Categories
AGENDA NASIONAL

Amaran ribut petir, hujan di Selangor dan negeri lain hingga 8 malam

SHAH ALAM, 1 MAC: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di kebanyakan negeri termasuk Selangor sehingga 8 malam ini.

Menurut agensi itu di Facebook, daerah terlibat di Selangor ialah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Petaling, Kuala Langat dan Sepang.

Amaran sama turut dikeluarkan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Putrajaya, Labuan, Sarawak dan Sabah.

Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my, media sosial dan memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bomba: Hampir 30 rumah di Gemas rosak akibat hujan lebat, ribut

SEREMBAN, 20 FEB: Kira-kira 30 rumah membabitkan lebih 130 penduduk di Gugusan Felda Jelai 1 hingga 4 dekat Gemas mengalami kerosakan akibat hujan lebat dan ribut, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemas Penolong Penguasa Bomba Mohd Farid Abu Bakar berkata kejadian hampir setengah jam bermula 5.30 petang itu mengakibatkan bumbung rumah penduduk diterbangkan angin manakala beberapa kenderaan dihempap pokok.

“Tiada kecederaan dilaporkan setakat ini dan hanya empat orang daripada satu keluarga ditempatkan di Kuarters Felda Jelai 1 selepas rumah mereka rosak teruk.

Kira-kira 30 rumah membabitkan lebih 130 penduduk di Gugusan Felda Jelai 1 hingga 4 dekat Gemas, Negeri Sembilan mengalami kerosakan akibat hujan lebat dan ribut, petang tadi. Foto Facebook Bernama

“Ada mangsa yang menumpang di rumah saudara mara untuk sementara waktu dan ada yang tidak berpindah kerana kerosakan dialami tidak teruk selain bimbang penularan Covid-19 sekiranya dipindahkan,” katanya kepada Bernama malam ini.

Beliau berkata kejadian itu pertama kali berlaku setakat tahun ini dan jumlah kerugian masih dinilai.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi akaun Twitter mengeluarkan amaran hujan lebat dan ribut petir yang dijangka berlaku melibatkan beberapa negeri termasuk Negeri Sembilan, Kedah, Perak dan Kelantan sehingga malam ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Amaran ribut petir, hujan lebat di Lembah Klang petang ini

SHAH ALAM, 3 FEB : Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan beberapa daerah di Selangor sehingga jam 6 petang ini.

Daerah tersebut ialah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang termasuk beberapa negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Beberapa kawasan di Kedah dijangka mengalami cuaca sama ialah Kulim dan Bandar Baharu serta seluruh Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Amaran sama turut dikeluarkan di Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim, serta Pahang (Bera dan Rompin)

Manakala di Johor membabitkan Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru.

Sarawak pula membabitkan Samarahan (Simunjan), Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit (Song), Bintulu (Bintulu) dan Miri (Subis dan Miri) sehingga jam 6 petang ini.

Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman web www.met.gov.my, media sosial dan memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.

Categories
AGENDA NASIONAL

Angin kencang, bumbung lobi MSU runtuh

SHAH ALAM, 27 JAN: Bumbung bahagian lobi Kompleks Management and Science University (MSU), Seksyen 13 dekat sini runtuh akibat hujan dan angin kencang petang tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib berkata pihaknya menerima
maklumat berhubung insiden terbabit pada jam 6.50 petang.

Menurutnya, anggota dari Balai Polis Seksyen 9 bergegas ke lokasi kejadian bagi mengesahkan maklumat daripada orang awam

“Anggota kami yang tiba di lokasi pada jam 7.10 malam memaklumkan sekeping bumbung yang berada di tingkat dua bangunan MSU jatuh ke bawah akibat ditiup angin,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, beliau berkata tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan di lokasi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Fokus baik pulih banjir di Lembah Klang, jaga kepentingan pusat ekonomi negara

SHAH ALAM, 21 JAN: Proses membaik pulih banjir di Lembah Klang perlu difokuskan kerana kawasan itu merupakan pusat ekonomi Malaysia.

Ahli Parlimen Kota Raja berkata semua sedia maklum bahawa Lembah Klang pusat ekonomi yang mana penduduknya daripada golongan berpendapatan tinggi hingga rendah (B40).

