Categories
AGENDA NASIONAL

TLDM gerak MV Mega Bakti bantu cari kapal selam TNI Indonesia

KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Sebuah kapal penyelamat kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu MV Mega Bakti diatur gerak pagi tadi bagi membantu Indonesia dalam pencarian kapal selam milik Angkatan Laut Tentera Indonesia (TNI), KRI Nanggala, yang terputus hubungan dan hilang di perairan utara Pulau Bali.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan (Mindef) hari ini, MV Mega Bakti telah belayar dari Jeti Operasi Markas Pemerintahan Kapal Selam, Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah dan dijangka tiba di lokasi operasi pada 3 petang, 25 April ini.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diketuai Komander TLDM Mohd Hairul Fahmy Yob selaku koordinator pasukan penyelamat itu melibatkan 54 kru yang terdiri daripada 10 pegawai dan staf perubatan Angkatan Tentera Malaysia dan 44 kru MV Mega Bakti.

“MV Mega Bakti adalah kapal sewaan TLDM yang mempunyai keupayaan utama untuk melaksanakan SAR ke atas kapal selam.

“TLDM turut akan mengadakan solat hajat dan memanjatkan doa ke atas keselamatan anak-anak kapal dan agar kapal selam tersebut segera ditemukan,” demikian menurut kenyataan itu.

Operasi SAR ini adalah yang kedua melibatkan MV Mega Bakti selepas terlibat dalam pencarian MH370 yang dilaporkan hilang di Lautan Hindi pada 2014.

Antara keupayaan serta peralatan SAR dalam kapal tersebut ialah Distress Submarine Ventilation Depressurrized System, GPS Intelligent Buoy (GIB) System – Localisation of Pinger dan Intervention Remotely Operated Vehicle (IROV) with LARS operating Depth 650m, ELSS Pod dan Dive Decompression Chamber.

Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghubungi rakan sejawatannya di Indonesia, Prabowo Subianto bagi menyampaikan rasa simpati terhadap warga TNI susulan insiden tersebut dan menghantar bantuan sebagai negara sahabat.

“Mindef melalui TLDM memberi sepenuh komitmen ke atas operasi SAR ini dan ketersediaan TLDM membuktikan sebarang asetnya boleh diatur gerak dalam semua aspek pengoperasian dalam masa yang singkat.

“Selain menekankan pendekatan diplomasi pertahanan, operasi SAR ini juga menunjukkan komitmen TLDM kepada komuniti antarabangsa berkaitan tugas dan tanggungjawab negara pengendali kapal selam di dunia,” menurut kenyataan itu.

Kapal selam milik TNI, KRI Nanggala-402 dipercayai terputus hubungan ketika sesi latihan di perairan berhampiran Bali sejak awal pagi tadi.

Dipercayai seramai 53 kru berada dalam kapal selam berkenaan yang dilaporkan terputus hubungan pada 4.30 pagi tadi di sekitar 96 kilometer di perairan Bali, ketika sedang menjalani latihan torpedo.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Anggota hilang: SAR diperluas ke kawasan laut

KUALA LUMPUR, 28 JUL: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua anggota tentera yang hilang di Pulau Perak, Kedah, kini diperluas di sekitar kawasan laut.

Sumber berkata, sebelum ini pencarian telah dibuat di kawasan darat pulau berkenaan, tetapi tidak menemui sebarang petunjuk kehilangan mereka.

“Pencarian di kawasan darat tidak menjumpai sebarang pakaian atau kasut mereka. Selain itu, kawasan pulau berkenaan juga mempunyai tebing yang tinggi serta curam.

“Oleh yang demikian, pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah mengerahkan Kapal Diraja Muhammad Amin TLDM melakukan SAR di kawasan laut,” menurut sumber tentera itu ketika dihubungi Bernama.

Sumber berkata, kapal itu telah digerakkan dalam operasi SAR pada 20 Julai yang memfokuskan pencarian di sekitar kawasan pulau dan perairan berkenaan.

Ditanya sama ada operasi SAR dihentikan, sumber itu berkata sehingga kini tiada arahan menamatkan operasi SAR dan ia akan diteruskan meliputi kawasan sekitar pulau berkenaan.

Operasi SAR akan diteruskan sehingga kedua-dua anggota tentera berkenaan ditemui, katanya.

