Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Mahathir dibenar keluar IJN

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 3.45 petang ini selepas berjaya menjalani prosedur perubatan elektif.

IJN dalam kenyataan ringkas berkata Dr Mahathir akan menjalani proses pemulihan seterusnya di rumah.

“Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua yang mengambil berat dan mendoakan kesihatannya sejak seminggu yang lepas, apabila Dr Mahathir dimasukkan ke Institut Jantung Negara,” menurut kenyataan itu.

Dr Mahathir dimasukkan ke IJN pada 7 Jan lepas bagi menjalani prosedur perubatan elektif.

Pada 16 Dis lepas Dr Mahathir dimasukkan ke IJN untuk pemeriksaan perubatan menyeluruh dan pemantauan lanjut, sebelum dibenarkan keluar dari IJN pada pukul 11.39 pagi 23 Dis.

— BERNAMA

 

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Dr M: Tiada majoriti, Muhyiddin bukan PM sebenar

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Tidak sampai dua jam sebelum majlis angkat sumpah Perdana Menteri yang baharu, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin bukanlah PM yang sebenar kerana beliau tidak mendapat sokongan majoriti dalam Parlimen.

Dr Mahathir, Perdana Menteri sementara memberitahu persidangan akhbar bahawa sebaliknya beliau mendapat sokongan majoriti daripada 114 Ahli Parlimen, hasil daripada gabungan Pakatan Harapan, Warisan dan beberapa Anggota Parlimen bebas, sesetengahnya daripada parti beliau sendiri, Bersatu.

“Tan Sri Muhyiddin tidak mendapat sokongan majoriti untuk menjadi perdana menteri baharu,” katanya pada persidangan akhbar yang diadakan di Yayasan Albukhary di sini.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, beliau tidak akan pergi ke istana untuk mewakili senarai 114 Ahli Parlimen yang menyokong beliau.

Beliau juga berkata, mereka (kumpulan beliau) akan memohon agar persidangan Parlimen disegerakan untuk melihat siapa sebenar yang mendapat sokongan majoriti.

Ditanya berapa ramai Ahli Parlimen menyokong beliau sehingga 4.00 petang semalam, beliau menjawab: “Sembilan puluh dua”.

“… tetapi apabila ditambah dengan saya dan yang lain, tentunya kami mempunyai majoriti. Majoriti itu dicapai daripada Pakatan Harapan, Warisan dan anggota bebas, yang memberi sokongan mereka kepada kami, bukan kepada Pakatan, (tetapi) kepada kumpulan ini, yang saya ketuai

Dr Mahathir berkata, susulan Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan, beliau perlu menamatkan kedudukannya sebagai perdana menteri sementara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dr M dedah 114 sokong, Muhyiddin kurang enam pemimpin Bersatu

SHAH ALAM, 29 FEB: Perdana Menteri sementara Dr Mahathir Mohamad mendedahkan senarai nama 114 ahli parlimen yang menyokongnya sebagai perdana menteri.

Dalam kenyataan media malam ini, Dr Mahathir berkata beliau menyediakan surat untuk diserah kepada Yang Dipertuan Agong bagi menjelaskan sokongan kepadanya.

Dr Mahathir turut mendedahkan lima lagi ahli Bersatu yang tidak menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Buat masa ini saya telah mendapat sejumlah 114 ahli parlimen yang menyokong saya sebagai perdana menteri kelapan.

“Saya telah menyediakan surat untuk dihantar kepada Agong yang menerangkan kedudukan perkara ini serta sokongan 114 ahli parlimen yang diberikan kepada saya.

“Saya berharap pihak Tuanku DYMM Yang di-Pertuan Agong akan menerima surat dan penjelasan saya,” katanya.

Selain ahli-ahli parlimen dari KEADILAN, DAP dan Amanah yang memberi sokongan pada Dr Mahathir melalui akaun berkanun, senarai itu juga menyebut beberapa nama ahli parlimen dari parti lain.

