Categories
AGENDA NASIONAL

MyCar minta kerajaan kaji semula pengenalan Gojek

PETALING JAYA, 23 OGOS: Platform e-hailing milik penuh anak tempatan, MyCar hari ini meminta agar kerajaan mengkaji semula keputusan untuk memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal atau Gojek.

Pengasas MyCar, Mohd Noah Maideen berkata, selain faktor keselamatan dan melanggar norma kesopanan, pengenalan perkhidmatan disediakan syarikat berpangkalan di Indonesia itu juga menimbulkan persaingan tidak sihat kepada syarikat e-hailing tempatan.

“Sebagai syarikat yang baru setahun setengah beroperasi, tak wajar diajak bersaing dengan syarikat luar yang sudah beroperasi lebih lapan tahun.

“Sampai bila kita nak bergantung kepada syarikat luar, terdapat lebih 30 syarikat e-hailing di Malaysia yang dah diluluskan APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat) jadi berilah kami peluang untuk berinovasi,” katanya pada sidang media di sini.

Mohd Noah berkata, pihaknya juga sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk menambah baik perkhidmatan dalam usaha mempertingkatkan kemudahan pengangkutan awam kepada masyarakat.

“Kami memang tidak menyokong sebarang perkhidmatan teksi motor, sedangkan Dego Ride (diasaskan oleh pengusaha tempatan) dulu tidak diluluskan kenapa tiba-tiba mahu bawa masuk Gojek pula,” katanya yang menyifatkan kejayaan Gojek dipengaruhi sokongan masyarakat Indonesia yang menyokong produk tempatan.

Mengulas mengenai tujuan untuk menambah peluang pekerjaan terutama kepada ‘mat motor’, Mohd Noah berpendapat terdapat inisiatif yang lebih baik termasuk kerjaya penghantar makanan yang diusahakan aplikasi Food Panda.

“Kerja penghantar makanan juga hanya perlu motosikal dan ia tak melibatkan nyawa penumpang dan isu-isu berkaitan yang lain,” katanya.

Kabinet pada Rabu bersetuju dengan cadangan untuk mewujudkan perkhidmatan teksi motosikal, Gojek dan jemaah menteri memutuskan agar kajian daripada sudut undang-undang dibuat terlebih dahulu sebelum ia boleh dilaksanakan.

Gojek adalah syarikat rangkaian pengangkutan dan permulaan logistik yang berpusat di Jakarta, Indonesia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Grab Malaysia siap sedia untuk khidmat penumpang motosikal

KUALA LUMPUR, 23 OGOS: Syarikat E-hailing, Grab Malaysia siap sedia untuk melaksanakan peningkatan dan inovasi keselamatan produknya bagi khidmat penumpang motosikal sekiranya negara memulakan perkhidmatan teksi motosikal sebagai satu khidmat pengangkutan.

Ketua Grab Malaysia, Sean Goh dalam satu kenyataan hari ini berkata, syarikat itu juga mencadangkan agar peraturan Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV) membenarkan pembangunan satu set berasingan yang ketat mengenai ciri-ciri keselamatan khas motosikal berkenaan bagi melindungi orang awam.

“Grab menyatakan sokongan secara prinsip kepada Kabinet bagi permintaan penggunaan perkhidmatan motosikal di Malaysia namun pada masa yang sama menyatakan kebimbangan terhadap keselamatan penggunaan perkhidmatan itu.

“Ketika kerajaan mempertimbangkan undang-undang bagi perkhidmatan motosikal di Malaysia, kami percaya adalah penting untuk menitikberatkan aspek kritikal perkhidmatan ini – keselamatan penunggang, penumpang dan masyarakat keseluruhannya dengan mengambil kira infrastruktur jalan raya, keadaan trafik dan rekod keselamatan,” katanya.

Goh berkata, pada masa kini perkhidmatan penumpang motosikal Grab adalah nombor satu di Indonesia, Vietnam dan Thailand.

Sehingga kini, Grab mewujudkan peluang pendapatan kepada lebih 10,000 rakan motosikal menerusi perkhidmatan GrabFood dan GrabExpress di sekitar Lembah Klang, Kuching, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Melaka dan Johor Bahru.

“Kita akan terus mewujudkan lebih banyak peluang pendapatan untuk semua rakyat Malaysia termasuk belia, individu yang kurang upaya dan mereka yang lain yang mencari peluang pendapatan,” katanya.

Pada Rabu lalu, Kabinet meluluskan cadangan untuk mewujudkan khidmat penumpang motosikal seperti perkhidmatan GoJek, namun satu kajian dari aspek perundangan akan dibuat terlebih dahulu sebelum ia boleh dilaksanakan.

– BERNAMA