Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Mahathir lawat Green Tech Farm Azersun

BAKU, AZERBAIJAN, 26 OKT: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempunyai jadual padat semasa menghadiri Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) ke-18, di sini, meluangkan masa melawat Green Tech Farm milik Azersun Holding.

Dr Mahathir diiringi Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Duta Besar Malaysia ke Azerbaijan, Datuk Yubazlan Yusof.

Kompleks rumah hijau moden seluas 35 hektar yang menggunakan teknologi canggih dalam penghasilan sayur-sayuran organik seperti tomato, terung, timun dan cili itu terletak di pinggir ibu negara Azerbaijan.

Semasa lawatan 40 minit itu, perdana menteri diberi taklimat mengenai operasi kompleks berkenaan oleh Naib Presiden Azersun, Tahir Goozal.

Dr Mahathir turut merasai beberapa sayur-sayuran yang dihasilkan di ladang tersebut.

Azersun merupakan konglemerat terbesar dalam pengeluaran makanan, perniagaan dan sektor perladangan di negara itu. Ia juga adalah pengeluar dan pengeksport makanan terbesar Azerbaijan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia kembali kepada prinsip asal NAM dalam hubungan luar

BAKU, 24 OKT: Malaysia, yang mengganggap peranan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) masih relevan, sudah mula kembali kepada prinsip asal pergerakan itu dalam dasar hubungan luarnya, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata sejak Pakatan Harapan (PAKATAN) mengambil alih kerajaan pada Mei 2018, ia mengambil langkah ke arah mengembalikan dasar luar Malaysia yang asas.

“Sebab itu kita terus bersuara dalam isu seperti Rohingya dan Palestin. Dalam isu Yaman, pada awal pentadbiran PAKATAN kita tidak sambung penglibatan dalam gabungan yang diketuai kerajaan Arab Saudi di Yaman,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia yang membuat liputan sidang kemuncak NAM ke-18, di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada dasar luar Malaysia sudah lari daripada prinsip asal penubuhan NAM sehingga terdapat anggapan ia cenderung terhadap negara tertentu dan campur tangan dalam isu negara lain, termasuk penghantaran tentera.

Saifuddin berkata Malaysia kini melihat kembali kepada rantau yang dulunya ia rapat seperti Afrika dan Amerika Selatan.

“Walaupun kita tak fikir akan adakan Dialog Langkawi, banyak lagi platform yang ada untuk kita kukuhkan  hubungan dengan mereka. 

“Malah kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga melihat kepentingan dan suasana baharu yang bersesuaian dengan negara,” katanya.

Saifuddin berkata NAM merupakan satu platform penting daripada sudut kerjasama  dengan negara yang Malaysia mempunyai hubungan dua hala.

Katanya, Sidang Kemuncak NAM juga terus menonjolkan isu tradisi seperti Palestin dan soal  keselamatan serantau seperti Laut China Selatan dan Rohingya.
Dr Mahathir akan mengetuai delegasi Malaysia ke sidang tersebut bermula Jumaat ini.

-BERNAMA