Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

mySalam: `Talian hayat’ kesihatan rakyat

KLANG, 17 FEB: Kelayakan untuk menuntut bayaran RM8,000 menerusi skim perlindungan masyarakat, mySalam bagi penyakit kritikal ibarat ‘talian hayat’ buat Rosshiella Roslan selepas suaminya menghidap strok.

Rosshiella, 35, seorang pekerja swasta di daerah ini berkata suaminya Mohamad Firdaus Mohd Noor, 35, menghidap strok sejak 2018 dan sejak itu mereka berulang-alik ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

“Untuk skim ini, saya sudah buat tuntutan sejak tahun lepas dan wang berkenaan membantu kami untuk perbelanjaan perjalanan ke hospital.

“Tapi hari ini, apabila saya dapat tahu bahawa penyakit strok boleh tuntut pembayaran RM8,000, saya sangat bersyukur kerana wang itu boleh menampung kos merawat suami saya,” katanya ketika ditemui di HTAR.

Katanya, inisiatif kerajaan mewujudkan skim bantuan seumpama itu meringankan beban golongan berpendapatan rendah (B40) yang bukan sahaja menanggung kos sara hidup yang tinggi namun terpaksa pula berhadapan dengan pelbagai kos rawatan perubatan.

Senada dengan Rosshiella adalah seorang penjawat awam, Zulradi Abdul Rahim, 34, yang menyifatkan skim diperkenalkan Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) pada tahun lepas menunjukkan keprihatinan pentadbiran negara dalam isu berkaitan kesihatan rakyat.

“Saya lihat skim ini merupakan niat kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan rawatan sebaiknya,” katanya yang ditemui di kios mySalam di HTAR.

Zulradi berkata beliau mahu mendapatkan maklumat mengenai proses tuntutan manfaat RM8,000 yang layak diperolehnya susulan pernah menjalani pembedahan otak akibat kemalangan baru-baru ini.

Sementara itu, seorang petugas di kios berkenaan memberitahu, beliau menerima permohonan dan pertanyaan mengenai skim itu daripada hampir 100 pengunjung hospital berkenaan dalam sehari.

“Untuk beberapa hari kebelakangan ini, kita menerima banyak pertanyaan mengenai skim mySalam yang dibuka kepada golongan berpendapatan pertengahan (M40) pula. Kami di kiosk sedia membantu sepanjang waktu operasi bermula jam 9 pagi sehingga jam 5 petang, Isnin hingga Jumaat.

“Selain menguruskan pertanyaan dan pendaftaran, kami juga membantu pesakit menguruskan proses tuntutan,” katanya yang enggan dikenali.

Skim mySalam yang dilancarkan pada 24 Januari tahun lepas merupakan perlindungan takaful kepada golongan B40 dengan memberi bayaran bantuan tunai sekali gus RM8,000 bagi mereka yang menghidap satu daripada 36 penyakit kritikal termasuk kanser, serangan jantung dan alzheimer serta elaun hospital harianRM50 sehari atau maksimum RM700 setahun.

Pada 11 Februari lalu pula, kerajaan menambah baik skim berkenaan apabila menambah perlindungan kepada 45 jenis penyakit kritikal termasuk polio bermula tahun ini selain memperluaskan manfaatnya kepada golongan M40 dengan pendapatan kasar tahunan tidak melebihi RM100,000.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

mySalam: Penerima skim dijangkiti koronavirus layak buat tuntutan

PUTRAJAYA, 11 FEB: Penerima yang layak mendapatkan Skim Perlindungan Kesihatan Nasional, mySalam yang didapati dijangkiti koronavirus 2019 layak menuntut bayaran gantian hilang pendapatan bernilai RM50 sehari, sehingga 14 hari.

Seorang pegawai Kementerian Kewangan berkata demikian semasa menjawab soalan media sama ada skim itu meliputi mereka yang dijangkiti wabak berkenaan, ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Skim mySalam lanjutan di sini hari ini.