Kenyataan penuh dan senarai nama 114 ahli parlimen itu seperti di bawah:

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Mahathir nyatakan solidariti, sokongan kepada China

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan solidariti dan sokongan padu Malaysia kepada China dalam mengendalikan wabak koronavirus 2019 (Covid-19).

Dalam perbualan telefon lebih setengah jam dengan Presiden China Xi Jinping semalam, Dr Mahathir turut menzahirkan keyakinan terhadap setiap usaha dilakukan presiden dan kerajaannya berhubung perkara itu.

“Kedua-dua pemimpin bercakap tentang persefahaman bersama dan hubungan erat untuk membendung dan menangani epidemik Covid-19 , serta meminimumkan kesannya,” kata Kementerian Luar dalam kenyataan.

Menurut kementerian itu, Presiden Xi menghargai persahabatan dan bantuan Malaysia, dan memberi jaminan China mempunyai kekuatan menangani wabak Covid-19 dan akan menjaga rakyat Malaysia dan rakyat negara lain yang kini berada di China sama seperti warganegara mereka.

Kedua-dua pemimpin bersetuju tentang perlunya usaha bersepadu, dengan perdana menteri merujuk kepada langkah bersama yang akan diambil oleh Asean dan China untuk memastikan situasi itu terkawal.

“Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk sering berhubung antara satu sama lain dalam memberikan respons terhadap epidemik itu,” kata kenyataan itu.

Media melaporkan lebih 64,000 kes disahkan dan lebih 1,400 kematian dilaporkan di China sejak bermulanya wabak itu.

Terdapat 19 kes Covid-19  disahkan di Malaysia sehingga semalam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Presiden Azerbaijan puji ucapan Dr Mahathir

BAKU (Azerbaijan), 26 OKT: Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev memuji ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-18 di sini, pada Jumaat.

“Ucaptama anda semalam adalah sangat hebat, ia adalah visi yang berpandangan ke hadapan, pendekatan terbuka terhadap isu-isu penting dan anda sentiasa mempertahankan keadilan,” kata presiden itu kepada Dr Mahathir semasa pertemuan mereka di Istana Presiden, di sini, hari ini.

Dalam kunjungan hormat Dr Mahathir ke atas presiden itu, Ilham berkata, perdana menteri berusia 94 tahun itu adalah di sebalik transformasi Malaysia yang mengagumkan dan Azerbaijan berharap dapat berkongsi pengalaman Dr Mahathir.

Kedua-dua pemimpin tersebut turut membincangkan hubungan dua hala Malaysia-Azerbaijan dengan bersetuju memperkukuhkan kerjasama khusus dalam sektor tenaga dan pelancongan​​.

Selepas pertemuan selama 20 minit itu, Dr Mahathir memberitahu media Malaysia, bahawa beliau berharap Azerbaijan, selaku pengerusi baharu NAM, dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan memastikan badan itu bersatu dan relevan dalam era Perang Dingin.

Beliau berkata Malaysia sentiasa mengekalkan dasar mesra terhadap setiap negara.

Mengenai hubungan dua hala dengan Azerbaijan, Perdana Menteri berkata, Malaysia berharap dapat mengembangkan kerjasama dan sektor perdagangan dan pelancongan dengan negara tersebut.

“Tidak banyak rakyat Malaysia yang tahu tentang Azerbaijan walaupun ada sebilangan yang tahu Baku kerana tapak-tapak sejarahnya. Ada beberapa rakyat Malaysia yang tinggal di sini dan sudah tentu kita ada Petronas di sini,” katanya.

Selepas kedua-dua negara menjalinkan hubungan diplomatik pada 5 April, 1993, Azerbaijan membuka kedutaannya di Kuala Lumpur pada Jun 2007 manakala Kedutaan Malaysia di Baku dibuka pada 1 April, 2014.

