Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Niaga Bursa Malaysia turun selepas dibuka tinggi

KUALA LUMPUR, 20 APRIL: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Selasa namun mengalami penurunan kemudiannya susulan kebimbangan pasaran mengenai kes positif harian Covid-19 yang masih tinggi apabila mencecah lebih 2,000 kes bagi hari kelima berturut-turut.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 5.04 mata kepada 1,595.25 daripada 1,600.29 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks barometer itu dibuka 0.14 mata lebih tinggi kepada 1,600.43.

Lingkungan pasaran keseluruhan kekal negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 247 berbanding 153, manakala 282 kaunter tidak berubah, 1,484 kaunter tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 299.94 juta saham bernilai RM140.69 juta.

Menurut Malacca Securities sentimen pasaran masih kekal berhati-hati walaupun fasa kedua program pemvaksinan Covid-19 telah mula dilaksanakan dalam keadaan peningkatan kes di negara ini.

Di luar negara, pasaran saham Amerika Syarikat susut daripada paras tinggi baharu apabila indeks Purata Perindustrian Dow Jones diseret turun oleh penjualan saham teknologi, yang mencatatkan penurunan terbesar dalam tempoh hampir empat minggu.

Dow Jones turun 0.36 peratus kepada 34,077.63, Nasdaq kurang 0.98 peratus untuk ditutup pada 13,914.77 dan S&P 500 merosot 0.53 peratus kepada 4,163.26.

“Walaupun kami berhati-hati dengan penurunan Nasdaq dalam tempoh semalaman, kami turut menjangkakan sektor teknologi memanfaatkan pengumuman perkongsian Microsoft di bawah inisiatif Bersama Malaysia.

“Selain itu, sektor tenaga juga mungkin boleh menjadi tumpuan dalam keadaan harga minyak Brent lebih tinggi apabila kembali meningkat kepada paras melebihi US$67 setong,” menurut firma pembrokeran itu dalam nota penyelidikan.

Saham berwajaran tinggi Petronas Chemicals turun 12 sen kepada RM7.78 dan Press Metal kurang lapan sen kepada RM5.30.

Top Glove kekal rendah apabila susut enam sen kepada RM5.40 dan IHH menguncup empat sen kepada RM5.33.

Sementara itu, Sime Darby Plantation dan Genting Malaysia masing-masing naik dua sen kepada RM4.52 dan RM2.86.

Antara kaunter aktif, Censof naik 13 sen kepada 51 sen, Advance Synergy menokok satu sen kepada 16.5 sen, Puc menambah setengah sen kepada 13 sen sementara Key Asic turun setengah sen kepada 17 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 26.85 mata kepada 11,760.35; FBMT 100 turun 27.41 mata kepada 11,417.67 dan FBM 70 kurang 3.95 mata kepada 15,583.14.

FBM Emas Syariah merosot 37.45 mata kepada 13,173.48 dan FBM ACE susut 23.24 mata kepada 8,546.94.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 2.60 mata kepada 6,868.83, Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 30.05 mata kepada 14,997.45 manakala Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.29 mata kepada 194.91.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi jejaki prestasi Wall Street

KUALA LUMPUR, 2 APRIL: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada pagi urus niaga Jumaat, mengambil petunjuk daripada pergerakan semalaman yang semakin baik di Wall Street.

Pada 9.10 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 2.93 mata kepada 1,585.57 daripada 1,582.64 pada penutupan petang urus niaga Khamis.

Indeks utama dibuka pada paras 1,586.51, meningkat 3.87 mata.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi 294 berbalas 171 manakala 328 kaunter tidak berubah, 1,331 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 596.52 juta saham bernilai RM225.02 juta,

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, bursa tempatan dijangka terus memperlihatkan peningkatan terutama dalam saham teknologi yang menjejaki perolehan di Nasdaq.

Bagi komoditi pula, kedua-dua harga minyak sawit dan minyak mentah menyaksikan lonjakan kukuh melebihi 3.0 peratus, tambahnya.

“Kami berpendapat kenaikan semalaman di Nasdaq mungkin terus menyokong aliran menaik saham teknologi di pasaran tempatan.

“Peniaga juga mungkin memberi tumpuan kepada kaunter bertemakan pemulihan seperti yang disebutkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa individu yang telah divaksin sepenuhnya boleh melakukan perjalanan di dalam dan luar negara,” kata firma broker itu dalam nota penyelidikannya hari ini.

Ia menambah peserta pasaran juga boleh mengambil peluang meninjau sektor minyak dan gas dan perladangan memandangkan lonjakan harga minyak sawit mentah dan minyak Brent.

Minyak mentah Brent mengukuh 3.38 peratus kepada US$64.86 setong, selepas Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya mengambil keputusan untuk menambah lebih daripada dua juta tong sehari untuk bekalan minyak dunia antara Mei dan Julai.

Langkah itu akan membina semula satu perempat stok minyak mentah selepas kartel minyak dan sekutunya melakukan pengurangan besar setahun yang lalu berikutan pandemik Covid-19.

Sementara itu, indeks tenaga Bursa Malaysia meningkat 3.16 mata kepada 938.34.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank, Public Bank dan TNB masing-masing naik dua sen kepada RM8.27, RM4.24 dan RM10.28, IHH Healthcare satu sen lebih tinggi pada RM5.31 sementara Petronas Chemicals dan Hong Leong Bank tidak berubah pada RM8.05 dan RM18.58.

Bagi kaunter aktif, Luster Industries menokok 1.5 sen kepada 23 sen, Ucrest, Permaju Industries, HB Global dan KNM semuanya naik setengah sen kepada 25.5 sen, 21 sen, 28.5 sen dan 19.5 sen sementara Berjaya Corp tidak berubah pada 43.5 sen dan MCT turun setengah sen kepada 32.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 16.89 mata kepada 11,724.31, FBM 70 menambah 2.53 mata kepada 15,662.47, FBMT 100 lebih tinggi sebanyak 15.97 mata kepada 11,381.74, FBM Emas Syariah meningkat 23.19 mata kepada 12,988.5 dan FBM ACE menyusut 141.3 mata kepada 9,852.13.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan mengembang 24.35 mata kepada 15,276.89, Indeks Perladangan naik 1.32 mata kepada 7,035.08 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.47 mata kepada 193.52.

– BERNAMA