Pegawai itu turut mengatakan sekiranya pesakit dimasukkan ke wad akibat komplikasi koronavirus, mereka malah boleh membuat tuntutan bagi penyakit kritikal yang melibatkan pembayaran “one off” berjumlah RM8,000.

Sementara itu, skim mySalam lanjutan yang berkuat kuasa 1 Januari lalu meliputi sembilan lagi penyakit kritikal termasuk polio, menjadikan jumlah keseluruhan 45.

Skim lanjutan turut melibatkan peningkatan had umur kepada 65 daripada 55 sebelum ini, penerima Bantuan Sara Hidup bujang dan orang kurang upaya dan kini termasuk kumpulan M40 dengan pendapatan kasar tahunan RM100,000 ke bawah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perluas mySalam, manfaat lapan juta rakyat tahun ini

PUTRAJAYA, 11 FEB: Skim perlindungan kesihatan masyarakat, mySalam diperluaskan meliputi 45 jenis penyakit kritikal termasuk polio bermula 1 Januari tahun ini, kata menteri kewangan.

Lim Guan Eng berkata perluasan skim membabitkan kenaikan had umur kepada 65 berbanding 55 tahun sebelum ini serta penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) individu bujang dan orang kurang upaya (OKU).

Skim itu juga dipanjangkan kepada golongan berpendapatan pertengahan, M40 dengan pendapatan kasar tahunan tidak melebihi RM100,000, katanya.

Perlindungan itu merangkumi faedah bayaran penyakit kritikal “one-off” atau sekali sebanyak RM4,000 dan bayaran pendapatan gantian elaun sebanyak RM50 sehari untuk tempoh maksimum 14 hari apabila dimasukkan ke hospital kerajaan, hospital perubatan universiti dan hospital tentera, katanya.

“Secara keseluruhannya kerajaan menjangka perluasan skim ini akan membawa manfaat kepada lapan juta individu bagi tahun ini,” katanya pada majlis perasmian perluasan skim mySalam, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan timbalannya Dr Lee Boon Chye serta Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah.

Lim Guan Eng. Foto BERNAMA

Skim mySalam sebelum ini menawarkan dua jenis faedah bantuan dengan penerima mendapat bayaran one-off sebanyak RM8,000 serta bayaran pendapatan gantian elaun dimasukkan ke hospital sebanyak RM50 di mana-mana hospital kerajaan, hospital perubatan universiti dan hospital tentera untuk tempoh maksimum 14 hari setiap tahun atau RM700 setahun.

Guan Eng berkata penerima BSH individu bujang dan OKU yang layak boleh membuat tuntutan mulai Mei selepas proses pendaftaran BSH dimuktamadkan.

Bagi individu M40, katanya proses pendaftaran bermula hari ini sehingga 31 Mac nanti.

Ditanya peruntukan RM2 bilion untuk skim mySalam mencukupi untuk memenuhi tuntutan, Guan Eng berkata ia lebih daripada mencukupi kerana skim itu bertujuan menawarkan jaringan sosial kesihatan kepada mereka yang menghadapi penyakit kritikal.

Menurutnya, seramai 4.3 juta individu golongan B40 yang tersenarai untuk BSH 2019, yang berumur di antara 18 hingga 55 tahun serta pasangan mereka, dilindungi di bawah skim mySalam bagi 2019.

“Lebih daripada 9,662 individu berjaya menerima faedah bantuan yang berjumlah lebih RM13.7 juta. Daripada jumlah itu,1,448 individu telah menerima faedah penyakit kritikal dan 8,214 menerima faedah elaun dimasukkan ke hospital,” katanya.

Guan Eng berkata aplikasi mudah alih mySalam boleh dimuat turun oleh penerima yang layak bagi membolehkan proses tuntutan, semakan status tuntutan dan baki faedah, serta mendapatkan maklumat berkenaan skim mySalam dibuat dengan lebih cepat dan mudah.

