Categories
AGENDA NASIONAL

MyCar minta kerajaan kaji semula pengenalan Gojek

PETALING JAYA, 23 OGOS: Platform e-hailing milik penuh anak tempatan, MyCar hari ini meminta agar kerajaan mengkaji semula keputusan untuk memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal atau Gojek.

Pengasas MyCar, Mohd Noah Maideen berkata, selain faktor keselamatan dan melanggar norma kesopanan, pengenalan perkhidmatan disediakan syarikat berpangkalan di Indonesia itu juga menimbulkan persaingan tidak sihat kepada syarikat e-hailing tempatan.

“Sebagai syarikat yang baru setahun setengah beroperasi, tak wajar diajak bersaing dengan syarikat luar yang sudah beroperasi lebih lapan tahun.

“Sampai bila kita nak bergantung kepada syarikat luar, terdapat lebih 30 syarikat e-hailing di Malaysia yang dah diluluskan APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat) jadi berilah kami peluang untuk berinovasi,” katanya pada sidang media di sini.

Mohd Noah berkata, pihaknya juga sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk menambah baik perkhidmatan dalam usaha mempertingkatkan kemudahan pengangkutan awam kepada masyarakat.

“Kami memang tidak menyokong sebarang perkhidmatan teksi motor, sedangkan Dego Ride (diasaskan oleh pengusaha tempatan) dulu tidak diluluskan kenapa tiba-tiba mahu bawa masuk Gojek pula,” katanya yang menyifatkan kejayaan Gojek dipengaruhi sokongan masyarakat Indonesia yang menyokong produk tempatan.

Mengulas mengenai tujuan untuk menambah peluang pekerjaan terutama kepada ‘mat motor’, Mohd Noah berpendapat terdapat inisiatif yang lebih baik termasuk kerjaya penghantar makanan yang diusahakan aplikasi Food Panda.

“Kerja penghantar makanan juga hanya perlu motosikal dan ia tak melibatkan nyawa penumpang dan isu-isu berkaitan yang lain,” katanya.

Kabinet pada Rabu bersetuju dengan cadangan untuk mewujudkan perkhidmatan teksi motosikal, Gojek dan jemaah menteri memutuskan agar kajian daripada sudut undang-undang dibuat terlebih dahulu sebelum ia boleh dilaksanakan.

Gojek adalah syarikat rangkaian pengangkutan dan permulaan logistik yang berpusat di Jakarta, Indonesia.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

MyCar tawar diskaun sehingga 15 April

KUALA LUMPUR, 6 MAC: ​Perkhidmatan e-hailing kedua terbesar di Malaysia, MyCar menawarkan diskaun RM4 kepada pelanggannya melalui penggunaan promokod MYCARBEST, bermula hari ini sehingga 15 April depan. ​

Platform Apps Sdn Bhd ​dalam satu kenyataan​ berkata​,​ promokod itu akan diberikan kepada 1,000 pengguna setiap hari sepanjang tempoh berkenaan. ​

​”Promokod​ itu ​sempena aplikasi MyCar versi ba​ha​ru yang akan dilancarkan pada 15 Mac ini, yang dikenali sebagai MyCar Pegagus.

“Ini untuk memberi peluang pengguna e-hailing menggunakan MyCar sebelum aplikasi MyCar Pegagus dilancarkan teruta​ma di bandar besar di Malaysia termasuk Sabah, Sarawak dan Langkawi yang sudah biasa dengan tambang murah perkhidmatan MyCar ini​,” katanya.

Katanya, aplikasi Pegagus dengan 95 peratus penggunaan paparan baharu yang lebih menarik dan mudah itu dijangka menarik lebih ramai pengguna terutama pelajar kolej dan universiti menggunakan MyCar.

“Tempoh promokod dan aplikasi MyCar Pegagus baharu ini juga akan membolehkan rakan pemandu MyCar menjana pendapatan lebih tinggi kerana setiap nilai promokod yang digunakan penumpang MyCar akan dibayar kembali ke dalam akaun ‘wallet’ pemandu dalam tempoh satu hari bekerja sahaja.

“Untuk itu, mereka tidak perlu menunggu lama mendapatkan semula tambang dibayar menggunakan promokod berkenaan,” katanya. –BERNAMA