

MPSepang lancar aplikasi mobile e-aduan dan portal Idea Bajet 2019

OLEH SABIRAH AZIZ

CYBERJAYA, 26 FEB: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) melancarkan aplikasi mobile e-aduan dan portal Idea Bajet 2019 bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat, di sini, hari ini.

Timbalan Yang Dipertuanya, Muhammad Hafiz Shaari berkata, aplikasi mobile e-aduan itu bermula pada awal bulan Jun 2017, manakala portal Idea Bajet 2019 bakal dibuka kepada orang ramai, bermula 1 hingga 15 Mac ini.

“Aplikasi mobile e-aduan ini adalah salah satu saluran baru yang berinovasi tinggi susulan kewujudan Sistem Pengurusan Aduan Elektronik (e-Aduan) pada 2005 bagi menangani aduan dikemukakan orang awam.

“Antara keistimewaan aplikasi ini adalah paparan mesra pengguna, pengesan lokasi GPS aduan, semak senarai aduan dan lancar aduan baru termasuk memuat naik gambar diperlukan,” katanya selepas melancarkan aplikasi dan portal berkenaan.

Muhammad Hafiz berkata, orang ramai yang mempunyai akaun berdaftar boleh terus menggunakan aplikasi itu tanpa perlu mendaftar akaun baru serta boleh didapati secara percuma di Google Play store atau Apple Appstore.

Sementara itu, beliau berkata, pelaksanaan portal Idea Bajet 2019 diperkenalkan bagi menjana idea dalam memperkasakan struktur ekonomi, di Sepang.

“Ia juga selaras hasrat Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, yang mahu penyertaan rakyat dalam memberi pandangan bagi penyediaan Bajet 2019.

“Melalui pengenalan portal ini, ia dapat memberi kelebihan kepada masyarakat setempat mengemukakan idea untuk penambahbaikan pengurusan bajet, pada masa akan datang.

“Justeru itu, saya menyeru semua pihak supaya menyebarkan perkara berkenaan kepada seluruh warga Sepang dan orang ramai,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MPSepang gariskan 27 aktiviti perangi rasuah

OLEH SABIRAH AZIZ

SEPANG, 14 FEB: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) bakal menggariskan 27 jenis aktiviti yang menjurus kepada perlakuan rasuah dalam kalangan pekerja di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

Yang Dipertuanya, Dato’ Puasa Md Taib berkata, antara 27 aktiviti itu adalah seperti penguatkuasaan, pelesenan dan perolehan.

“Pihak kami telah menjalankan program bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, dua tahun lalu, supaya mengadakan satu Customer Relationship Management (CRM) bagi melihat segala prosedur atau kemungkinan aktiviti berlaku rasuah di MPSepang.

“Melalui program itu, kita meneliti 27 aktiviti tentang bagaimana mahu mengelakkan dan mengurangkan aktiviti rasuah berlaku. Jika ia dapat disiapkan dalam masa terdekat, satu buku garis panduan akan disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri program Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH) dan pelancaran Kempen Gerakan Memerangi Pemberi Rasuah (GEMPUR) di MPSepang.

Katanya, perkara itu akan dijadikan amalan oleh semua kakitangan MPSepang dan ia adalah satu program yang bagus bagi memberi peringatan kepada setiap pekerja supaya tidak melakukan rasuah.

“Apabila kita sudah selesai mendapatkan maklumat, kami akan menyediakan garis panduan berkenaan,” katanya.

Pada masa sama, Puasa berkata, pelaksanaan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dalam kalangan pekerja di MPSepang baru-baru ini memberi kesan positif kepada penjawat awam di PBT berkenaan bagi memerangi rasuah.

“Kami mempunyai lebih kurang 620 pekerja di bawah MPSepang dan setakat ini kira-kira 135 pekerja telah menyerahkan borang Gerah kepada SPRM tempoh hari.

“Pihak Majlis juga sentiasa memberi peringatan kepada sesiapa yang masih berminat, menyerahkan borang supaya ia dapat dikumpulkan dan diserahkan kepada SPRM Selangor,” katanya.