Katanya, usaha menubuhkan dan menaik taraf kiosk mySalam di 150 hospital kerajaan di seluruh Malaysia sedang giat dijalankan sebelum akhir tahun ini bagi meningkatkan kesedaran, penyebaran maklumat dan membantu memudahkan proses tuntutan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

mySalam tidak cukup penuhi keperluan kumpulan B40

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Manfaat daripada Skim Perlindungan Kesihatan Nasional, mySalam, mungkin tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan takaful kumpulan pendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40) dan mencatatkan kadar penembusan yang ketara dalam segmen ini, kata seorang perunding penyelidikan.

Rakan Kongsi Dr Schanz, Alms & Company Henner Alms berkata, permintaan terhadap inisiatif insurans kerajaan itu besar, bagaimanapun, program itu mempunyai hadnya.

“Ia menawarkan perlindungan ke atas 36 penyakit kritikal tetapi cabaran yang dihadapi oleh segmen B40 mungkin lebih besar. Persoalannya ialah bagaimana anda dapat mengatasi penyelesaian semasa yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada pelancaran terbitan pertama penerbitan Thought Leadership Malaysian Reinsurance Bhd (Malaysian Re), Malaysian Insurance Highlights (MIH) 2019 di sini, semalam.

Alms berkata, terdapat pendekatan yang amat berbeza diambil dalam pasaran sedang pesat membangun dan mendapat akses kepada lebih ramai orang.

“Saya fikir ia adalah dipersetujui bahawa kadar penembusan yang kurang dalam segmen pendapatan rendah menjadi cabaran yang besar kepada setiap masyarakat, kerana golongan ini merupakan mereka yang lebih terdedah kepada bencana, dan mempunyai kurang perlindungan.

“Oleh itu, setiap penggubal dasar dan syarikat insurans perlu mencari penyelesaian untuk menangani cabaran ini. Bagaimanapun, ia bukan mudah dan sering penyelesaian yang mencukupi yang diambil dalam pelbagai pasaran merupakan gabungan sektor swasta (syarikat insurans) dan kerajaan,” kata Alms.

Dalam memperluaskan skop 36 penyakit kritikal, katanya, ia tidak perlu kerana segmen B40 menghadapi cabaran yang berbeza.

“Misalnya China dan India, insurans pertanian dalam gabungan dengan kerajaan merupakan penyelesaian yang amat baik untuk memberikan keselamatan pendapatan kepada segmen itu, tetapi itu pendekatan yang amat berbeza yang turut memberi manfaat yang besar,” katanya.

Ditubuhkan pada 2008 dan bermastautin di Zurich, Dr. Schanz, Alms & Company menyokong pelanggannya dalam menyelidik dan menganalisis persekitaran perniagaan mereka, membangun dan melaksanakan profil strategik yang berbeza dan berkomunikasi dengan berkesan dengan pihak berkepentingan utama mereka.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Reinsurance Berhad, Zainuddin Ishak berkata, ideanya juga untuk mempunyai skim yang didorong secara komersial, disokong oleh mekanisme harga yang mencukupi dengan manfaat yang sesuai.

“Saya fikir pengawal selia cuba menggalakkan penggiat industri hari ini untuk memastikan kita dapat memberi saluran pengedaran yang paling cekap, dari segi mendigitalkan insurans dan anda dapat memansuhkan kos ini dan kos ini boleh dibawa terus kepada simpanan dalam premium (insurans),” katanya.

Zainudin berkata, itu antara cabaran yang membimbangkan industri insurans hari ini dan semua pihak berkepentingan perlu mencari penyelesaian.

MIH 2019, yang memasukkan input daripada lebih 30 eksekutif insurans kanan dan pakar dalam pasaran, menumpukan kepada lima trend utama, iaitu menghapuskan tarif, penyatuan pasaran, strategi B40, prospek takaful dan InsurTech.

Penerbitan penyelidikan itu boleh didapati di laman web Malaysian Re, www.malaysian-re.com.my.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Skim mySalam tidak beri keuntungan mana-mana syarikat

SHAH ALAM, 21 OGOS: Kementerian Kewangan menafikan dakwaan Skim Perlindungan Nasional B40 (mySalam) bermotifkan keuntungan seperti yang diterbitkan dalam sebuah artikel tulisan Presiden Angkatan Karyawan Nasionalis (Akar), Ab Jalil Backer.

