Categories
AGAMA NASIONAL

Trauma insiden tertukar bayi, keluarga disaran jalani kaunseling

KUALA LUMPUR, 29 JUN: Insiden tertukar bayi ketika dilahirkan 20 tahun lepas, dipercayai berlaku akibat kecuaian kakitangan sebuah hospital di Kota Bharu, Kelantan, boleh meninggalkan kesan trauma emosi serta mengganggu tingkah laku, bukan sahaja kepada ketiga-tiga mangsa tetapi juga kedua-dua keluarga terlibat.

Pegawai Psikologi Kanan, Pejabat Pendaftar Universiti Putra Malaysia (UPM) Siti Fatimah Abdul Ghani berkata kesemua pihak yang terlibat, pastinya memerlukan masa yang lama untuk menerima hakikat kejadian itu.

“Jika tiga mangsa berkenaan dan keluarga mereka reda dan positif dengan apa yang berlaku, kesan trauma akan dapat dihadapi dengan lebih cepat.

“Bagaimanapun, saya menasihati mereka supaya mendapatkan khidmat kaunseling yang bertauliah supaya dapat menyantuni emosi mereka secara praktikal,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Bernama sebelum ini berkenaan dua keluarga terpaksa mengharungi kisah tragis apabila tiga bayi perempuan termasuk sepasang kembar tertukar ketika dilahirkan.

Kejadian itu disedari selepas ketiga-tiga mangsa, Adryani Iwani, ‘kembarnya’ Adryana Irwani dan kembar sebenarnya Noratirah Husin, masing-masing 20 tahun, menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) pada September tahun lepas.

Mengulas lanjut tentang kejadian itu, Siti Fatimah berkata paling penting dalam situasi sekarang, keluarga terlibat perlu memastikan orientasi kefungsian diri mangsa terlibat seperti makan, minum dan komunikasi berjalan seperti biasa.

Menurutnya, pada masa yang sama mangsa mahupun ahli keluarganya perlu mengelakkan membandingkan diri antara satu sama lain, mengkritik atau mempertikaikan perkara yang sudah tersurat sejak azali itu.

“Yang terjadi adalah sesuatu ujian daripada Allah, ada sebab ia berlaku sama ada untuk kita teladani atau mengelak. Ia juga mungkin satu pengajaran besar kepada pihak yang terbabit, baik dalam soal kepekaaan mahupun integriti,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan (Bimbingan dan Kaunseling) Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Syed Mohamad Syed Abdullah percaya kedua-dua keluarga terbabit masih bergelut dengan perasaan terkejut, sedih dan keliru untuk menerima kejadian itu.

“Ini petanda-petanda normal (yang boleh dijangkakan) bagi mereka yang menghadapi sesuatu ujian. Mereka akan rasa marah, sedih dan akan ada sedikit kemaafaan, sehinggalah pada satu peringkat nanti mereka boleh berada pada tahap penerimaan sepenuhnya.

“Sehubungan itu, dalam hal ini sokongan moral yang kuat daripada pihak yang ada di sekeliling amat perlu untuk membantu mereka terus cekal menghadapi tempoh getir itu,” katanya.

Syed Mohamad turut menasihati mangsa yang terlibat supaya menguruskan perasaan terpendam dengan cara baik termasuk meluahkannya kepada adik-beradik, yang boleh menjadi pendengar yang baik.

Pada masa yang sama juga, katanya Adryani Iwani, Adryana Irwani, dan kembar Noratirah perlu menjauhi sifat berteka-teki dengan pemikiran sendiri kerana ia boleh menjejaskan kesihatan diri.

“Sesetengah orang yang tidak dapat menerima hakikat, akan berterusan menangis dan murung, ada sesetengah orang pula yang terkejut dengan apa yang berlaku tetapi jauh di sudut hati mereka dapat menerima keadaan ini kerana ada kekuatan ‘resilience’ atau daya tahan dalam diri mereka.

