Categories
AGENDA NASIONAL

Amaran cuaca buruk, siap siaga hadapi banjir di Kelantan, Terengganu

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) hari ini menasihatkan pengaktifan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah selain meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi hujan lebat berterusan yang dijangka berlaku melibatkan kawasan berisiko tinggi.

NDCC dalam kemas kini notis kesiapsiagaan operasi bencana juga memohon supaya pihak jawatankuasa itu memastikan setiap pusat pemindahan dilengkapi dengan keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), selain memastikan aset pengoperasian mencukupi dan sedia digunakan.

Terdahulu hari ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk tahap jingga dengan jangkaan hujan lebat berterusan melibatkan kesemua jajahan di Kelantan dan daerah di Terengganu sehingga esok.

Dalam kenyataan sama, amaran hujan berterusan tahap kuning atau waspada juga dikeluarkan untuk kawasan di Cameron Highlands, Jerantut, Kuantan dan Lipis (Pahang); Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak dan Kuala Kangsar (Perak) dan kesemua daerah di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

— BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Banjir: 12,222 mangsa di empat negeri

SHAH ALAM, 5 JAN: Seramai 12,222 mangsa banjir direkodkan Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di empat negeri, sehingga lewat malam tadi.

Menurut portal NDCC, negeri terbabit adalah Johor, Terengganu, Pahang dan Sabah dengan masing-masing mencatatkan peningkatan jumlah mangsa.

“Jumlah paling ramai direkodkan adalah di Pahang dengan 9,873 mangsa, membabitkan 2,690 keluarga diikuti Terengganu dengan 1,528 mangsa dari 373 keluarga,” menurut portal itu.

Sementara Sabah pula mencatatkan 567 mangsa, terdiri daripada 197 keluarga, manakala Johor seramai 254 mangsa membabitkan 74 keluarga.