Sebaliknya, skim tersebut merupakan tawaran kerajaan kepada kumpulan berpendapatan rendah yang layak seramai 3.8 juta individu.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, segala baki premium yang telah dibayar kepada syarikat takaful yang tidak dituntut, dan faedah simpanan terkumpul akan dibayar balik sepenuhnya kepada Tabung Amanah mySalam.

“Kerajaan ingin sekali lagi menegaskan bahawa tiada unsur keuntungan untuk mana-mana syarikat insurans melalui skim mySalam. Dakwaan-dakwaan sinis artikel komentar yang diterbitkan oleh Sinar Harian adalah palsu sama sekali.

“Kementerian Kewangan Malaysia dan Bank Negara Malaysia telah menjalankan kajian dan penilaian yang menyeluruh untuk memastikan bahawa skim mySalam memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat,” katanya.

Katanya, artikel seperti itu berdasarkan fakta palsu dan tajuk yang sensasi adalah bertujuan untuk menidakkan manfaat yang dinikmati rakyat daripada skim ini.

“Kerajaan sentiasa prihatin akan beban kewangan rakyat terutamanya ketika kecemasan kesihatan yang tidak dijangka.

“Maklumat tentang skim ini boleh didapati dengan mudah melalui laman web Skim mySalam di www.mysalam.com.my,” katanya.

MySalam mula dilaksanakan pada Januari 2019 sehingga Disember 2023 dengan peruntukan RM2 bilion merupakan inisiatif skim takaful perlindungan kesihatan percuma untuk golongan B40.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

mySalam terima reaksi positif kalangan B40

KUALA LUMPUR, 19 JUN: Skim Perlindungan Kesihatan Nasional (mySalam), bagi membantu golongan B40 menangani kesulitan kewangan apabila dimasukkan ke hospital kerajaan atau ditimpa penyakit kritikal mendapat reaksi positif golongan berkenaan.

Ketua Komunikasi Korporat, Bahagian Komunikasi dan Strategi Korporat Kementerian Kewangan, Zakiah Hanum Kassim berkata, walaupun baru dilancarkan Januari lalu, kerajaan menerima permohonan daripada 2,474 penerima skim membabitkan pembayaran RM349,600 bagi tempoh Mac hingga awal Jun.

Pembayaran itu, katanya membabitkan dua jenis pembayaran iaitu bagi faedah hospital dan yang mengalami penyakit kritikal.

Bayaran berkenaan meliputi RM248,000 kepada 737 penerima yang mengalami penyakit kritikal dan RM101,600 lagi dibayar kepada 1,737 penerima bagi pembayaran faedah hospital.

“Kerajaan kini giat menjalankan pelbagai program kesedaran bagi memberi maklumat terutama kepada penerima skim yang layak supaya mereka tampil membuat permohonan dan menerima faedah skim ini,” katanya ketika dihubungi Bernama berhubung perkembangan terkini pelaksanaan mySalam.

Skim perlindungan mySalam dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada 24 Januari lalu adalah perlindungan takaful yang disediakan kepada golongan B40 melalui kerjasama awam swasta antara kerajaan persekutuan dan Great Eastern Takaful Bhd, dengan dana permulaan RM2 bilion.

Kira-kira 3.69 juta penerima, terdiri daripada golongan B40 yang juga penerima Bantuan Sara Hidup Rakyat 2019 (BSHR), berumur 18 hingga 55 tahun serta pasangan layak menerima elaun RM50 sehari atau maksimum RM700 setahun jika menjalani rawatan di hospital dan jika disahkan menghidap satu daripada 36 jenis penyakit kritikal, bayaran tunai sekali gus (one-off) RM8,000 akan dikredit ke akaun mereka.