Susulan pembukaan Kedutaan Malaysia di sini, Petronas memulakan operasi di sini pada 2015 dan sehingga kini pelaburannya di negara itu dianggarkan bernilai US$5 bilion (RM20.93 bilion).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM lawat pejabat Petronas di Azerbaijan

BAKU, Azerbaijan, 26 OKT: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melawat pejabat Petroliam Nasional Bhd (Petronas) di Azerbaijan di sini.

Sebaik tiba, Dr Mahathir yang berada di sini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-18 diberikan taklimat mengenai operasi Petronas di negara itu oleh Ketua Negaranya, Najwa Aras

Turut hadir Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Duta Besar Malaysia ke Azerbaijan, Datuk Yubazlan Yusof.

Sebagai satu daripada syarikat terbesar Fortune Global 500, kehadiran Petronas dalam kalangan gergasi minyak dan gas telah mengubah landskap industri itu di Azerbaijan.

Sebelum 2014, industri itu dimonopoli oleh syarikat minyak dan gas barat seperti British Petroleum (BP), Chevron dan TOTAL Statoil.

Susulan penubuhan Kedutaan Malaysia di Baku, Petronas membuka operasinya di sini dan mengambil alih 15.5 peratus ekuiti dalam Perjanjian Perkongsian Pengeluaran(PSA) Shah Deniz II daripada Statoil yang berpangkalan di Norway dengan nilai US$2.25 bilion.

Sebagai pihak berkepentingan dalam PSA, Petronas turut memiliki 15.5 peratus ekuiti dalam South Caucasus Pipeline Co (SCPC) dan 12.4 peratus kepentingan dalam Azerbaijan Gas Supply Co.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lawatan PM dijangka perkukuh hubungan Malaysia – Turkmenistan

ASHGABAT (Turkmenistan), 26 OKT: Lawatan rasmi dua hari Tun Dr Mahathir Mohamad ke Turkmenistan bermula Ahad, dijangka mengeratkan lagi hubungan dua hala yang telah terjalin antara Malaysia dan negara ini sejak 27 tahun lepas.

Duta Besar Malaysia ke Turkmenistan Roseli Abdul berkata, lawatan Dr Mahathir itu adalah atas jemputan Presiden Turkmenistan Gurbanguly Berdimuhamedov yang telah mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada Disember 2011 dan November 2016.

Beliau berkata lawatan Dr Mahathir itu yang merupakan kali kedua selepas Oktober 1994, juga akan dapat memperkukuhkan lagi penglibatan Petronas dalam kerja-kerja penerokaan minyak dan gas di negara ini.

“Fokus utama lawatan Tun Dr Mahathir ini bagi meningkatkan kerjasama dalam bidang ekonomi terutama dalam industri minyak dan gas. Kedua-dua pemimpin juga dijangka membincangkan hal berkaitan isu serantau dan antarabangsa,” katanya kepada media Malaysia di sini, pada Sabtu, sempena lawatan rasmi Dr Mahathir ke Turkmenistan.

Selepas dua lawatan tertinggi dari pemimpin Turkmenistan pada 1994, kerajaan negara ini menyedari pengalaman dan kelayakan Petronas dalam bidang industri minyak dan gas, dan menjemput syarikat petroleum Malaysia itu melabur di negara ini.

Selepas itu pada tahun 1996, Petronas diberi 32 tahun Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC), berakhir pada 2028 untuk mengeluarkan gas asli di kawasan Blok 1 di Laut Caspian.

Pada masa ini, Turkmenistan berada di kedudukan keempat teratas yang mempunyai simpanan gas asli di bawah tanah, selepas Rusia, Iran dan Qatar. Simpanan gas asli yang terbukti adalah sebanyak 20 trilion meter padu, namun jumlah itu mungkin lebih tinggi kerana masih banyak kawasan di negara ini masih belum diterokai.

Mengulas lanjut, Roseli berkata sebelum ini bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara, kerajaan Malaysia telah membuka Kedutaan Besar Malaysia di Ashgabat pada 2011.

