Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Anda kini boleh solat Jumaat di bumbung KLIA

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 21 MEI: Penumpang dan pengunjung Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kini boleh menunaikan solat Jumaat di ‘rooftop’ (kawasan atas bumbung) apabila musolla di kawasan parkir blok B beroperasi secara rasmi, sejak 10 Mei lalu.

Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) berkongsi detik kali pertama solat Jumaat dilangsungkan, di situ selepas mendapat persetujuan daripada Pejabat Agama Daerah Sepang.

“Kami amat gembira dengan sambutan menggalakkan sempena pembukaan musolla untuk solat Jumaat di kawasan parkir blok B, Lapangan Terbang KL tengah hari semalam (10 Mei).

“Pembukaan musolla ini salah satu inisiatif Malaysia Airports untuk memudahkan jemaah menunaikan solat Jumaat terutama warga kerja dan penumpang.

“Haa, musolla pun dah dekat, jangan sia-siakan peluang untuk mengumpul saham akhirat kita di bulan yang mulia ini ya!” katanya di Facebook rasmi MAHB.

Musolla yang mampu memuatkan hampir 1,000 jemaah dalam satu-satu masa itu menyediakan lebih 50 unit paip bagi pengambilan wuduk, pendingin hawa, kipas gergasi dan kipas berwap sejuk di semua sudut.

SelangorKini sebelum ini melaporkan MAHB menafikan ruang solat itu sedia digunakan untuk umat Islam menunaikan solat Jumaat bermula 5 April 2019 susulan penyebaran beberapa keping gambar menerusi aplikasi WhatsApp, pada 3 April lalu.

Kredit Foto: Facebook Malaysia Airport

Categories
NASIONAL

MAHB nafi ruang solat ‘rooftop’ beroperasi Jumaat ini

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 APR: Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) menafikan ruang solat atau musolla di ‘rooftop’ Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sedia digunakan untuk umat Islam menunaikan solat Jumaat bermula 5 April ini.

Bahagian Komunikasi Korporat, Malaysia Airports memaklumkan, ruang solat itu dijangka boleh beroperasi sepenuhnya pada akhir Mei setelah mendapat kelulusan daripada Pejabat Agama Daerah Sepang.

“Inisiatif mewujudkan ruang solat di ‘rooftop’ KLIA ini adalah salah satu usaha Malaysia Airports bertujuan untuk memudahkan umat Islam, khususnya kakitangan lapangan terbang yang menghadapi kekangan masa, menunaikan solat Jumaat di bangunan terminal.

“Ruang solat ini juga kelak akan terbuka bagi penggunaan orang ramai setelah siap dan mendapat kelulusan berkaitan. Bagaimanapun, Malaysia Airports akan membuat pengumuman segera sekiranya kami mendapat kelulusan lebih awal daripada dijangkakan,” katanya kepada SelangorKini.

MAHB mengeluarkan kenyataan rasmi itu selepas sekeping foto berkaitan ‘rooftop’ KLIA tular di aplikasi WhatsApp awal hari ini.

Dalam kenyataan sama pihaknya menjelaskan, MAHB telah menyediakan empat buah bas percuma iaitu dua di KLIA dan dua lagi di KLIA2 bagi kegunaan pengguna di terminal yang ingin menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad, KLIA, sejak Disember tahun lalu.

Perkhidmatan bas ini bermula jam 12.30 sehingga 1 tengahari dan akan memulakan perjalanan sebaik penuh bergantung kepada waktu solat semasa.