MORIB, 9 MAC: Tiada perkataan yang boleh menggambarkan kegembiraan sebuah keluarga Orang Asal di Kampung Kelanang di sini, apabila mendapat sumbangan kerusi roda untuk meneruskan aktiviti seharian.
Johan Lamin, 40 yang menghidap penyakit gout sejak dua tahun lalu melahirkan rasa terharu diatas keperihatinan masyarakat setempat yang tidak putus memberikan bantuan bagi meringankan beban mereka sekeluarga.
Dengan keadaan sebegini, Johan yang bergantung kepada tongkat untuk bergerak tidak mampu untuk menyara keluarganya sebagai nelayan persisiran pantai.
Walaupun dia mempunyai ladang kelapa sawit sebanyak dua ekar, hasilnya tidak cukup untuk menampung perbelanjaan bulanan lima orang anak dan isterinya. Tiga daripada lima anaknya masih bersekolah.
“Buat masa sekarang saya masih belum menerima apa-apa bantuan. Walaupun ada hasil daripada kelapa sawit kita tidak terpaksa berjimat cermat.
“Kalau RM1,000 sebulan pun saya kena tanggung lima orang anak, termasuk isteri dah enam orang. Saya terlantar, isteri memang tidak bekerja.
“Untuk anak yang bersekolah, saya peruntukkan RM2 seorang sebagai belanja harian. Tiga orang sudah RM6,”
katanya.
Sumbangan kerusi roda itu disampaikan oleh Penyelaras DUN Morib, Hasnul Baharuddin.
Bagi Ketua Kampung, Mustakim Mat Din, pihaknya memberikan tumpuan kepada keluarga Orang Asal yang berada di dalam kesusahan dan menghulurkan bantuan yang termampu walaupun bukan bantuan bulanan.
Katanya, jawatankuasa kampung akan memohon bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk meringankan beban perbelanjaan bulanan keluarga Johan.
“Saya sebagai ketua kampung dan pengerusi JKKK sentiasa mencari anak buah saya yang berada di dalam kesusahan. Terutama sekarang saya tumpukan kepada orang asal. Saya rasakan dia macam terbiar. Kita dekati mereka dan kita berikan bantuan apa yang kita termampu,” katanya.