Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Keluasan tanaman nanas MD2 cecah 404 hektar

SHAH ALAM, 1 OGOS: Program tanaman nanas bernilai tinggi jenis MD2 di Selangor mula berhasil apabila keluasan penanaman mencecah 404 hektar (1,000 ekar) setakat ini, kata EXCO pemodenan pertanian.

Ir Izham Hashim berkata Kerajaan Negeri yakin keluasan tanaman dan kadar pengeluaran nanas bakal bertambah sekiranya mendapat kerjasama pihak terlibat selain disokong kecekapan strategi.

“Tanaman nanas MD2 mampu hasilkan pulangan lumayan kerana bekalannya tidak mencukupi di pasaran tempatan, malah dikelaskan dalam program tanaman sumber kekayaan baharu.

“Faktor tanaman nanas tidak cerewet dijaga menyebabkannya menjadi pilihan golongan petani moden. Setakat ini nanas ditanam di pelbagai kawasan seluruh Selangor antaranya Kuala Langat, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Klang,” katanya kepada SelangorKini.

Harga jualan terus nanas MD2 kepada pengguna yang membeli dari kebun atau ladang boleh mencapai harga RM2 hingga RM5 sekilogram bergantung pada saiz buah.

Dalam perkembangan berkaitan, Izham berkata Selangor di landasan tepat untuk menjadi pusat pengeluaran makanan bernilai tinggi negara pada masa depan.

“Selain nanas, kita telah pun memulakan projek 11 jenis tanaman bernilai tinggi iaitu nangka madu J33, halia, roselle, cendawan, jagung bijiran, lemon mattle, kelapa matag, rumput lembu, cendawan, pisang, cavendish dan sayuran bernilai tinggi seperti salad,” katanya.

Categories
NASIONAL

Nanas jadi tanaman selingan untuk kawasan FELDA

ISKANDAR PUTERI, 20 Mei: Kementerian Pertanian telah mengenal pasti nanas sebagai tanaman selingan yang boleh ditanam bersama dengan kelapa sawit dan getah dalam usaha kerajaan menambah pendapatan tambahan pengusahanya.

Sehubungan itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, potensi nanas yang dilihat mampu memberikan pulangan lumayan kepada pekebun dan pengusaha menyebabkan nanas dikategorikan sebagai sumber rezeki baharu negara.

Justeru itu, katanya, Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian (Mardi) serta Jabatan Pertanian telah diminta membuat kajian mengenai kesesuaian tanah di kawasan Felda untuk tanaman nanas.

“Kita akan mengkaji kesesuaian tanah dahulu sebelum memutuskan untuk menanam apa jua tanaman selingan atau ‘cash crop’ yang boleh kita berikan untuk membantu Felda,” katanya kepada pemberita selepas melawat Tuzra Marketing, di sini, hari ini.

Buat masa ini, katanya, pihaknya dalam proses mengenal pasti kawasan-kawasan Felda yang terpilih.

“Selepas itu, saya rasa sebelum akhir tahun ini, kita sudah boleh buat beberapa projek perintis di beberapa kawasan Felda yang terpilih.

Menurut beliau, potensi nanas sebagai tanaman selingan juga seiring dengan pasaran untuk meningkatkan keluasan tanaman nanas terutamanya jenis MD2.

Beliau berkata berkata tanaman nanas MD2 disasarkan seluas 5,500 hektar pada tahun hadapan berbanding 2,032 hektar pada 2017. -BERNAMA