Categories
NASIONAL

GST: Pemerintah baik cari ulama, ulama tak baik ghairah dekati pemerintah

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 6 MEI: Kenyataan Mufti Pahang, Abdul Rahman Othman yang meminta rakyat supaya menyokong pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tanpa memberi penerangan lanjut boleh menimbulkan kekeliruan ekoran penghujahan tidak kukuh.

Abdul Rahman hanya bersandarkan pandangan ulama, Mohamad Abdullah tetapi mengelak untuk mengulas lanjut dan meminta pihak yang tidak mempercayainya untuk berhujah dengan ulama berkenaan.

Penulis buku politik, Shahbudin Husin, berkata kenyataan beliau yang ‘tergantung’ boleh mengelirukan sesetengah pihak yang kurang ilmu pengetahuan yang akan beranggapan bahawa usaha mengkritik kesilapan kerajaan pusat sebagai ‘dosa besar’.

812shahbudin_new-buku_penulis“Tentu mereka yang fanatik akan beranggapan bahawa kerajaan sedia ada perlu dikekalkan sehingga kiamat kerana percaya menukar kerajaan atau memburukkan pimpinan sedia ada adalah dosa besar.

“Kenyataan Abdul Rahman tidak ubah seperti kenyataan Mufti Perak, Harussani Zakaria sebelum ini yang menyifatkan peserta demonstrasi sempena tahun baru sebagai golongan “bughah” dan darahnya halal dibunuh.

“Tidak dapat dipastikan apakah tujuan dua mufti ini mengeluarkan kenyataan separuh masak seumpama itu, tetapi yang jelasnya ia menambahkan lagi kekeliruan masyarakat dan umat Islam,” tulisnya di blog.

Pada 2 Mei lalu, Abdul Rahman berkata, umat Islam sepatutnya tidak menyalahkan pelaksanaan GST tetapi perlu membantu kerajaan dalam menyokong usaha itu.

Katanya, Islam tidak melarang sistem percukaian dilaksanakan tetapi perlu mengikut syarak dan tidak menzalimi rakyat.

Abdul Rahman turut menasihatkan rakyat supaya sentiasa taat kepada kerajaan melainkan aktiviti maksiat dan menyatakan Islam menggalakkan segala masalah yang berbangkit diselesaikan melalui perbincangan bukannya memburukkan kerajaan.

mufti-pahangKenyataan Mufti Pahang itu dipercayai dikeluarkan berikutan pelbagai bantahan rakyat terhadap kerajaan dan yang terbaru demonstrasi membantah GST yang diadakan di Dataran Merdeka dengan dihadiri kira-kira 50,000 rakyat pelbagai kaum.

Pada masa sama, Shahbudin turut menyarankan ulama dan mufti lebih memfokuskan pelbagai masalah dan penyelesaian di kalangan masyarakat daripada ‘ghairah’ ikut campur dalam konflik politik.

“Dengan adanya ulama dan mufti seperti ini, benar kata orang beragama dan berilmu dahulu bahawa ‘pemerintah yang baik ialah yang selalu mendekati ulama tetapi ulama yang tidak baik selalu mendekati pemerintah’,” katanya.

-NFN-