“Dalam masa lapan tahun, pihak Kedutaan telah bekerja rapat dengan Petronas Carigali Turkmenistan untuk kepentingan ekonomi negara kita, di samping meneroka bidang baharu seperti perniagaan, pelancongan dan pelajaran,” katanya.

Beliau berkata hubungan dalam bidang pelajaran juga menggalakkan kerana semakin ramai pelajar dari Turkmenistan berminat untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah di Malaysia.

Setakat ini seramai 300 pelajar Turkmenistan berada di Malaysia. Petronas melalui program tanggungjawab sosial korporat telah memberi biasiswa kepada 150 pelajar negara ini dalam masa 20 tahun untuk belajar di Universiti Teknologi Petronas, katanya.

Roseli berkata selain Petronas, terdapat beberapa syarikat Malaysia yang sedang melabur di Turkmenistan terutamanya dalam bidang minyak dan gas, sekali gus memberi sokongan kepada syarikat petroleum nasional Malaysia itu.

Malaysia kini merupakan sumber pelaburan asing yang terbesar di Turkmenistan dengan nilai pelaburan terkumpul melebihi US$10 bilion (RM42 bilion). Turkmenistan merupakan rakan dagangan Malaysia yang ketiga terbesar dalam kalangan negara Asia Tengah dengan nilai dagangan berjumlah US$11.8 juta (RM48.5 juta) pada 2018

Dalam lawatan ini, Dr Mahathir akan diiringi isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan.

Dr Mahathir dijangka tiba di Ashgabat kira-kira 9 malam ini waktu tempatan (kira-kira 12 tengah malam waktu Malaysia).

Program lawatan rasmi perdana menteri bermula Ahad dengan majlis sambutan di Istana Presiden, diikuti dengan Mesyuarat Terhad antara Dr Mahathir dan Berdimuhamedov, seterusnya Mesyuarat Delegasi, dan diakhiri dengan kenyataan bersama daripada kedua-dua pemimpin.

Beberapa dokumen dijangka disepakati selepas pertemuan tersebut iaitu Pertukaran Nota Program Kerjasama antara Kementerian Luar Malaysia dan Turkmenistan untuk 2020/2021; serta Pertukaran Nota Kerjasama Akademi-Diplomatik antara kerajaan Malaysia dan Turkmenistan.

Selepas program berkenaan, Presiden Turkmenistan itu akan meraikan Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah serta delegasi Malaysia pada majlis makan tengah hari.

Pada sebelah malam Ahad, Dr Mahathir dijadual menghadiri jamuan makan malam dengan kira-kira 80 rakyat Malaysia yang bekerja di Turkmenistan.

Perdana Menteri dan isteri dijangka berlepas pulang ke Malaysia pada Isnin.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Mahathir lawat Green Tech Farm Azersun

BAKU, AZERBAIJAN, 26 OKT: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempunyai jadual padat semasa menghadiri Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) ke-18, di sini, meluangkan masa melawat Green Tech Farm milik Azersun Holding.

Dr Mahathir diiringi Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Duta Besar Malaysia ke Azerbaijan, Datuk Yubazlan Yusof.

Kompleks rumah hijau moden seluas 35 hektar yang menggunakan teknologi canggih dalam penghasilan sayur-sayuran organik seperti tomato, terung, timun dan cili itu terletak di pinggir ibu negara Azerbaijan.

Semasa lawatan 40 minit itu, perdana menteri diberi taklimat mengenai operasi kompleks berkenaan oleh Naib Presiden Azersun, Tahir Goozal.

Dr Mahathir turut merasai beberapa sayur-sayuran yang dihasilkan di ladang tersebut.

Azersun merupakan konglemerat terbesar dalam pengeluaran makanan, perniagaan dan sektor perladangan di negara itu. Ia juga adalah pengeluar dan pengeksport makanan terbesar Azerbaijan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Golongan B40 disaran libatkan diri dalam perniagaan

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Libatkan diri dalam perniagaan, walaupun berniaga kecil-kecilan, untuk meningkatkan pendapatan ke arah kehidupan yang lebih baik.

