Categories
AGENSI SELANGOR

IRIS 2019 mampu revolusi hasil penyelidikan, inovasi negara

SHAH ALAM, 11 DIS : Program Konferensi Penyelidikan dan Inovasi Intelektual (IRIS) 2019 anjuran Universiti Selangor (UNISEL) dipercayai mampu memberi revolusi hasil penyelidikan dan perubahan kepada negara.

Naib Presiden merangkap Timbalan Naib Canselor Pentadbiran, Perancangan dan Jaringan Global, Prof Dr Mohd Nor Nawawi berkata, program itu bertepatan dengan usaha kerajaan dalam mempersiapkan Malaysia menerusi sistem pendidikan tinggi bagi menghadapi masa depan mencabar dan sentiasa berubah.

Katanya, beliau yakin hasil program itu mampu membuka mata dan minda bahawa inovasi itu luas dan tidak terbatas.

“Saya percaya hasil pameran dan pertandingan mampu membuka mata dan minda semua pihak bahawa inovasi tidak terbatas oleh masa malahan masih banyak kemahiran penyelidikan dan perubahan intelek perlu diterokai,” katanya menerusi kenyataan di Facebook Universiti Selangor.

Difahamkan, program itu cetusan idea Fakulti Komunikasi, Seni Visual Dan Pengkomputeran dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Dan Jalinan Industri UNISEL yang diadakan semalam di Dewan Canselor, UNISEL Kampus Bestari Jaya.

Program itu turut disertai oleh ahli akademik dan mahasiswa dari Multimedia University, Management and Science University, Universiti Teknologi Malaysia, Politeknik, INTI, Universiti Putra Malaysia, Universiti Perguruan Sultan Idris dan Universiti Utara Malaysia.

Jalinan kerjasama itu dilihat sebagai landasan dalam mempopulasikan budaya inovasi sama ada di UNISEL dan juga institusi pengajian tinggi yang lain.

IRIS 2019 juga mampu merevolusikan hasil penyelidikan dan inovasi dalam kalangan ahli akademik dan mahasiswa di negara ini.

Terdahulu, seramai 103 peserta menyertai tiga acara iaitu “Penyelidikan Intelektual, Inovasi Intelek dan Produk Inovasi Sosial (Kreatif dan Komuniti).

Pemenang Anugerah Utama “Inovasi Penyelidikan Intelek (Perisian atau Produk Sistem) disandang oleh Sarimah Mat Nawi dari UNISEL.

Pelbagai aktiviti turut diadakan sepanjang majlis antara pameran IRIS 2019, sesi taklimat STEM-A, Yayasan Inovasi Malaysia dan sesi Perbadanan Harta Intelek Malaysia.

Categories
AGENSI SELANGOR

Lebih 3,000 kes kemalangan di tempat kerja sehingga Jun

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 27 SEPT: Sebanyak 3,749 kes kemalangan pekerjaan direkodkan di seluruh negara bermula Januari hingga Jun lalu ekoran kegagalan majikan dan pekerja mematuhi piawaian keselamatan di tempat kerja.

Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, mengikut statistik dikeluarkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Kementerian Sumber Manusia, sebanyak 5,031 kes dicatatkan sepanjang tahun lalu.

“Bagaimanapun, kadar kemalangan di industri pekerjaan menunjukkan penurunan kepada 2.4 peratus tahun lalu, berbanding 2.93 peratus pada 2017 bagi setiap 1,000 pekerja.

“Kita mengharapkan trend penurunan ini akan berterusan bagi tahun akan datang,” katanya pada Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) ‘Kesedaran Majikan dan Pekerja Muda Masa Hadapan’, di Dewan Kuliah 2, UNISEL Shah Alam, di sini, semalam.

 

Turut hadir, Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Selangor, Mustafa Draman; Penolong Setiausaha Kehormat Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Daman Huri Mohammad serta Timbalan Pengerusi Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Cawangan Selangor, Michelle Hah.

Presiden & Naib Canselor UNISEL, Prof Dr Mohammad Redzuan bergambar bersama tetamu kehormat dan peserta ketika Program “Osh Awareness For Future Young Employers and Workers” di UNISEL Kampus Shah Alam pada 26 September 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Melihat kepada senario itu, Mohammad Redzuan berkata, usaha bagi mengurangkan kemalangan semasa bekerja selain mewujudkan tempat kerja yang selamat dan sihat harus menjadi tanggungjawab semua pihak.

Katanya, sifat tanggungjawab seharusnya lahir daripada kesedaran individu dalam memberi tumpuan terhadap kepentingan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

“Aspek keselamatan di UNISEL misalnya sentiasa dipantau rapi oleh Dr Mohd Zubairy (Pengarah Pusat Pengurusan Risiko Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan) dan akan dilaporkan kepada Mesyuarat Eksekutif.

“Hal ini supaya kita sedar bahawa ia bukan sekadar keselamatan untuk pelajar sahaja, tetapi turut mengambil kira keselamatan kontraktor yang datang ke sini dengan memastikan mereka mematuhi peraturan asas seperti memakai topi serta pakaian sepatutnya,” katanya.

Categories
SELANGOR

Naib Canselor UNISEL terima Anugerah Tertinggi MAPIM-KPT

OLEH : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 22 APR : Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Prof Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman menerima Anugerah Buku Ilmiah Terbaik menerusi Kategori Kemanusian dan Sains Sosial pada Majlis Anugerah MAPIM-KPT 2015 di Putrajaya, hari ini.

Anugerah tersebut diperoleh beliau selaku pengarang menerusi buku bertajuk ‘Sekularisme dan Proses Demokrasi di Turki : Pemerkasaan Islam dan Kepimpinan Edrogan’ yang diterbitkan pada 2015.

ANUGERAH MAPIMAnugerah disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh bertempat di Bangunan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Selain anugerah tersebut, lima lagi anugerah disempurnakan pada majlis sama.

Mohammad Redzuan menzahirkan rasa gembira di atas pengiktirafan tersebut dengan menyifatkan ia sebagai anugerah yang cukup bagus bagi merancakkan lagi hasil penulisan akademik di negara ini.

“Alhamdulillah. Buku tulisan saya ini menang buat kali ke-2.

“Terima Kasih kepada yang terlibat secara langsung dan tidak langsung. Terima Kasih juga kepada penulis bersama, Mashitah,” katanya yang membawa pulang wang tunai RM12,000 beserta plug.

Turut berkongsi anugerah tersebut ialah Mashitah Sulaiman selaku pengarang bersama yang juga merupakan anak didik Mohammad Redzuan semasa menuntut di Universiti Malaya sebelum ini.

Mashitah kini bertugas sebagai Penyelaras Pusat Pengajian Teras Universiti Sains Islam Malaysia.

-nR-