Zakiah berkata Kementerian Kewangan dengan kerjasama pelbagai pihak sedang memperhebatkan usaha promosi dan publisiti mengenai mySalam termasuk mengadakan penerangan ke beberapa negeri di Semenanjung termasuk tiga negeri di pantai timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Kita sudah mengadakan jerayawara dengan Bank Negara Malaysia (BNM) sempena Karnival Kewangan Pantai Timur di tiga negeri terbabit dari 18 Mac hingga 6 April lalu dan beberapa siri ceramah kesedaran di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 9 April, Rumah Panjang Bukit Kiara (20 April), di DUN Selangor, Shah Alam dan di Sekolah Rendah Integrasi Datuk Keramat (23 Mei) serta di Hospital Kuala Lumpur pada 25 Mei.

“Kita turut mengadakan ceramah dalam kalangan anggota dan pegawai tentera di Kem Wardieburn, Setapak pada 3 Jun lalu dengan kerjasama Persatuan Takaful Malaysia,” katanya.

Zakiah berkata tiga lagi ceramah mengenai skim itu akan diadakan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah pada 23 Jun, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Alor Gajah, Melaka (27 Jun) dan jerayawara bersama BNM (sempena Karnival Kewangan Melaka) di Melaka dari 8 hingga 14 Julai.

Kementerian Kewangan turut bekerjasama dengan pengendali insurans, Great Eastern untuk membuka kiosk-kiosk di seluruh negara pada bulan ini dalam usaha meningkatkan pengetahuan dan permohonan golongan sasar terhadap faedah yang boleh dimanfaatkan menerusi skim itu.

Hospital terlibat adalah Hospital Kuala Lumpur, di Selangor; Hospital Ampang, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Hospital Selayang, Hospital Kajang, Hospital Shah Alam, Hospital Kuala Kubu Bahru, Hospital Sungai Buloh, Hospital Serdang dan Hospital Banting.

“Kiosk turut diwujudkan di Hospital Putrajaya, Hospital Seremban (Negeri Sembilan), Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu dan Hospital Umum, Kuching, Sarawak. Jadi kita harap dengan penyebaran maklumat yang lebih luas ini akan lebih ramai pemohon yang layak menerima manfaat daripada skim ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

MySalam bukti keprihatinan kerajaan

SHAH ALAM, 14 Jun : Skim Perlindungan Kesihatan Nasional (mySalam) disifatkan sebagai bukti keprihatinan kerajaan dalam mengurangkan beban golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40), dalam mendapatkan rawatan kesihatan.

Seorang mekanik, Nazrul Ishak, 38, berkata inisiatif kerajaan itu dilihat dapat memberi manfaat kepada golongan sasar susulan kos rawatan hospital dan ubat-ubatan yang semakin meningkat pada masa kini.

“Saya tahu wujudnya skim ini menerusi berita daripada media sosial…skim ini saya lihat dapat membantu kita mendapatkan rawatan lanjut di hospital sekiranya kita menghidapi penyakit kronik seperti sakit jantung.

“Bagi keluarga yang kurang berkemampuan seperti keluarga saya, ini adalah satu perkara baik, walaupun tidak mengalami apa-apa penyakit buat masa ini, bagi saya ini satu keperluan untuk masa akan datang sebab pada bila-bila masa sahaja kita boleh dapat penyakit kronik ini,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Skim mySalam yang dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 Januari lepas merupakan perlindungan takaful yang disediakan kepada golongan B40 melalui kerjasama awam swasta antara kerajaan persekutuan dan Great Eastern Takaful Bhd.

Perlindungan takaful itu disediakan dengan memberi bayaran bantuan tunai sekali gus sebanyak RM8,000 bagi mereka yang disahkan menghidap satu daripada 36 penyakit kritikal termasuk kanser, serangan jantung dan alzheimer serta elaun hospital harian sebanyak RM50 sehari atau maksimum RM700 setahun.

Penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) di seluruh negara yang berumur antara 18 hingga 55 tahun dan pasangannya layak mendapat skim mySalam.

Nazrul yang juga penerima BSH, turut berharap skim itu akan diperluaskan di setiap hospital kerajaan di seluruh negara.

