Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Niaga Bursa Malaysia turun selepas dibuka tinggi

KUALA LUMPUR, 20 APRIL: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Selasa namun mengalami penurunan kemudiannya susulan kebimbangan pasaran mengenai kes positif harian Covid-19 yang masih tinggi apabila mencecah lebih 2,000 kes bagi hari kelima berturut-turut.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 5.04 mata kepada 1,595.25 daripada 1,600.29 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks barometer itu dibuka 0.14 mata lebih tinggi kepada 1,600.43.

Lingkungan pasaran keseluruhan kekal negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 247 berbanding 153, manakala 282 kaunter tidak berubah, 1,484 kaunter tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 299.94 juta saham bernilai RM140.69 juta.

Menurut Malacca Securities sentimen pasaran masih kekal berhati-hati walaupun fasa kedua program pemvaksinan Covid-19 telah mula dilaksanakan dalam keadaan peningkatan kes di negara ini.

Di luar negara, pasaran saham Amerika Syarikat susut daripada paras tinggi baharu apabila indeks Purata Perindustrian Dow Jones diseret turun oleh penjualan saham teknologi, yang mencatatkan penurunan terbesar dalam tempoh hampir empat minggu.

Dow Jones turun 0.36 peratus kepada 34,077.63, Nasdaq kurang 0.98 peratus untuk ditutup pada 13,914.77 dan S&P 500 merosot 0.53 peratus kepada 4,163.26.

“Walaupun kami berhati-hati dengan penurunan Nasdaq dalam tempoh semalaman, kami turut menjangkakan sektor teknologi memanfaatkan pengumuman perkongsian Microsoft di bawah inisiatif Bersama Malaysia.

“Selain itu, sektor tenaga juga mungkin boleh menjadi tumpuan dalam keadaan harga minyak Brent lebih tinggi apabila kembali meningkat kepada paras melebihi US$67 setong,” menurut firma pembrokeran itu dalam nota penyelidikan.

Saham berwajaran tinggi Petronas Chemicals turun 12 sen kepada RM7.78 dan Press Metal kurang lapan sen kepada RM5.30.

Top Glove kekal rendah apabila susut enam sen kepada RM5.40 dan IHH menguncup empat sen kepada RM5.33.

Sementara itu, Sime Darby Plantation dan Genting Malaysia masing-masing naik dua sen kepada RM4.52 dan RM2.86.

Antara kaunter aktif, Censof naik 13 sen kepada 51 sen, Advance Synergy menokok satu sen kepada 16.5 sen, Puc menambah setengah sen kepada 13 sen sementara Key Asic turun setengah sen kepada 17 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 26.85 mata kepada 11,760.35; FBMT 100 turun 27.41 mata kepada 11,417.67 dan FBM 70 kurang 3.95 mata kepada 15,583.14.

FBM Emas Syariah merosot 37.45 mata kepada 13,173.48 dan FBM ACE susut 23.24 mata kepada 8,546.94.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 2.60 mata kepada 6,868.83, Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 30.05 mata kepada 14,997.45 manakala Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.29 mata kepada 194.91.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Bursa Malaysia dijangka alami dagangan dalam jajaran kecil

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Bursa Malaysia dijangka masih mengalami dagangan dalam jajaran kecil minggu depan, dengan indeks utama bergerak di sekitar paras sokongan segera 1,345 susulan peserta pasaran terus memantau kes baharu Covid-19 di negara ini selain prestasi pasaran global.

Jumlah kes baharu wabak itu di Malaysia dilihat stabil dan pada Jumaat, kerajaan mengumumkan lanjutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April, 2020.

Sehingga 10 April, Malaysia mencatatkan 4,346 kes positif manakala 1,830 kes yang pulih dan 70 kematian.

“Kami yakin lanjutan PKP merupakan langkah yang tepat untuk memastikan negara dapat memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19,” kata Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Mohd Afzanizam Abdul Rashid kepada Bernama.

Beliau berkata keputusan membenarkan beberapa sektor ekonomi terpilih beroperasi akan membantu mengurangkan kerugian keluaran kepada ekonomi, dengan itu mengurangkan risiko penguncupan ekonomi selanjutnya.

Berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat semula, menambah hampir 30 mata kepada 1,357.50 sekali gus mendorong pengambilan untung dalam kalangan pelabur.

“Pelabur berada dalam suasana untuk mengambil untung namun pada masa sama terus berhati-hati susulan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya mahu mengurangkan penawaran minyak,” kata Ketua Penyelidikan, Rakuten Trade Sdn Bhd, Kenny Yee.

Beliau berkata pengurangan pengeluaran 10 juta tong setiap hari tidak memberi sebarang perubahan ketara kepada harga kerana permintaan terhadap minyak mentah telah merosot sejak banyak negara mengenakan sekatan perjalanan kepada penumpang.

Bagi tempoh akan datang, beliau mengunjurkan minyak mentah diniagakan di antara US$25 dengan US$30 setong.

Sepanjang minggu yang baru berakhir, Bursa Malaysia juga menyaksikan dagangan dalam julat kecil dipengaruhi terutamanya oleh prestasi semalaman Wall Street, berita mengenai wabak Covid-19, harga minyak mentah, semakan semula unjuran Fitch Ratings terhadap Malaysia daripada ‘stabil’ kepada ‘negatif’ serta pakej rangsangan ekonomi tambahan oleh kerajaan bernilai RM10 bilion.

Pakej ini khusus untuk perusahaan kecil dan sederhana mengurangkan impak PKP yang disebabkan pandemik Covid-19.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 26.85 mata kepada 1,357.50 daripada 1,330.65 pada minggu sebelumnya.

Di papan skor, Indeks FBM Emas menambah 216.67 mata kepada 9,392.05, Indeks FBMT 100 meningkat 200.01 mata kepada 9,288.66 dan Indeks FBM Emas Syariah melonjak 301.67 mata kepada 10,363.11.

FBM 70 meningkat 304.69 mata kepada 11,014.75 dan Indeks FBM ACE menokok 199.72 mata kepada 4,017.03.

Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian naik 4.26 mata kepada 109.50 dan Indeks Perladangan menambah 108.01 mata kepada 6,247.65.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 26.39 bilion unit bernilai RM12.56 bilion daripada 21.58 bilion unit bernilai RM12.43 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 19.51 bilion saham bernilai RM11.43 bilion daripada 17.03 bilion saham bernilai RM11.32 bilion pada minggu lepas.

Jumlah dagangan waran pula sebanyak 1.77 bilion unit bernilai RM370.16 juta berbanding 1.61 bilion unit bernilai RM443.65 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak kepada 5.01 bilion saham bernilai RM760.68 juta daripada 2.94 bilion saham bernilai RM563.58 juta minggu lepas.

— BERNAMA