Categories
AGENDA NASIONAL

Gojek mampu tingkat ekosistem e-dagang – Syed Saddiq

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan khidmat pengangkutan seperti Gojek mampu membantu meningkatkan ekosistem e-dagang di negara ini.

Syed Saddiq berkata, negara luar seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia telah menjadikan rangkaian perkhidmatan dua roda itu satu platform untuk merancakkan ekonomi digital di negara itu.

“Kalau dilihat di Thailand, mereka ada sistem e-dagang bagi penghantaran yang terbaik sebelum penyertaan Grab bike dan Gojek…ia ada pengangkutan (mengendalikan) dalam 10,000 pakej sehari tetapi selepas penyertaan (Grab dan Gojek) ia meningkat empat kali ganda.

“Ini bermaksud usahawan kecil dapat merasai nikmatnya kerana ekonomi e-dagang dapat berkembang dengan pesat. Jika kita pergi ke Bangkok, Indonesia dan Vietnam, mereka boleh pesan makanan di warung-warung dan dihantar terus ke rumah. Kita mahukan ekosistem itu kerana ia dapat membantu usahawan kecil,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan bertajuk Why the need for Gojek, bersama Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang, Ketua Pengarang Bernama Datuk Mokhtar Hussain serta editor-editor kanan media lain di Wisma Bernama hari ini.

Syed Saddiq sekali lagi mengulangi ekosistem perkhidmatan pengangkutan dua roda perlu dilihat dalam skop yang luas dengan pelbagaikan servis seperti penghantaran makanan dan dikembangkan kepada ekonomi digital keseluruhannya.

“Adalah menjadi tanggungjawab untuk memastikan ekosistem pekerjaan itu dapat ditambah baik dan pada masa yang sama ia bukan sahaja melibatkan pengangkutan dua roda, kita perlu lihat daripada penghantaran makanan, e-dagang dan banyak yang lain.

“Lihat pula dari segi penghantaran makanan di Malaysia sekarang lebih kepada restoran terkemuka kerana tiada satu ekosistem yang agak baik di mana sampai warung-warung kecil depan rumah kita itu pun boleh disertakan dalam ekonomi tidak formal melalui ekonomi digital ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Gojek: Kaji faktor keselamatan

KUALA LUMPUR, 29 OGOS: Pelaksanaan perkhidmatan teksi motosikal, Gojek di negara ini perlu dikaji secara menyeluruh, terutama aspek keselamatan ekoran jangkaan pertambahan motosikal dan risiko peningkatan kadar kemalangan jalan raya.

Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Kulanthayan KC Mani berkata, secara relatifnya, motosikal berisiko tinggi terbabit dengan kemalangan, berbanding kenderaan lain.

“Mana-mana kenderaan strukturnya berasaskan dua roda, daripada segi kestabilan ia kurang, maka mudah untuk terbabit dalam kemalangan, sukar untuk kita kawal kenderaan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program UPSOUND terbitan Bernama News Channel, yang disiarkan malam tadi.

Malah, beliau berkata, pengguna jalan raya menggunakan kereta mempunyai satu lapisan perlindungan kerana tertutup, namun tiada bagi motosikal yang terbuka, menyebabkan berlakunya kecederaan langsung terhadap penunggang atau pembonceng motosikal jika terbabit dalam kemalangan.

“Contohnya penumpang duduk dalam kereta, apabila berlaku kemalangan impak pertamanya terhadap badan kereta kemudian baru sampai kepada badan penumpang.

“Kemalangan motosikal pula terus kepada badan dan kita akan dapat kecederaan,” katanya.

Dr Kulanthayan berkata, statistik daripada Polis Diraja Malaysia pada 2018 menunjukkan hampir 550,000 kemalangan direkodkan dan daripada jumlah itu, 6,824 kematian dicatat.

Daripada angka itu, beliau berkata 65 peratus jumlah kematian melibatkan penunggang motosikal dan pembonceng.

Sehubungan itu, beliau menyarankan penggunaan perkhidmatan awam jenis rel dan bas, kerana ia lebih selamat berbanding jenis pengangkutan lain.

Isu Gojek menarik perhatian rakyat Malaysia, selepas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan hasrat mahu memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal itu, di negara ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Gojek: Keselamatan wanita tetap diutamakan

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Keselamatan kaum wanita akan tetap menjadi keutamaan ketika mereka menggunakan khidmat e-hailing, iaitu motosikal Gojek.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, piawaian keselamatan yang ditetapkan kelak akan membolehkan kaum wanita mempunyai pilihan ke atas perkhidmatan itu.

“Lebih baik Menteri Pengangkutan yang bercakap berhubung perkara ini (keselamatan), namun yang pasti akan ada piawaian yang akan ditetapkan.

“Sebagai contoh, di negara lain, mereka mempunyai Pink Version Gojek khusus untuk wanita bagi membantu golongan ini mempunyai pilihan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penutup Program Bicara Kemerdekaan Kedua di sini, hari ini.

Ketika ditanya sama ada akan membenarkan Dego Ride turut beroperasi seperti Gojek di Malaysia, Syed Saddiq berkata, pihaknya sedia maklum syarikat tempatan itu sangat berminat dan pernah menawarkan khidmat pada 2016 sebelum dihentikan oleh kerajaan terdahulu atas faktor keselamatan.

“Saya fikir ia adalah satu petanda yang sangat baik dan saya mahu pastikan pengguna tempatan yang akan mendapat manfaat daripadanya. Tiada sesiapa boleh monopoli dan fakta bahawa Dego Ride diketepikan sebelum ini, adalah satu daripada sebab utama kenapa kami mahu melakukan ini.

