Categories
AGENDA GLOBAL

MV Mega Bakti tiba di perairan Bali, sertai misi cari kapal selam TNI

JAKARTA, 25 APRIL: Kapal penyelamat kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), MV Mega Bakti tiba di Perairan Bali hari ini, bagi menyertai operasi pencarian kapal selam Angkatan Laut Tentera Indonesia (TNI) yang hilang sejak Rabu lepas.

Atase TLDM di Indonesia Komander Nor Izam Baharudin yang ketika ini berada di Bali dan bertindak sebagai penyelaras misi itu dengan TNI, berkata MV Mega Bakti tiba pada 11 pagi tadi (waktu Indonesia barat) dan kru kapal diberikan taklimat oleh TNI sebelum memulakan operasi pencarian.

Operasi kapal MV Mega Bakti itu diketuai Komander TLDM Mohd Hairul Fahmy Yob bersama 54 kru yang terdiri daripada 10 pegawai dan staf perubatan Angkatan Tentera Malaysia dan 44 kru MV Mega Bakti.

“Kapal MV Mega Bakti ketika ini (12 tengah hari tadi) berada di lokasi pencarian di perairan Bali, diberikan taklimat oleh pihak TNI, dan TNI akan tetapkan nanti sektor atau kawasan pencarian mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama.

MV Mega Bakti tiba sejam lebih awal daripada yang dijadualkan, selepas belayar dari Jeti Operasi Markas Pemerintahan Kapal Selam, Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah pada 22 April lepas.

Semalam, Panglima TNI Hadi Tjahjanto berkata kapal berkenaan yang diletakkan “submissed ” (kapal selam hilang) sebelum ini atau terputus hubungan, kini diletakkan “menuju fasa tenggelam” (subsunk).

Beberapa serpihan dan barangan dipercayai komponen kapal selam itu serta kesan tumpahan minyak ditemukan di perairan Bali.

Antara barangan yang ditemukan pasukan pencari ialah bekas pelaras torpedo, paip pendingin, botol berwarna jingga, sejadah, dan gris/pelincir periskop.

KRI Nanggala 402 dilaporkan terputus hubungan pada 4.25 pagi Rabu ketika dalam misi latihan penembakan torpedo yang turut disertai 21 kapal TNI, lima pesawat tempur dan satu lagi kapal selam yang lain.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

TLDM gerak MV Mega Bakti bantu cari kapal selam TNI Indonesia

KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Sebuah kapal penyelamat kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu MV Mega Bakti diatur gerak pagi tadi bagi membantu Indonesia dalam pencarian kapal selam milik Angkatan Laut Tentera Indonesia (TNI), KRI Nanggala, yang terputus hubungan dan hilang di perairan utara Pulau Bali.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan (Mindef) hari ini, MV Mega Bakti telah belayar dari Jeti Operasi Markas Pemerintahan Kapal Selam, Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah dan dijangka tiba di lokasi operasi pada 3 petang, 25 April ini.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diketuai Komander TLDM Mohd Hairul Fahmy Yob selaku koordinator pasukan penyelamat itu melibatkan 54 kru yang terdiri daripada 10 pegawai dan staf perubatan Angkatan Tentera Malaysia dan 44 kru MV Mega Bakti.

“MV Mega Bakti adalah kapal sewaan TLDM yang mempunyai keupayaan utama untuk melaksanakan SAR ke atas kapal selam.

“TLDM turut akan mengadakan solat hajat dan memanjatkan doa ke atas keselamatan anak-anak kapal dan agar kapal selam tersebut segera ditemukan,” demikian menurut kenyataan itu.

Operasi SAR ini adalah yang kedua melibatkan MV Mega Bakti selepas terlibat dalam pencarian MH370 yang dilaporkan hilang di Lautan Hindi pada 2014.

Antara keupayaan serta peralatan SAR dalam kapal tersebut ialah Distress Submarine Ventilation Depressurrized System, GPS Intelligent Buoy (GIB) System – Localisation of Pinger dan Intervention Remotely Operated Vehicle (IROV) with LARS operating Depth 650m, ELSS Pod dan Dive Decompression Chamber.

Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghubungi rakan sejawatannya di Indonesia, Prabowo Subianto bagi menyampaikan rasa simpati terhadap warga TNI susulan insiden tersebut dan menghantar bantuan sebagai negara sahabat.

“Mindef melalui TLDM memberi sepenuh komitmen ke atas operasi SAR ini dan ketersediaan TLDM membuktikan sebarang asetnya boleh diatur gerak dalam semua aspek pengoperasian dalam masa yang singkat.

“Selain menekankan pendekatan diplomasi pertahanan, operasi SAR ini juga menunjukkan komitmen TLDM kepada komuniti antarabangsa berkaitan tugas dan tanggungjawab negara pengendali kapal selam di dunia,” menurut kenyataan itu.

Kapal selam milik TNI, KRI Nanggala-402 dipercayai terputus hubungan ketika sesi latihan di perairan berhampiran Bali sejak awal pagi tadi.

Dipercayai seramai 53 kru berada dalam kapal selam berkenaan yang dilaporkan terputus hubungan pada 4.30 pagi tadi di sekitar 96 kilometer di perairan Bali, ketika sedang menjalani latihan torpedo.

– BERNAMA