Categories
AGENDA NASIONAL

MyIPO belum lulus cap dagang jenama ‘Harimau Menangis’

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Permohonan cap dagang bagi jenama ‘Harimau Menangis’ oleh Syarikat Noor Khan Enterprise masih di peringkat pemeriksaan, kata Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Datuk Mohd Roslan Mahayudin.

Justeru, beliau berkata jenama yang dimohon pemilik syarikat itu, Noor Kartini Noor Mohamed belum diluluskan MyIPO dan menjadi hak eksklusif beliau.

Mohd Roslan memaklumkan pemohonan Noor Kartini bagi mendaftarkan jenama itu diterima MyIPO pada November tahun lepas dan kelulusannya bergantung kepada hasil pemeriksaan serta pertimbangan agensi tersebut.

“Sehubungan itu, Noor Kartini diminta untuk tidak mendahului keputusan MyIPO dengan mendakwa jenama ‘Harimau Menangis’ telah didaftarkan sebagai cap dagangan dan menjadi hak eksklusif beliau.

“MyIPO akan memproses permohonan beliau seperti biasa iaitu sebarang keputusan yang dibuat adalah berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Sejak semalam, tular di media sosial usahawan itu mendakwa jenama ‘Harimau Menangis’ bagi produk keluarannya telah didaftarkan dan beliau mempunyai hak eksklusif ke atas cap dagangan nama tersebut.

Dakwaan usahawan itu, yang merupakan ibu selebriti Neelofa, mendapat perhatian warganet yang rata-rata menyifatkan tindakan tersebut sebagai keterlaluan memandangkan sudah ramai menggunakan nama resepi masakan berasaskan daging ‘Harimau Menangis’ dalam produk mereka.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Daftar dengan MyIPO lindungi hak cipta elak diciplak

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Usahawan tempatan disaran mendaftar perniagaan mereka dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi mengelak hak cipta produk keluaran masing-masing diciplak.

Pengerusinya, Datuk Mohamad Alamin, berkata kesedaran terhadap pendaftaran harta intelek masih kurang kerana ia tidak diwajibkan dalam kalangan usahawan tempatan.

“Hanya mendaftar dengan MyIPO boleh melindungi hak cipta mereka…jangan ‘sudah terhantuk baru terngadah’, buat segala persiapan dahulu sebelum memasarkan produk bagi memastikan perniagaan lebih selamat dan lebih berdaya saing.

“Mereka masih lagi ada ruang perundangan terhadap mana-mana pihak yang didapati menciplak hasil kerja mereka jika masih belum berdaftar. Namun mungkin kita akan wujudkan satu ruang kaunseling kepada mereka yang menghadapi situasi sebegini,” katanya dalam taklimat media ‘Impak Covid-19 kepada Pendaftaran MyIPO’, di sini, hari ini.

Sementara itu katanya, MyIPO menerima sebanyak 14,945 permohonan pendaftaran harta intelek bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, iaitu 11,725 bagi cap dagangan, 2,594 paten, 625 reka bentuk perindustrian dan satu petunjuk geografi.

Ia termasuk 3,759 permohonan dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 18 Mac hingga 31 Mei lepas.

Daripada jumlah itu, MyIPO meluluskan sebanyak 12,917 pendaftaran harta intelek termasuk 10,768 untuk cap dagangan, 1,825 paten, 317 reka bentuk perindustrian dan tujuh petunjuk geografi, katanya.

-BERNAMA

Categories
EKONOMI

Usahawan disaran daftar harta intelek elak dieksploitasi

KUALA LUMPUR 26 OGOS: Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menyarankan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) segera mendaftarkan harta intelek masing-masing bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa eksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Ketua Pengarahnya Datuk Shamsiah Kamaruddin berkata, gesaan itu dibuat kerana PKS di negara ini masih kurang kesedaran mengenai kepentingan untuk mendaftarkan harta intelek berbanding syarikat besar.

“Sasaran kami adalah untuk memberi pendedahan kepada golongan ini (PKS) mengenai kepentingan perlindungan harta intelek seperti cap dagangan, paten, reka bentuk perindustrian, petunjuk geografi (GI) dan hak cipta mereka agar ia tidak mudah ditiru atau diciplak oleh pihak lain.

“Antara sebab usahawan PKS ini tidak membuat perlindungan harta intelek adalah kerana kekurangan pengetahuan tentang harta intelek produk mereka selain mempunyai tanggapan bahawa proses perlindungan harta intelek adalah rumit dan melibatkan kos yang tinggi,” katanya lapor BERNAMA.

Sementara itu, Shamsiah berkata jumlah pendaftaran harta intelek masih lagi didominasi oleh syarikat dari negara asing seperti Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun berbanding syarikat tempatan.

Katanya bagi 2017 sehingga Julai lalu, sebanyak 15,093 pendaftaran diterima daripada syarikat dari negara asing manakala 8,226 pendaftaran bagi syarikat tempatan.

Tidak kira kecil atau besar syarikat, pendaftaran harta intelek adalah penting kerana ia merupakan milik atau hak eksklusif bagi membolehkan pihak terbabit mendapatkan bayaran royalti jika digunakan pihak lain, katanya.

MyIPO adalah agensi yang dipertanggungjawabkan melindungi hak harta intelek di Malaysia bagi membantu rakyat tempatan terutama usahawan tradisional dan juga dalam talian untuk mendaftar dan melindungi harta intelek mereka.

=EZY=