Oleh demikian, tegas Mohamad Sabu, Kerajaan Pusat perlu menjaga Lembah Klang dengan melakukan pembaikan kerana rakyat tidak marah dan terus bersetuju untuk sama-sama menangani masalah ini.

“Selain itu, agensi yang menjaga laporan cuaca seharusnya perlu lebih teliti. Laporan cuaca hanya menyebut hujan lebat berlaku di Negeri Sembilan, Johor dan Pahang tetapi tidak di Selangor.

“Ertinya Selangor diramal berlaku hujan dan petir dan hanya menyebut berada di kawasan merah di seluruh Lembah Klang apabila banjir berlaku,” katanya pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad menyifatkan Kerajaan tidak serius dalam menangani masalah banjir kerana tidak membincang dan membahas perkara itu pada 20 Disember lalu.

Malah, Khalid turut memaklumkan Rang Undang-undang (RUU) Pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang seharusnya dibincangkan pada hari itu juga tidak dibahas.

“Berapa banyak pembaziran yang dilakukan dengan memanggil wakil rakyat di seluruh negara tetapi tiada perbincangan selain isu banjir juga tidak dibahas walaupun diminta.

“Rakyat memohon pertolongan tetapi tiada tindakan. Jangan beri alasan remeh dan membazir duit rakyat serta negara,” katanya.

Categories
SELANGOR

Klang, Kuala Langat dijangka ribut petir, hujan lebat hingga 7 malam

SHAH ALAM, 8 JAN: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat dijangka berlaku di dua daerah hari ini.

Maklumat dikongsi menerusi Facebook agensi tersebut memaklumkan amaran cuaca buruk itu melibatkan Klang dan Kuala Langat sehingga 7 malam ini.

Keadaan sama diramalkan di beberapa daerah di Perak, Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.

Tambahnya, amaran ribut petir adalah bersifat jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Hujan lebat hakis cerun, awasi risiko tanah runtuh

SHAH ALAM, 8 JAN: Hujan lebat bukan hanya menyebabkan banjir tetapi turut menghakis cerun dan menjadi punca tanah runtuh yang mengancam nyawa serta kehilangan harta benda.

Setakat 26 Disember 2021, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) mengesan 46 kejadian tanah runtuh di Selangor dan Kuala Lumpur susulan monsun Timur Laut. Daripada jumlah itu, 24 lokasi di Selangor dan Kuala Lumpur dikategorikan kritikal.

Wartawan AMIN RIDZUAN ISHAK menyusun lokasi kritikal dan panduan mengenal pasti tanda awal tanah runtuh.

Kenali tanda awal

  • Bonjolan permukaan cerun
  • Rekahan cerun
  • Titisan atau pancuran air
  • Takungan air di kaki cerun
  • Tanah batuan berselerakan
  • Longkang rosak dan tersumbat
  • Laluan air tersumbat
  • Lantai dan bangunan retak, pintu masuk atau tingkap sukar ditutup
  • Pergerakan tanah
  • Hakisan galur
  • Pagar, tembok penahan, tiang elektrik atau telefon, dan pokok condong
  • Bongkah batuan longgar pada cerun batu kapur
  • Rekahan membesar pada permukaan tanah atau tanah mendap

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hujan lebat 24 jam samai taburan purata sebulan, terjadi 100 tahun sekali

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Hujan lebat yang berterusan dalam tempoh 24 jam sejak lewat malam Jumaat menyamai jumlah taburan purata hujan di Lembah Klang untuk tempoh sebulan dan ia umpama fenomena yang berlaku setiap 100 tahun sekali.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata fenomena berkenaan terjadi susulan faktor luruan monsun dan sistem cuaca tekanan rendah yang mencapai tahap lengkukan tropika terbentuk di Laut Cina Selatan yang dikesan pada 12 Dis lepas oleh Jabatan Meteorologi.

Pada 16 Dis, katanya sistem itu telah memasuki Pahang dan bergerak merentasi kawasan barat Semenanjung Malaysia dan menyebabkan peningkatan kelembapan sehingga mengakibatkan hujan lebat berterusan di hampir semua negeri di Semenanjung.