Mesej itu disuarakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah B40 yang tinggal di bandar dalam usaha mempertingkatkan tahap sosioekonomi mereka dan keluar daripada kemiskinan bandar.

Seterusnya, mereka perlu memperkembangkan perniagaan itu.

“Kami dapati ada sesetengah komuniti di Malaysia tidak mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup untuk memperkembangkan perniagaan mereka.

“Mereka amat statik, dan sebaik saja mereka peroleh cukup wang untuk membiayai keperluan harian, mereka tidak melakukan sebarang usaha untuk memperkembangkan perniagaan yang mereka ceburi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Pembasmian Kemiskinan: Pembangunan Inklusif dan Sejahtera Dalam Malaysia Baharu, bersempena Hari Antarabangsa Yayasan Sejahtera 2019, di sini hari ini.

Oleh itu, beliau berkata kerajaan harus mendidik mereka tentang keperluan untuk memperkembangkan dan memperluaskan perniagaan supaya mereka dapat keluar daripada kemiskinan di kawasan bandar.

Perdana menteri menjelaskan fenomena itu berlaku di seluruh dunia, yang mana penduduk dari kawasan luar bandar berhijrah ke bandar dengan harapan supaya mereka dapat mencari kerjaya yang lebih sesuai dan meraih pendapatan lebih baik di kawasan bandar.

“Ia sebenarnya menggambarkan kemiskinan luar bandar. Disebabkan itu, mereka datang ke bandar, tetapi mereka datang tanpa kelulusan yang sesuai dan prospek yang wajar.

“Jika mereka tidak membenarkan diri mereka dilatih, maka pendapatan mereka akan rendah. Bagaimanapun, kami boleh membantu dengan memberi mereka latihan, mewujudkan peluang, dan memperbanyakkan tawaran pekerjaan, supaya mereka tidak tergolong dalam kalangan miskin bandar,” katanya.

Ketika ditanya bagaimana kerajaan Pakatan Harapan dapat mengawal harga barangan ketika kos sara hidup terus menjadi masalah utama, Dr Mahathir berkata, kerajaan melakukan yang terbaik untuk mengawal harga barangan, dan mengharapkan kerjasama sektor swasta supaya harga barangan terus rendah, sungguhpun mereka sendiri perlu memperoleh keuntungan yang munasabah.

“Harga barangan tidak ditetapkan oleh kerajaan, melainkan bagi barangan tertentu. Jika kami menetapkan harga bagi semua barangan, maka ia akan menjadi ekonomi terkawal, bukan lagi ekonomi bebas.

“Dalam ekonomi bebas, sektor swasta berpeluang untuk menetapkan harga tetapi jika harga menjadi tidak munasabah, (atau) mereka memperoleh keuntungan yang melampau, ketika itu mungkin kerajaan akan campur tangan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dr Mahathir hadiri mesyuarat Majlis Tindakan Daerah Langkawi

LANGKAWI, 13 OKT: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pagi ini menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Daerah Langkawi di Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi, Kuah.

Beliau, yang juga Ahli Parlimen Langkawi, tiba di Kompleks Pejabat Daerah dan Tanah pada 10.15 pagi.

Terdahulu Dr Mahathir, yang tiba dengan memandu sendiri kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70, disambut oleh Pegawai Daerah Langkawi, Muhammad Arof Darus dan ketua-ketua jabatan kerajaan di Langkawi.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Hangat, Juhari Bulat dan Adun Kuah, Mohd Firdaus Ahmad.

Mesyuarat itu diadakan lebih sejam.

Selepas mesyuarat berkenaan, Dr Mahathir menyempurnakan majlis penyerahan sebuah ambulans sumbangan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Langkawi.