“Oleh itu, daripada berfikiran negatif seperti kenapa perkara ini berlaku atau siapa bersalah, ia harus diimbangi dengan pemikiran yang positif iaitu menerima bahawa ini ujian kehidupan walaupun berat, tetapi mungkin ada kebaikan di sebaliknya,” katanya.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tahu bukan anak kandung selepas 20 tahun, ayah berubah pendiam

KUALA LUMPUR, 28 JUN: Kesilapan meletakkan tanda nama ketika dilahirkan 20 tahun lalu, dipercayai akibat kecuaian kakitangan sebuah hospital di Kota Bharu, Kelantan sehingga menyebabkan Noratirah Husin ‘tertukar’ ibu bapa, meninggalkan kesan mendalam kepada wanita itu.

Tambahan lagi, ‘ayah’ yang membelanya selama ini, Husin Omar meninggal dunia pada usia 64 tahun akibat sakit jantung pada November tahun lepas, selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) diketahui pada September 2019 yang mengesahkan dia bukan anak kandung lelaki itu.

Bagi Noratirah, ujian yang terpaksa ditanggung oleh ‘ayahnya’ itu amat berat dan kesedihan yang dialami bertimpa-timpa kerana ia terjadi tidak sampai dua tahun selepas pemergian ‘ibunya’ Rahmah Isa, yang meninggal dunia pada 2018 akibat kencing manis serta dua lagi saudaranya dalam tempoh itu.

“Saya sudah boleh menduga keputusan DNA itu kerana Adryani Iwani mempunyai banyak persamaan dengan saya. Sebaik ayah mengetahui tentang perkara itu, arwah mula berubah dan lebih banyak berdiam diri serta sering kali termenung.

“Pada sekitar September tahun lepas ketika di rumah, saya menerima panggilan telefon daripada mama (ibu kandung Siti Aminah Ismail) yang memaklumkan hal keputusan ini (DNA), jadi saya buka pembesar suara telefon supaya adik-beradik lain dan arwah ayah (Husin) pun dapat dengar apa yang mama ingin sampaikan,” katanya kepada Bernama.

Katanya, selepas dimaklumkan keputusan itu, arwah ayah terus menangis dan secara tiba-tiba dia mengadu sakit dada sambil menzahirkan rasa bimbang hendak melepaskannya memandangkan dia adalah anak bongsu daripada 12 beradik yang tidak pernah berpisah dengan keluarga.

Noratirah berkata, arwah ayahnya turut meluahkan perasaan terkilan kerana dia tidak dapat berjumpa dengan bapa kandungnya Ibeni Yanin Mohd Salleh yang telah meninggal dunia lebih awal (2009) dan begitu juga dengan Adryana Iwani yang tidak dapat berjumpa dengan ibu kandungnya Rahmah Isa (meninggal dunia 2018).

Noratirah yang sedang mengikuti pengajian Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Kolej Poly-Tech Mara Cawangan Kota Bharu, berkata beliau kini tinggal bersama ibu kandungnya selepas ‘ayahnya’ (Husin) meninggal dunia, ditambah lagi adik-beradik lain sudah berkeluarga.

“Walaupun saya telah tinggal dengan mama, tapi kami adik-beradik sebelah ayah (Husin) tetap berhubung, kalau ada masa hujung minggu akan berkumpul di rumah ayah, tapi disebabkan sekatan pergerakan penuh yang dilaksanakan kini, kami bertanya khabar antara satu sama lain melalui telefon sahaja,” katanya.

Adryani Iwani Ibeni Yanin pula menceritakan, ibunya, Siti Aminah terduduk dan hanya mampu menangis apabila mengetahui bahawa Adryana Iwani tertukar dan bukan anak kandungnya.

Menurut Adryani Iwani, sebaik ibunya menerima keputusan DNA berhubung kedudukan ‘kembarnya’ itu pada September, perasaan ibunya tidak tenteram kerana bimbang perkara itu akan mengganggu psikologi ‘anaknya’ itu.