“Ini merupakan kelainan, kerana kebiasaannya pada musim tengkujuh hanya negeri di Pantai Timur akan mengalami hujan lebat, tetapi kini seluruh Semenanjung terutama di pantai timur tengah dan utara Semenanjung turut mengalami hujan lebat berterusan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Katanya, purata taburan hujan sebulan di Lembah Klang ialah 200 milimeter (mm), namun semalam sahaja purata taburan hujan tinggi direkodkan di stesen Sentul iaitu sebanyak 363 mm, Gombak 247 mm, Jinjang 258 mm dan Sungai Bonus Jalan Tun Razak 273 mm.

“Taburan hujan setahun di Kuala Lumpur ialah 2,400 mm dan ini bermakna taburan hujan semalam melebihi jumlah taburan hujan untuk sebulan, ini adalah sesuatu di luar jangkakan dan hanya berlaku dalam 100 tahun sekali,” katanya.

Beliau berkata keadaan hujan lebat yang melanda sejak Jumaat lepas diramal telah berakhir berikutan sistem cuaca tekanan rendah yang berada di Selat Melaka mula bergerak menjauhi negara dan menuju ke Laut Andaman.

“Berdasarkan analisis model cuaca terkini taburan hujan akan berkurangan hari ini dan bagaimanapun masih terdapat kawasan yang alami cuaca lembab sepanjang hari. Berdasarkan analisis tersebut tiada amaran hujan lebat berterusan di Lembah Klang pada petang ini,” katanya.

Banjir melanda Lembah Klang sejak semalam susulan hujan lebat berterusan menyebabkan ribuan penduduk dipindahkan manakala ramai pengguna jalan raya terkandas akibat laluan terjejas kerana dinaiki air.

Banjir turut dilaporkan berlaku di Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan dan Perak.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Amaran bahaya hujan lebat berterusan hingga esok di Selangor, KL

SHAH ALAM, 18 DIS: Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meletakkan Selangor, Kuala Lumpur dan sebahagian Pahang dalam kod merah amaran bahaya hujan sangat lebat berterusan hingga esok.

MetMalaysia dalam kenyataan pada pukul 10.30 malam ini meletakkan status bahaya Selangor melibatkan Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat dan Hulu Langat.

Kawasan bahaya di Pahang melibatkan Jerantut, Bentong dan Kuantan.

Sementara itu, Sepang diletakkan bawah keadaan buruk dengan jangkaan hujan lebat berterusan hingga esok.

Turut dalam kategori sama ialah Muallim, Hilir Perak; Gua Musang, Kelantan, Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Temerloh, Maran dan Pekan di Pahang.

Selain itu, hujan lebat berterusan juga melibatkan Putrajaya dan Jelebu, Negeri Sembilan.

Dalam pada itu MetMalaysia turut meletakkan amaran waspada dengan hujan berterusan di Kedah (Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu) dan Pulau Pinang.

Turut tersenarai  Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk dan Batang Padang di Perak manakala di Kelantan melibatkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.

Selain itu hujan berterusan juga dijangka di Terengganu, Bera dan Rompin di Pahang; Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin di Negeri Sembilan selain Melaka serta Tangkak, Segamat, Muar dan Batu Pahat di Johor.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Amaran hujan sangat lebat, berterusan di lapan daerah

SHAH ALAM, 18 DIS : Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran zon merah dan hujan sangat lebat melibatkan lapan daerah di Selangor, hari ini.

Hujan sangat lebat secara berterusan diramal berlaku di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat dan Hulu Langat.

Selain itu, MetMalaysia menerusi Facebook memaklumkan cuaca sama diramal berlaku di Kuala Lumpur.

Manakala kawasan lain yang dijangka mengalami hujan lebat berterusan ialah Sepang, Selangor dan beberapa daerah di Perak, Pahang, Kelantan, Putrajaya dan Negeri Sembilan.

Amaran berwaspada turut dikeluarkan kepada beberapa daerah di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Hujan berterusan, Selangor dan beberapa negeri dilanda banjir

KUALA LUMPUR, 18 DIS: Hujan lebat yang berterusan sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan rendah di beberapa negeri telah dinaiki air dan jumlah mangsa banjir yang dipindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) terus mencatatkan peningkatan pagi ini.

Melaka, Selangor dan Negeri Sembilan menjadi negeri terbaharu yang dilanda banjir selain Kelantan, Pahang dan Terengganu.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir di negeri itu terus menunjukkan peningkatan apabila seramai 798 mangsa daripada 170 keluarga dipindahkan ke PPS berbanding 735 mangsa daripada 156 keluarga, semalam.