Dr Mahathir menyerahkan ambulans itu kepada Pegawai APM Daerah Langkawi, Kapten (PA), Ahmad Shahfikri Darus.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PAKATAN tidak minat tubuh kerajaan baharu dengan pembangkang

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Pakatan Harapan (PAKATAN) tidak berminat bekerjasama dengan pembangkang dalam menubuhkan kerajaan baharu seperti yang dicadangkan seorang pemimpin UMNO.

“Kita tidak berminat untuk buat itu (penubuhan kerajaan baharu). Kita sedar negara kita adalah negara berbilang kaum. Setiap kerajaan sejak merdeka sehingga sekarang mempunyai ahli-ahli kabinet terdiri daripada semua kaum,” kata pengerusi PH itu kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan dalam kenyataan semalam dilaporkan mempelawa Dr Mahathir untuk menubuhkan sebuah kerajaan baharu dengan kerjasama Barisan Nasional, PAS, serta parti dari Sabah dan Sarawak demi kedudukan Melayu dan Islam.

Dr Mahathir, yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia berkata, hakikatnya adalah semua kaum di Malaysia mempunyai hak dalam negara ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Boleh tukar parti atas sebab kukuh – Dr Mahathir

PETALING JAYA, 4 OKT: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata terserah sepenuhnya kepada Ahli Parlimen jika mereka mahu menukar parti politik, tetapi ia mesti dilakukan atas sebab yang kukuh.

Perdana Menteri berkata perbuatan melompat parti boleh diterima jika mereka merasakan mereka tidak boleh menyumbang kepada kerajaan atau parti mereka sekarang.

“Jika anda mengetengahkan diri anda sebagai ahli sesebuah parti dan disebabkan itu mungkin anda menang, dan selepas itu anda lompat (parti), itu bukanlah setia kepada janji anda sendiri.

“Bagaimanapun, sebaliknya, apabila berhadapan dengan kerajaan yang benar-benar lemah dan anda tidak boleh melompat parti serta terpaksa terus kekal dengan kerajaan, saya fikir ia tidak akan menyumbang kepada tadbir urus yang baik.

“Saya berpendapat anda perlu berupaya untuk lompat dan tukar parti,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan Perlembagaan dan Peraturan Perundangan LAWASIA di sini hari ini.

Dr Mahathir ditanya sama ada kerajaan mempunyai sebarang cadangan untuk memperkenalkan undang-undang anti melompat parti.

Beliau menegaskan cita-cita peribadi tidak seharusnya dijadikan sebab untuk melompat parti.

“Bukan sebab anda dapati diri anda rapat dengan perdana menteri, anda bermungkinan menjadi seorang menteri. Jika itulah sebabnya anda melompat parti, itu tidak bagus,” katanya.

Kepada soalan lain berkaitan perpaduan nasional, Dr Mahathir berkata pemupukan perpaduan perlu bermula sejak di peringkat sekolah dan kerajaan pernah mencadangkan supaya sekolah kebangsaan mempunyai tiga kaum utama di bawah satu bumbung tetapi cadangan itu ditolak.

“Adalah penting untuk mempunyai sistem nilai yang baik, terapkannya pada usia yang masih muda (Tetapi) ia sukar kerana kita telah menerima bahawa kaum yang berlainan perlu berada di sekolah yang berlainan. Kami telah mencadangkan sebuah sekolah kebangsaan di mana semua kaum pergi ke sekolah yang sama tetapi cadangan itu ditolak.

“Kami cadangkan tiga buah sekolah di kampus yang sama di mana, semasa perhimpunan, mereka (pelajar) akan bermain bersama-sama, bukan mewakili sekolah, sebaliknya bahagian, kelas, rumah tertentu atau apa saja, tetapi ia ditolak,” katanya.

Dr Mahathir berkata beliau percaya sekiranya cadangan itu dilaksanakan, pelajar akan dapat kenal mengenal antara satu sama lain dan melupakan tentang perbezaan mereka, sekali gus mendukung perpaduan nasional.

-BERNAMA