“Selepas terima keputusan, mama terkejut dan panggil saya berjumpa di bilik untuk mengelakkan Ana (panggilan untuk Adryana Iwani) tahu. Mama bagi tau, betullah Ana bukan anak mama dalam keadaan menangis. Beliau enggan percaya dengan perkara itu kerana terlalu menyayanginya.

“Ketika itu, saya hanya mampu memujuk mama kerana risau Ana mendengarnya dan mama meminta saya supaya merahsiakan perkara itu daripadanya kerana tidak mahu dia berkecil hati,” katanya.

Sementara itu, Adryana Iwani yang tertukar dalam kejadian itu menzahirkan perasaan sedih kerana hanya sempat mengenali ayah kandungnya (Husin) itu kira-kira dua bulan sebelum meninggal dunia.

“Sudah pasti saya sedih, tahu-tahu kita ada keluarga lain selepas 19 tahun terpisah, lagi sedih saya tak pernah jumpa dan mendapat kebahagian daripada ibu kandung sendiri. Disebabkan salah orang lain, kami yang menanggung derita,” luahnya yang mengakui gred purata nilai kumulatif (CGPA) pengajiannya turut terjejas akibat kejadian itu.

Ditanya bagaimana dia berdepan situasi getir itu, mahasiswa Pentadbiran Korporat Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban, Negeri Sembilan itu, berkata dia tidak mahu melihat ‘ibunya’ susah hati mengenangkan dirinya sekiranya melihat dia asyik menangis memikir perkara yang telah terjadi.

Mengenai perkenalan dengan arwah ayahnya dalam masa yang singkat, Adryana Iwani berkata dia sendiri dapat merasai ‘aura’ bapa kandungnya selepas kali pertama berjumpa.

“Pada kali pertama berjumpa, perasaan saya itu bercampur baur, seronok pun ada dapat jumpa ayah kandung, tapi sedih pun ada sebab takut dia tidak boleh terima baik buruk saya kerana selama ini Noratirah antara anak kesayangannya.

“Tapi saya bersyukur kerana adik-beradik lain layan saya macam adik sendiri dan keluarga pun semakin bertambah besar,” katanya yang sempat menerima cincin daripada ayahnya dan meninggalkan pesan untuk terus hormat kepada keluarga yang membesarkannya terutama ‘ibunya’, Siti Aminah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kisah tragis, kembar terpisah 20 tahun akibat cuai

KUALA LUMPUR, 27 JUN: Bagaikan kisah dalam sinetron, dua keluarga terpaksa melalui kisah tragis apabila tiga bayi yang dilahirkan 20 tahun lepas, rupa-rupanya tertukar dipercayai akibat kecuaian petugas kesihatan sebuah hospital di Kota Bharu, Kelantan.

Lebih memeritkan, kejadian itu hanya disedari apabila Adryani Iwani Ibeni Yanin, 20, ‘kembarnya’ Adryana Iwani, 20, dan kembar sebenarnya Noratirah Husin, 20, telah dewasa dan disahkan September tahun lepas selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dilakukan.

Adryani Iwani berkata kejadian itu mula terbongkar semasa dia berada di tingkatan empat sewaktu mengikuti kem motivasi apabila secara tidak sengaja berjumpa dengan pelajar dari sekolah lain yang mendakwa mukanya seiras dengan rakan sekolah mereka, Noratirah.

“Saya kemudian meminta gambar Noratirah daripada pelajar itu sebelum dia berkongsi akaun Instagram Noratirah yang dikatakan seiras dan sebaya dengan saya.

“Apabila saya maklumkan perkara itu kepada kakak, dia mengiakan persamaan ketara wajah kami, namun mama (panggilan untuk ibu) berpandangan sebaliknya menyebabkan saya tidak ambil peduli selepas itu dan menganggapnya seperti pelanduk dua serupa,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bagaimanapun bagaikan telah ditakdirkan, mereka akhirnya bertemu buat kali pertama secara bersemuka di Karnival Jom Masuk U di sebuah pasar raya di Kota Bharu pada Mac 2019 menyebabkan masing-masing terpana apabila melihat persamaan yang ketara dari segi wajah dan tubuh badan.

