Categories
NASIONAL

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah diiktiraf ‘100 wanita inspirasi BBC’

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 21 NOV : Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Nenney Shushaidah Shamsuddin tersenarai di antara 100 Wanita Inspirasi oleh saluran berita antarabangsa, BBC News World.

Beliau juga adalah satu-satunya wanita Malaysia daripada 13 wanita di Asia yang dipilih berdasarkan sumbangan dan semangat perjuangan.

Sementara itu BBC menerusi kenyataan berkata, Nenney diiktiraf kerana berikrar melindungi wanita Islam di mahkamah dan mengubah persepsi negatif rakyat terhadap undang-undang syariah.

Nenney, 42 juga adalah hakim wanita pertama dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di negara ini.

Sebelum ini beliau pernah memegang jawatan sebagai peguam di Jabatan Bantuan Guaman Syarie Selangor.

Menerusi laporan media, Nenney berkata, beliau berharap supaya jumlah hakim wanita akan bertambah bagi membolehkan persepsi Mahkamah Syariah tidak memberi keadilan sebaiknya kepada wanita akan diubah.

“Islam mengangkat tinggi darjat wanita, dan sebagai seorang hakim kita perlu kembali kepada ajarannya dan mengekalkan kedudukan syariah,” katanya.