Pegawai Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Kelantan Kapten Mohd Hanif Omar berkata 11 PPS dibuka iaitu tujuh di Kuala Krai, dua di Gua Musang dan masing-masing satu di Jeli dan Tanah Merah.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan tiga sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah merekodkan bacaan 24.36 meter (m), Sungai Kelantan di Kampung Jenob, Tanah Merah (24.62 m) dan Sungai Kelantan di Kuala Krai (25.51 m).

Di Pahang, bilangan mangsa banjir turut meningkat apabila sembilan PPS dibuka awal pagi tadi menjadikan jumlah keseluruhan PPS yang beroperasi sebanyak 25 bagi menempatkan 513 mangsa daripada 137 keluarga di daerah Maran dan Raub.

Menurut Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat kesemua PPS yang baru dibuka terletak di daerah Raub iaitu Masjid Kampung Kuala Semantan, Pusat Kegiatan Wanita Batu Malim, Sekolah Kebangsaan Tersang dan Masjid Baru Kampung Ajai.

Selain itu, Balai Raya Kampung Ria dan Dewan Dato Seriwa Dong, Masjid Kuala Temau, Balai UMNO Kampung Batu Talam dan Dewan Serbaguna Kampung Pia turut dibuka awal pagi ini.

Di Terengganu pula, jumlah mangsa banjir kekal tidak berubah dengan 66 mangsa daripada 14 keluarga masih berada di dua PPS pagi ini.

Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan hanya satu sungai telah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Dungun di Pasir Raja yang merekodkan bacaan setinggi 37.97 meter (m) berbanding paras bahaya 37.5 m.

Sementara itu di Selangor, Pengarah Bomba negeri Norazam Khamis memaklumkan seramai 1,011 mangsa banjir di kawasan Telok Gong, Klang dipindahkan ke tiga PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan Telok Gong, Masjid Al-Islah dan Masjid Al-Ubudia.

Selain itu, operasi memindah dan menyelamatkan mangsa banjir juga melibatkan kawasan di daerah Kapar, Banting, Pelabuhan Klang, Andalas, Pulau Indah dan Sepang membabitkan jumlah mangsa seramai kira-kira 64 orang termasuk dua keluarga yang kemudian dipindahkan ke PPS berhampiran.

Di Negeri Sembilan, tiga PPS dibuka setakat pagi ini iaitu Balai Raya Jimah Lama dan Balai Raya Permatang Pasir, Port Dickson serta Surau Keru Hilir, Tampin bagi menempatkan 107 mangsa membabitkan 36 keluarga.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata sebanyak 21 lokasi dilanda banjir antaranya Kampung Jimah Lama, Batu 6 Kampung Keru dan Darul Widad Linggi.

Dalam pada itu, Pengarah APM Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata Jalan Sendayan menuju Kampung Jimah Lama, Port Dickson ditutup kepada kenderaan awam berikutan berlaku tanah runtuh sejak awal pagi tadi akibat banjir dan pengguna dinasihatkan menggunakan laluan alternatif melalui lebuh raya.

Di Melaka, sebuah PPS dibuka di Alor Gajah selepas kawasan tersebut dinaiki air susulan hujan lebat yang melanda daerah itu sejak 3 petang semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin berkata PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal itu kini menempatkan 40 mangsa daripada 11 keluarga yang terjejas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Amaran cuaca buruk, siap siaga hadapi banjir di Kelantan, Terengganu

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) hari ini menasihatkan pengaktifan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah selain meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi hujan lebat berterusan yang dijangka berlaku melibatkan kawasan berisiko tinggi.

NDCC dalam kemas kini notis kesiapsiagaan operasi bencana juga memohon supaya pihak jawatankuasa itu memastikan setiap pusat pemindahan dilengkapi dengan keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), selain memastikan aset pengoperasian mencukupi dan sedia digunakan.

Terdahulu hari ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk tahap jingga dengan jangkaan hujan lebat berterusan melibatkan kesemua jajahan di Kelantan dan daerah di Terengganu sehingga esok.

Dalam kenyataan sama, amaran hujan berterusan tahap kuning atau waspada juga dikeluarkan untuk kawasan di Cameron Highlands, Jerantut, Kuantan dan Lipis (Pahang); Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak dan Kuala Kangsar (Perak) dan kesemua daerah di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

— BERNAMA