“Saya terkejut, sebelum ini hanya dengar daripada kawan-kawan kata ada orang muka sama dengan saya, sekali tengok, eh…betullah ada orang muka serupa dengan saya. Belum pernah lagi saya berhadapan dengan perkara sedemikian,” katanya.

Menurutnya, akibat terlalu terkejut masing-masing hanya berpandangan antara satu sama lain dan berlalu tanpa menyapa, namun perkara itu disedari oleh rakan-rakan yang lain.

Katanya, kejadian itu tidak berakhir di situ dan ia berlarutan hingga Ogos tahun lepas apabila seorang rakannya memaklumkan tarikh lahirnya sama dengan Noratirah iaitu pada 19 Ogos selepas dia memuat naik dalam media sosial gambar majlis sambutan hari lahirnya yang diadakan di rumah.

Menurutnya, Noratirah kemudian menghubunginya melalui Instagram dan bertitik tolak daripada itu, banyak perkara dibincangkan dan mendapati terlalu banyak persamaan untuk disifatkan sebagai kebetulan menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk melakukan ujian DNA.

“Selepas berbincang, kedua-dua keluarga sepakat melakukan ujian DNA di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan bagi mengenal pasti sama ada terdapat pertalian antara kami,” katanya.

Pelajar Diploma Kejururawatan berkenaan menjelaskan, ujian DNA itu dilakukan menggunakan sampel darah melibatkan dirinya, ibunya Siti Aminah Ismail, 66, Adryana Iwani, Noratirah dan ‘bapa’ Noratirah, Husin Omar.

“Apabila keputusan keluar, kami amat terkejut terutama mama yang terduduk dan menangis setelah mengetahui keputusan ujian DNA ialah 99.99 peratus menunjukkan saya dan Noratirah ialah pasangan kembar, anak kepada Ibeni Yanin Mohd Salleh dan Siti Aminah.

“Adryana Iwani yang sebelum ini didaftarkan sebagai pasangan kembar saya pula ialah anak kandung kepada Husin Omar dan Rahmah Isa (telah meninggal dunia pada 2018) yang sebelum itu telah membesarkan Noratirah,” katanya.

Sementara itu, kakak Adryani Iwani, Ayu Haryani, 42, pula berkata ibu mereka memaklumkan, doktor yang bertugas tidak pernah memaklumkan sama ada kembar yang dilahirkan ketika itu adalah kembar seiras atau sebaliknya.

“Tetapi disebabkan tag nama di kaki kedua-dua mereka nama mama, jadi keluarga kami tidak pernah terfikir tentang perkara itu dan beranggapan mereka kembar tidak seiras,” katanya.

Ayu Haryani berkata berdasarkan rekod pada sijil kelahiran, Noratirah dilahirkan pada 1.14 pagi, diikuti Adryana Iwani pukul 1.27 pagi dan kemudian Adryani Iwani 1.34 pagi.

Menurutnya, apabila diketahui keputusan ujian DNA, ibu mereka tidak dapat menerimanya dan pada peringkat awal, perkara itu juga tidak didedahkan kepada sesiapa pun kerana risau ia memberi kesan psikologi terutama kepada Adryana Iwani.

Katanya, walaupun keputusan ujian DNA sudah diketahui, Ayu Haryani berkata keluarganya itu tetap menganggap Adryana Iwani sebahagian daripada sembilan adik-beradiknya dan akan memintanya untuk terus tinggal bersama memandangkan adik-beradik kandungnya yang lain semuanya sudah berkahwin.

“Ibu kandungnya pula sudah tiada manakala ayahnya meninggal dunia selepas dua bulan ujian DNA diketahui,” katanya dan menambah mereka sekeluarga telah melantik peguam dan kini dalam proses mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang berkenaan.

Pada masa sama juga Noratirah yang sebelum ini tinggal bersama ‘ayahnya’ di Kampung Pulau Kundur, Kota Bharu telah berpindah tinggal bersama keluarga kandungnya di Kampung Langgar, Kota Bharu sejak Januari lepas.

— BERNAMA