“Secara realiti kami mahu Dego Ride, Gojek dan Grab serta yang lain untuk bersaing dan memastikan kepentingan itu akan dilindungi,” katanya.

Pada masa sama, Syed Saddiq berkata, beliau tidak boleh mengawal fahaman politik pegawai dan kakitangan di bawahnya selepas disoal berhubung dakwaan pelantikan 13 ahli Armada bagi mengisi jawatan pegawai penyelaras pembangunan sukan, Kementerian Belia dan Sukan di setiap negeri.

“Saya ada lebih 4,000 pegawai dan kakitangan, jadi amat mustahil untuk saya mengetahui fahaman politik setiap mereka.

“Selagi proses atau prosedur diikuti, kita tidak akan mendiskriminasikan sesiapa,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Gojek: KPWKM utamakan keselamatan wanita, kanak-kanak

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berpendirian untuk tetap mengutamakan aspek keselamatan bagi melindungi wanita dan kanak-kanak jika golongan itu menggunakan khidmat teksi motosikal Gojek apabila diperkenalkan nanti.

Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pihaknya akan memperincikan mekanisme mahupun cadangan berkaitan selepas menerima butiran lengkap daripada Kementerian Pengangkutan (MOT).

“Tidak kiralah Grab (Grab Car), Gojek atau apa-apa saja, bagi pihak kementerian, kami melihat isu ini daripada aspek keselamatan untuk kanak-kanak, golongan wanita dan sudah tentu kami juga melindungi orang kurang upaya.

“Buat masa ini kami tiada maklumat lagi, tunggu butiran daripada MOT dulu dan kementerian kena buat kajian dan selepas itu baru beri secara rasmi apa-apa cadangan,” katanya selepas merasmikan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Titiwangsa di Projek Perumahan Rakyat Hiliran Ampang di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung ‘buah fikiran’ kementerian itu bagi mengelak golongan wanita daripada menjadi mangsa sebarang kejadian tidak diingini termasuk jenayah semasa menggunakan khidmat pengangkutan menggunakan motosikal berkenaan.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata pihaknya yakin dapat membentuk satu mekanisme baharu dalam pelaksanaan perkhidmatan Gojek termasuk mengambil kira aspek keselamatan penunggang dan pembonceng serta sensitiviti masyarakat Muslim.

Pada masa sama, Yeoh berkata, seramai 29,000 warga emas kembali bekerja di seluruh negara, sejak Januari lalu.

“Sebanyak 63 peratus daripada jumlah itu adalah mereka berumur antara 60 hingga 64 tahun dan kebanyakan mereka bekerja dalam sektor perkhidmatan.

“Ini adalah satu angka yang menggalakkan. Kita mahu kebajikan yang produktif dan tidak mahu mereka selalu bergantung kepada kebajikan semata-mata,” katanya.

Katanya, kerajaan kerajaan bakal menubuhkan lagi 48 PAWE di seluruh negara tahun ini bagi memberi peluang kepada warga emas menjalankan aktiviti harian dalam komuniti serta sebagai persiapan Malaysia mencapai status negara tua, pada 2030.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MyCar minta kerajaan kaji semula pengenalan Gojek

PETALING JAYA, 23 OGOS: Platform e-hailing milik penuh anak tempatan, MyCar hari ini meminta agar kerajaan mengkaji semula keputusan untuk memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal atau Gojek.

Pengasas MyCar, Mohd Noah Maideen berkata, selain faktor keselamatan dan melanggar norma kesopanan, pengenalan perkhidmatan disediakan syarikat berpangkalan di Indonesia itu juga menimbulkan persaingan tidak sihat kepada syarikat e-hailing tempatan.

“Sebagai syarikat yang baru setahun setengah beroperasi, tak wajar diajak bersaing dengan syarikat luar yang sudah beroperasi lebih lapan tahun.

“Sampai bila kita nak bergantung kepada syarikat luar, terdapat lebih 30 syarikat e-hailing di Malaysia yang dah diluluskan APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat) jadi berilah kami peluang untuk berinovasi,” katanya pada sidang media di sini.

Mohd Noah berkata, pihaknya juga sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk menambah baik perkhidmatan dalam usaha mempertingkatkan kemudahan pengangkutan awam kepada masyarakat.

“Kami memang tidak menyokong sebarang perkhidmatan teksi motor, sedangkan Dego Ride (diasaskan oleh pengusaha tempatan) dulu tidak diluluskan kenapa tiba-tiba mahu bawa masuk Gojek pula,” katanya yang menyifatkan kejayaan Gojek dipengaruhi sokongan masyarakat Indonesia yang menyokong produk tempatan.

Mengulas mengenai tujuan untuk menambah peluang pekerjaan terutama kepada ‘mat motor’, Mohd Noah berpendapat terdapat inisiatif yang lebih baik termasuk kerjaya penghantar makanan yang diusahakan aplikasi Food Panda.

“Kerja penghantar makanan juga hanya perlu motosikal dan ia tak melibatkan nyawa penumpang dan isu-isu berkaitan yang lain,” katanya.

Kabinet pada Rabu bersetuju dengan cadangan untuk mewujudkan perkhidmatan teksi motosikal, Gojek dan jemaah menteri memutuskan agar kajian daripada sudut undang-undang dibuat terlebih dahulu sebelum ia boleh dilaksanakan.

Gojek adalah syarikat rangkaian pengangkutan dan permulaan logistik yang berpusat di Jakarta, Indonesia.

– BERNAMA