Categories
SELANGOR

Persempadanan semula: Jangan ingat BN boleh menang

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 27 APR: Persempadanan semula kawasan pilihan raya di Selangor dengan mewujudkan 33 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti Melayu tidak lagi memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sri Muda bagi penggal 2013-2018, Shuhaimi Shafiei berkata, pengundi Melayu kini memilih menolak BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14) nanti.

“Kawasan ini dahulu di bawah N49 Seri Andalas tetapi ia berubah kepada Sungai Kandis selepas berlaku pecahan persempadanan, mereka (BN) sangka dengan cara itu mereka boleh menang.

“BN boleh rancang, boleh pecah tetapi 33 kerusi Melayu akan kekal dengan Pakatan Harapan (PAKATAN),” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Pelancaran Bilik Gerakan dan Jentera Pilihan Raya N49 Sungai Kandis, di sini, semalam.

Jelasnya, senario sokongan Melayu kepada PAKATAN hari ini sudah jauh berbeza berbanding mood pengundi Melayu di awal proses persempadanan dijalankan pada 2016 lalu.

Katanya, pada masa ini, rata-rata pengundi Melayu tidak lagi teragak-agak menolak BN dan memberikan sokongannya kepada PAKATAN.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dikatakan terpaksa menunggu proses persempadanan semula diselesaikan sebelum beliau membubarkan parlimen.

Beliau dipercayai mengambil langkah itu selepas mengkaji pola undian masyarakat pada PRU-13 lalu di mana BN menguasai di kawasan majoriti Melayu.

Categories
SELANGOR

Shuhaimi lancar bilik gerakan, jentera Sungai Kandis

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 27 APR: Pelancaran bilik gerakan dan jentera bagi N.49 Sungai Kandis berlangsung penuh bersemangat apabila ia dibanjiri lebih 500 hadirin, malam tadi.

Majlis dimulakan dengan Solat Maghrib dan diikuti Majlis Munajat serta Solat Isyak berjemaah.

Majlis terus dihangatkan dengan ceramah calon, antaranya Calon N.46 Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri; N.50 Kota Kemuning, Ganabatirau a/l Veraman dan kemuncaknya, Calon N.49 Sungai Kandis, Shuhaimi Shafiei.

Shuhaimi selepas itu menerima penyerahan bendera KEADILAN sebagai simbolik kepada pelancaran bilik jerakan dan jentera pilihan raya Sungai Kandis.

Serentak dengan itu, konvoi beberapa kenderaan jentera Pilihan Raya Sungai Kandis melalui tapak majlis sambil diiringi laungan bersemangat dan tepukan orang ramai.