Pada 23 Julai lalu, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan daripada semua sudut berhubung kehilangan dua anggota tentera darat yang sedang bertugas dalam operasi di pulau itu.

Dua anggota tentera yang hilang itu ialah Kpl David Edmund Rapi dan L/Kpl Moses Logers dari Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) berpangkalan di Kem Bukit Cowder, Perlis.

Kehilangan kedua-dua anggota itu dikesan ketika Ketua Penempatan membuat pemeriksaan pada lewat malam (19 Julai) bagi mengira kekuatan anggota.

Sebelum ini, kes kehilangan anggota ATM di Pulau Perak pernah berlaku pada 3 Okt 2016 yang membabitkan Kpl Johbartlee Kanil, 32, dari Sabah dan Kpl Mohd Faizol Rosli, 29, dari Kampung Sungai Limau di Pulai, Baling, hilang selepas terjatuh ke laut ketika sedang mengambil air.

Mohd Faizol bagaimanapun ditemukan oleh anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL) dalam jarak 30 meter dari Pulau Perak selepas empat hari hilang (6 Okt 2016) akibat terjatuh ke laut di Pulau Perak, dekat perairan Langkawi. Namun Johbartlee dilaporkan masih belum ditemukan sehingga kini.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Dua kapal perang Malaysia sertai Aman Exercise 2019 di Karachi

KARACHI, 8 FEB: Dua aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kapal KD Mahawangsa dan KD Kasturi, menyertai latihan tentera laut multinasional “Aman Exercise 2019” di Karachi, Pakistan mulai hari ini.

Kehadiran dua aset perang TLDM dalam latihan multinasional itu bertujuan meningkatkan kerjasama dan kefahaman tentera laut lebih 45 negara peserta, termasuk 11 tentera laut yang menghantar aset kapal, helikopter serta pasukan khas.

Ia sekali gus membuktikan kerjasama rapat antara Malaysia dan Pakistan, lapor BERNAMA.

Delegasi Malaysia ke edisi keenam Aman Exercise yang dianjurkan Tentera Laut Pakistan dua tahun sekali sejak 2007 itu turut menyaksikan pembabitan pasukan khas laut (PASKAL) dan pasukan pemusnah bom (EOD) TLDM.

Delegasi Malaysia dalam latihan mutinasional selama lima hari sehingga 12 Februari itu diketuai Panglima Wilayah Laut Tiga TLDM, Laksama Pertama Mohamad Azuwan Harun.

Majlis pelancaran latihan multinasional di Pangkalan Tentera Laut Pakistan di Karachi itu dirasmikan Panglima Tentera Laut Pakistan, Laksamana Zafar Mahmood Abbasi dan Komander Armada Pakistan, Laksamana Madya Muhammad Amjad Khan Niazi.

Categories
NASIONAL

Kapal Tentera Laut China berlabuh di Pelabuhan Klang

OLEH NORHAYATI UMOR

PELABUHAN KLANG, 7 OKT: Tiga kapal Tentera Laut Republik Rakyat China (RRC) CNS Xiang Tan, CNS Zhou Shan dan CNS Chao Hu berlabuh di Jeti Boustead Cruise Centre (BCC), di sini.

ketiga-tiga kapal yang membawa seramai 749 anak kapal termasuk 233 pegawai itu bertujuan ulang bekal dan beristirehat sebelum meneruskan pelayaran pulang ke China selepas selesai melaksanakan misi di Teluk Aden, Somalia.

Pegawai Komunikasi Strategik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Komander Ismail Othman berkata, lawatan ke negara itu adalah satu inisiatif diplomasi pertahanan yang turut menyumbang kepada perhubungan dua hala antara kedua-dua negara.

“Selain dapat bertukar maklumat dalam isu keselamatan, peluang kerjasama baru juga dapat diterokai hasil daripada lawatan itu.

“Secara tidak langsung, kunjungan ini menyokong hala tuju Kementerian Pertahanan secara teras Diplomasi Pertahanan dan juga dapat mempromosikan Malaysia menerusi aktiviti ‘military tourism’,” katanya.

cns-xiang-tanIsmail berkata, pelbagai program dirancang sempena lawatan terbabit termasuklah kunjungan hormat Pegawai Memerintah kapal berkenaan ke atas Asisten Ketua Staf Operasi dan Eksesais Laksda Datuk Ahmad Abdullah, serta lawatan pegawai kanan kapal ke Pusat Hidrografi Nasional dan lain-lain lagi.

