Categories
NASIONAL

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah diiktiraf ‘100 wanita inspirasi BBC’

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 21 NOV : Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Nenney Shushaidah Shamsuddin tersenarai di antara 100 Wanita Inspirasi oleh saluran berita antarabangsa, BBC News World.

Beliau juga adalah satu-satunya wanita Malaysia daripada 13 wanita di Asia yang dipilih berdasarkan sumbangan dan semangat perjuangan.

Sementara itu BBC menerusi kenyataan berkata, Nenney diiktiraf kerana berikrar melindungi wanita Islam di mahkamah dan mengubah persepsi negatif rakyat terhadap undang-undang syariah.

Nenney, 42 juga adalah hakim wanita pertama dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di negara ini.

Sebelum ini beliau pernah memegang jawatan sebagai peguam di Jabatan Bantuan Guaman Syarie Selangor.

Menerusi laporan media, Nenney berkata, beliau berharap supaya jumlah hakim wanita akan bertambah bagi membolehkan persepsi Mahkamah Syariah tidak memberi keadilan sebaiknya kepada wanita akan diubah.

“Islam mengangkat tinggi darjat wanita, dan sebagai seorang hakim kita perlu kembali kepada ajarannya dan mengekalkan kedudukan syariah,” katanya.

Categories
AGAMA SELANGOR

KAGAT terima pendedahan kes syariah di Shah Alam

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 OKT: Seramai 33 pegawai dan anggota Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) mendapat pendedahan mengenai kes perbicaraan dijalankan di Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, di sini, semalam.

Ketua Cawangan Pengurusan Kerjaya Institut Latihan dan Kefahaman Islam (ILMI), Kapten Najib Taib berkata, lawatan itu membabitkan pasukan perkhidmatan Darat, Laut dan Udara dari seluruh negara.

“Ia bertujuan memberi pendedahan kepada pegawai KAGAT mengenai pengurusan hal ehwal kekeluargaan khususnya membabitkan kes di Mahkamah Syariah,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum itu, semua mereka menyertai Kursus Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam Kelas 1 Siri 2/2018 di ILMI, Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Mereka diberi taklimat berkenaan Mahkamah Syariah Selangor di samping bertukar maklumat mengenai isu perundangan dan kehakiman Syariah,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

226 Ibu Tunggal Seluruh Malaysia Terima Bantuan Pendahuluan Nafkah BSK

BSK Selangor 01

SHAH ALAM, 31 MEI : Seramai 226 ibu tunggal dan wanita seluruh Malaysia telah menerima bayaran pendahuluan nafkah daripada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bernilai RM 550,879 sehingga April tahun ini.

Daripada jumlah itu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatakan pembayaran pendahuluan nafkah tertinggi dengan jumlah RM 285,690 diikuti Terengganu sebanyak RM78,590 dan Selangor, RM 64,250.

Pendahuluan nafkah itu merupakan bantuan sara hidup selama enam yang diberi kepada ibu tunggal dan isteri yang diabaikan oleh bekas suami masing-masing.

Manakala suami mereka diperintahkan mahkamah untuk membayar jumlah itu balik kepada JKSM.

Hakim Mahkamah Syariah JKSM, Datuk Seri Md Yusup Che Teh berkata, jumlah kutipan balik yang dicatatkan setakat ini adalah sebanyak RM 47,800 mewakili 51 orang pembayar dengan nilai peratusan sejumlah 8.7 peratus.

“BSK di setiap jabatan akan memantau pelaksanaan perintah nafkah yang dikeluarkan Mahkamah Syariah bagi memastikan bekas suami membayar jumlah yang ditetapkan kepada bekas isteri mereka.

“Sehingga April 2013, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatat kutipan balik tertinggi berjumlah RM 21,550.

Ini diikuti negeri Terengganu, RM 11,950 dan Pulau Pinang sebanyak RM 8,100,” katanya dalam sidang media sempena Majlis Pelancaran BSK Transit dan Penyerahan Pendahuluan Nafkah di bangunan Mahkamah Syariah Sultan Idris Shah, di sini pagi tadi.

Hadir sama, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Selangor, Datuk Mukhyuddin Ibrahim, Mufti Negeri Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abd Wahid dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Mohamed Izam Mohamed Yusof.

Tambahnya, sebanyak 1,581 kes telah didaftarkan di bawah Unit Penguatkuasaan dan Pelaksanaan Perintah Seksyen Bahagian Sokongan Keluarga (SBSK) seluruh Malaysia sehingga Disember 2012.

Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 824 kes berjaya diselesaikan melalui tindakan penguatkuasaan yang dijalankan oleh SBSK negeri dengan peratusan keseluruhan sejumlah 55.11 peratus.

BSK Selangor 02

Dalam pada itu, beliau turut merasmikan perkhidmatan BSK Transit pertama di Selangor yang memberi penginapan, pengangkutan dan makan minum percuma kepada mana-mana pihak yang menghadiri prosiding kes di Mahkamah Tinggi Syariah.

Jelasnya, perkhidmatan ini diberikan kepada mereka yang tidak berkemampuan dan berada di luar kawasan Lembah klang termasuk saksi-saksi mahkamah dan mereka yang mempunyai kes di mana-mana tribunal.

“Sehingga kini, terdapat empat unit rumah BSK Transit yang disediakan pihak JKSM iaitu di kawasan Kuarters Perumahan Kerajaan Jalan Duta dan kawasan perumahan kerajaan Presint 9, Putrajaya.

“Selangor menjadi negeri pertama selepas JKSM yang berjaya menubuhkan BSK Transit ini bagi membantu pihak-pihak yang bermasalah untuk menghadiri prosiding kes di Mahkamah Syariah,” jelasnya.