Categories
AGENDA NASIONAL

Agong tinjau pelaksanaan SOP, sesi belajar di SMK Danau Kota

KUALA LUMPUR, 26 JUN: Keprihatinan tinggi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap keselamatan dan kesihatan para guru dan pelajar sekolah di seluruh negara terserlah hari ini apabila baginda berkenan meninjau sendiri pelaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) dan sesi pembelajaran secara bersemuka di Sekolah Menengah Kebangsaan Danau Kota, di sini.

Ia susulan pembukaan semula sesi persekolahan melibatkan kelas-kelas peperiksaan awam, khususnya Tingkatan Lima dan Enam pada Rabu lepas melalui proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) normal baharu setelah kira-kira tiga bulan terhenti akibat pandemik Covid-19.

Seri Paduka, diiringi anakandanya Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, berangkat tiba di sekolah berkenaan pada 10 pagi, disambut Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin, para pegawai tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan.

Ia merupakan lawatan kerja pertama Seri Paduka yang diadakan di luar Istana Negara sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas.

Sejurus tiba, guru bertugas terlebih dahulu membuat pemeriksaan suhu ke atas baginda sebelum Al-Sultan Abdullah berkenan memakai cecair pembasmi kuman yang telah diletakkan di atas alat hasil inovasi pelajar sekolah itu, yang hanya memerlukan seseorang memijak alat tersebut untuk mengeluarkan cecair berkenaan.

Seri Paduka kemudiannya berkenan menerima sembah taklimat berkenaan pelaksanaan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah KPM dan tatacara kebiasaan baharu yang perlu dipatuhi oleh para guru, murid dan ibu bapa atau penjaga bagi mencegah penularan Covid-19.

Al-Sultan Abdullah turut meninjau sendiri proses pengendalian kantin sekolah dan melihat bagaimana SOP pelajar ketika beratur membeli makanan ketika waktu rehat, beramah mesra dengan peniaga kantin sambil memuji kebersihan premis kantin itu.

Baginda kemudiannya ke Makmal Fizik sekolah itu bagi melihat sesi pengajaran dan pembelajaran bersemuka dengan tatacara kebiasaan baharu, sambil bertanyakan guru mengenai kandungan pengajaran serta memberikan kata-kata semangat kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan besar tidak lama lagi.

Lawatan Seri Paduka diteruskan dengan baginda mengunjungi Bengkel Jahitan Pendidikan Khas di sekolah tersebut dan melihat sendiri kaedah pembelajaran secara dalam talian bagi pelajar yang belajar dari rumah.

Al-Sultan Abdullah kemudian ke sebuah kelas dan menerima taklimat mengenai SOP ketika makan di dalam kelas pada waktu rehat, dan tanpa kekok, turut berkenan bersantap bersama pelajar di dalam kelas berkenaan.

Di akhir lawatan, baginda menerima lambaian daripada guru-guru yang kelihatan teruja menyaksikan keberangkatan ketua negara itu ke sekolah berkenaan. Tidak mahu menghampakan mereka, Al-Sultan Abdullah kemudiannya berkenan memanggil para guru untuk mengabadikan gambar bersama namun masih mengikuti SOP.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Mahathir lawat Green Tech Farm Azersun

BAKU, AZERBAIJAN, 26 OKT: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempunyai jadual padat semasa menghadiri Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) ke-18, di sini, meluangkan masa melawat Green Tech Farm milik Azersun Holding.

Dr Mahathir diiringi Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Duta Besar Malaysia ke Azerbaijan, Datuk Yubazlan Yusof.

Kompleks rumah hijau moden seluas 35 hektar yang menggunakan teknologi canggih dalam penghasilan sayur-sayuran organik seperti tomato, terung, timun dan cili itu terletak di pinggir ibu negara Azerbaijan.

Semasa lawatan 40 minit itu, perdana menteri diberi taklimat mengenai operasi kompleks berkenaan oleh Naib Presiden Azersun, Tahir Goozal.

Dr Mahathir turut merasai beberapa sayur-sayuran yang dihasilkan di ladang tersebut.

Azersun merupakan konglemerat terbesar dalam pengeluaran makanan, perniagaan dan sektor perladangan di negara itu. Ia juga adalah pengeluar dan pengeksport makanan terbesar Azerbaijan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Lawatan kerja Azmin ke FELDA Wilayah Raja Alias esok

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 19 APR: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bakal mengadakan lawatan kerja ke Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Wilayah Raja Alias, Negeri Sembilan, esok sebagai salah satu program libat urus secara langsung dengan peneroka.

Unit Komunikasi Korporat Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam kenyataan berkata, lawatan kerja itu akan turut disertai Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Pengarah Besar FELDA, Dato’ Dr Othman Omar.

Katanya, lawatan kerja itu bertujuan mencerakinkan program dan inisiatif diperkenalkan dalam Kertas Putih ‘Ke Arah Kelestarian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA)’ dibentangkan di Dewan Rakyat, pada 10 April lalu.

“FELDA Wilayah Raja Alias adalah wilayah terbesar dalam negara dengan jumlah 46 Kawasan Rancangan FELDA.

“Kertas Putih FELDA memberi gambaran yang sebenar kepada prestasi kewangan agensi berkaitan serta memuatkan rencana proaktif Kerajaan Persekutuan untuk meringankan kesulitan hidup dihadapi peneroka,” kata kenyataan itu.

Kenyataan sama turut menyebut, Kertas Putih itu juga memperkenalkan bantuan kepada perumahan generasi baharu yang terbengkalai dan hala tuju serta Model FELDA Baharu supaya FELDA dan golongan peneroka bangkit semula sebagai pemacu industri pertanian negara.

“Dukungan masyarakat peneroka akan digembleng bagi menjayakan gagasan FELDA Baharu,” katanya.