Ketibaan kapal berkenaan disambut oleh Pegawai Perantaraan (TLDM) Kepten Chan Peng Cheong kira-kira jam 9 pagi.

Turut hadir Duta Besar China di Malaysia, Dr Huang Huikang bagi menyambut ketibaan kapal yang dalam rangka lawatan operasi selama empat hari di negara ini.

-nR-

Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL

Sambutan Kemerdekaan dan Jubli Emas Hari Malaysia

MB

YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim – (KENYATAAN MEDIA)

Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan ke-56, Kerajaan Negeri akan menganjurkan Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Sambutan Jubli Emas Hari Malaysia peringkat negeri pada 30 Ogos ini bertempat di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Sambutan ini akan dihadiri oleh Yang Amat Mulia Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah Al-Haj bagi mewakili DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj.

Pelbagai acara telah diaturkan bagi memeriahkan sambutan tahun ini termasuklah persembahan kebudayaan dan keseniaan, perarakan dan perbarisan 43 kontinjen yang mewakili jabatan dan agensi kerajaan negeri, pertunjukkan pancaragam sekolah-sekolah serta pancaragam Angkatan Tentera Malaysia.

Sambutan kali ini juga akan dimeriahkan dengan persembahan kawad senyap oleh pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan pertunjukkan akrobatik ATM- TATU Red Warrior serta perarakan kereta berhias oleh Majlis Perbandaran Klang.

Majlis sambutan akan diakhiri pertunjukkan bunga api tepat jam 12 tengah malam. Sehubungan itu, kerajaan negeri menjemput orang ramai hadir bagi memeriahkan sambutan ini.

Tema Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan dan Jubli Emas Hari Malaysia peringkat negeri Selangor tahun ini ialah Rakyat Bersatu Selangorku Maju.

YAB TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO? MENTERI BESAR SELANGOR

Categories
NASIONAL

AMK Gesa Polis Siasat Menyeluruh Skandal Jual Rahsia Pertahanan

SHAH ALAM 8 JUN : Polis digesa untuk menyiasat secara menyeluruh isu dakwaan penjualan maklumat rahsia pertahanan negara, tegas Naib Ketua AMK Pusat, Azmizan Zaman Huri.

Azmizam yang juga Ketua AMK Selangor menyeru polis tidak dengan sewenang-wenangnya melindungi mana-mana individu berkepentingan kerana secara jelas, individu-individu terbabit telah menggadai keselamatan dan rahsia pertahanan negara.

“Kejadian ini menimbulkan keraguan mengenai tahap sebenar kemampuan pertahanan negara ini, kerana berdasarkan pendedahan ini , wujud kebarangkalian maklumat-maklumat pertahanan yang lain juga dijual,” kata Azmizam dalam kenyataan medianya.

Jelas beliau, isu ini dilihat satu titik kemuncak keghairahan untuk mengumpul dana kekayaan buat diri sendiri menjadi pendorong kepada beberapa individu berkepentingan untuk membelakangkan keselamatan rakyat secara keseluruhan.

“Pendedahan terbaru ini menunjukkan nyawa dan nilai keselamatan rakyat negara dan perajurit yang bertugas adalah tidak mempunyai makna sama sekali kepada pengkhianat seperti Razak Baginda dan bapanya,” ujar beliau.

Tambah Azmizam, beliau mempersoalkan tindakan Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Pertahanan waktu itu yang hanya menutup mata kerana ingin mengenyangkan proksi dan kroni beliau.

“Malah saya ingin mempersoalkan, adakah Datuk Seri Najib Razak juga menerima habuan yang lumayan daripada penjualan dokumen sulit ini,” ujarnya.

Sebelum ini, pihak SUARAM melaporkan bahawa dokumen berkaitan laporan penilaian prestasi kapal selam Scorpene berasaskan keperluan pertahanan yang digariskan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijual pada harga 36 juta Euro atau RM142 juta kepada pihak DCNS.

Dipercayai Terasasi (Hong Kong) Limited ini dimiliki oleh Abdul Razak Baginda dan bapanya Abdul Malim Baginda yang merupakan sekutu kuat dan penasihat utama kepada Najib Razak.