“Kita tahu tidak semua hospital menerima skim ini, jika kita hadkan kepada satu-satu hospital, ini akan menimbulkan kesesakan pesakit kronik di hospital tersebut, jadi ini akan memberi kesukaran kepada kita,” katanya.

Sementara itu, seorang penjawat awam negeri Lailatul Sofia Rashid, 30, berkata skim mySalam perlu ditawarkan juga kepada anak-anak daripada keluarga B40 kerana golongan muda juga tidak terkecuali daripada menghidap penyakit kronik seperti orang dewasa.

“Sekiranya perlu bagilah kepada semua anggota keluarga dalam satu-satu keluarga itu, sebab sekarang kalau kita tengok anak-anak kecil juga tidak terkecuali menghidap penyakit yang sangat kritikal termasuk kanser,” katanya. -BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Skim mySalam beri manfaat kepada 3.69 juta rakyat

OLEH NORHAYATI UMOR

PUTRAJAYA, 24 JAN: Skim Perlindungan Nasional B40 (mySalam) yang diperkenalkan kerajaan dijangka memberi manfaat kepada 3.69 juta rakyat Malaysia, berumur 18 hingga 55 tahun.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Skim mySalam itu adalah satu lagi inisiatif kerajaan untuk membantu kumpulan B40 dengan memberi perlindungan perubatan dalam bentuk bantuan kewangan apabila berlaku kecemasan atau masalah kesihatan.

“Kita akan berusaha sedaya upaya menjana dana bagi meringankan beban rakyat jelata dan untuk mencapai matlamat itu. Kita turut mengambil langkah inovatif dan alternatif.

“Usaha kami ini mula membuahkan hasil dan skim mySalam ini membuktikan langkah inovatif dan alternatif terbabit mampu membantu mencapai matlamat membantu rakyat.

“Skim mySalam ini diperkenalkan dengan sumbangan permulaan yang besar sebanyak RM2 bilion daripada syarikat insurans dan takaful Great Eastern,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Skim Perlindungan B40 mySalam, di Dewan Utama, Kompleks Kementerian Kewangan Putrajaya, di sini, hari ini.

Foto:BERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Dr Matahir berkata, penerima layak mendapat perlindungan kesihatan secara percuma untuk 36 jenis penyakit kritikal merangkumi kanser, serangan jantung dan alzheimer di bawah skim itu.

“Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, Kerajaan Pakatan Harapan merasai keperitan yang ditanggung oleh rakyat yang hilang mata pencarian akibat sakit atau kemalangan.

“Skim ini akan menyediakan perlindungan takaful kepada isi rumah dalam kumpulan pendapatan bulanan 40 peratus terendah (B40) yang menerima Bantuan Sara Hidup Rakyat 2019 (BSHR),” katanya.

Pada masa sama, Dr Mahathir percaya, skim itu akan berjaya menarik dan menambahkan sumbangan kepada tabung mySalam daripada Great Eastern dan semua penanggung insurans serta pengendali takaful, di negara ini.

“Saya juga berharap syarikat insurans swasta yang lain dapat berganding bahu untuk memperluaskan jangkauan pemilikan polisi insurans dan takaful rakyat Malaysia.

“Selain itu, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyatakan rasa gembira melihat kerjasama yang kukuh di antara Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan untuk meningkatkan taraf serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sementara itu, katanya, selain Skim mySalam, inisiatif lain yang berkait rapat dan akan diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan ialah Skim Peduli Kesihatan atau PeKa B40.

“Skim PeKa B40 ini akan dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada minggu hadapan untuk golongan B40 berumur 50 tahun dan ke atas. Ianya adalah projek perintis tahun 2019 dengan peruntukan sebanyak RM100 juta,” katanya.

Pada tahun 2017, kadar penembusan insurans dan takaful dalam kalangan B40 yang bekerja adalah masih rendah pada kadar 30.3 peratus berbanding dengan kadar 50.4 peratus bagi semua rakyat bekerja.