=EZY=

Categories
PBT SELANGOR

MPSepang kenal pasti 27 aktiviti berisiko rasuah

OLEH AFIX REDZUAN

CYBERJAYA, 23 JAN: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) sudah mengadakan perbincangan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menyenaraikan 27 aktiviti yang berpotensi terbabit dengan gejala rasuah, di peringkat dalaman.

Yang Dipertua MPSepang, Dato’ Puasa MD Taib berkata, semua potensi itu sudah disenaraikan di bawah Pelan Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) yang diputuskan, pada Mac 2017.

“Antara perkara yang berpotensi terbabit dengan rasuah adalah aktiviti pengeluaran lesen kerana semua orang mahukan lesen segera. Kita keluarkan lesen biasa dalam masa sehari.

“Lesen risiko membabitkan ulasan beberapa jabatan luar seperti polis dan Jabatan Kesihatan akan dipastikan mempunyai ulasan terlebih dahulu sebelum diluluskan.

“Kita tidak mahu ia dikeluarkan terus tanpa sebarang ulasan jabatan luar,” katanya.

Terdahulu, beliau ditemui selepas Majlis Ikrar Bebas Rasuah, di Dewan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, di sini.

Categories
PBT SELANGOR

MPSepang lafaz Ikrar Bebas Rasuah

OLEH AFIX REDZUAN

CYBERJAYA, 23 JAN: Warga Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), hari ini melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai usaha memerangi gejala rasuah supaya tidak menular dalam kalangan penjawat awam.

Lafaz ikrar diketuai Yang Dipertua MPSepang, Dato’ Puasa Md Taib bersama penjawat awam itu disaksikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Dato’ Alias Salim, pada perhimpunan pagi disusuli majlis menandatangani IBR.

Puasa dalam ucapannya berkata, pendekatan IBR adalah inisiatif membendung isu rasuah melalui perkongsian penerangan, di samping menyokong usaha memerangi gejalan negatif itu.

“Usaha memerangi rasuah adalah amanah dan tugas yang perlu dikongsi seluruh ahli masyarakat, khususnya dalam kalangan warga yang bekerja di agensi kerajaan bagi memastikan negara ini bebas rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis IBR, di Dewan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, di sini.

Pada masa sama, Puasa berkata, MPSepang turut menganjurkan beberapa program sebagai usaha memupuk budaya integriti dalam kalangan penjawat awam.

Katanya, antara program dilaksanakan adalah ‘Breakfast Talk’ bertajuk Tugasan Penguatkuasaan: Antara Integriti dan Budi Bicara, ‘No Gift Policy’, ‘Whistle Blower’ dan Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH) serta menjadikan November sebagai Bulan Integriti setiap tahun.

“Rakyat bakal menikmati hasil sebenar perkhidmatan berkualiti yang disampaikan selagi penjawat awam menjalankan tugas dengan penuh integriti,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MPSepang perkenal aplikasi pintar permudah pengurusan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 29 NOV : Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) bakal memperkenalkan aplikasi pintar sebagai inisiatif pemudah cara pengurusan komuniti di peringkat pentadbirannya.

Yang Dipertuanya, Dato’ Puasa Md Taib berkata, inisiatif itu dilaksanakan sebagai menyahut cabaran Kerajaan Negeri untuk menggalakan penggunaan Internet Of Things (IOT)dalam pentadbiran.

“Atas saranan di peringkat Kerajaan Negeri supaya kita lebih terbuka memperkenalkan akses perkhidmatan terbaik melalui perkhidmatan teknologi pintar (aplikasi) internet.

“Kita jangkakan perkhidmatan ini akan lebih memudahkan komuniti setempat untuk berurusan dengan pihak majlis hanya menerusi aplikasi pintar yang akan diperkenalkan kepada umum,” katanya paada sidang media, semalam.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyeru Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri menyediakan teknologi berasaskan (IOT) bagi mengurus secara efektif kehendak dan aspirasi rakyat menjelang 2020.

Beliau berkata, trend menjelang tahun itu menunjukkan 50 hingga 80 peratus populasi bakal berhijrah dan menetap di bandar.

Katanya, keadaan itu menuntut PBT bergerak lebih maju ke hadapan dan menyediakan perkhidmatan IOT lebih proaktif dan efisien.

=EZY=