Categories
SELANGOR

‘Bukan kerana wang, ini soal bersihkan maruah’ – ibu Aminulrasyid

OLEH : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 MAC: Tiada yang lebih menggembirakan hati seorang ibu melainkan nama anak tersayang dibersihkan daripada tomahan umum selepas menanti hampir enam tahun.

Ibu Allahyarham Aminulrasyid Amzah, Norsiah Mohamad, 67, tidak putus mengucapkan rasa syukur kepada Allah SWT susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam yang membenarkan tuntutan ganti rugi mereka selepas tiga tahun menanti.

Ibu AminulrashidBaginya, wang bukanlah matlamat utama menuntut keadilan, sebaliknya maruah keluarga yang selama ini tercemar mesti dibersihkan mengikut saluran undang-undang.

“”Bukan kerana wang, ini soal bersihkan maruah. Saya hanya minta mereka (mahkamah) bersihkan nama anak saya.

“Bersyukur teramat sangat kerana apa yang saya minta selama ini telah Allah kabulkan,” katanya kepada media selepas ditemui di rumahnya hari ini.

MB ZIARAH 2Beliau sekeluarga menerima kunjungan Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan pimpinan Kerajaan Negeri yang datang memberikan sokongan moral kepada keluarga susulan keputusan mahkamah semalam.

Mahkamah mengumumkan ganti rugi RM414,800 termasuk RM100,000 bagi kemungkiran awam yang dilakukan Tan Sri Khalid Abu Bakar yang ketika itu Ketua Polis Selangor selain memerintahkan defendan membayar kos RM50,000.

AMINULRASHIDSaman difailkan kakak Allahyarham Nor Azura, 46, bersama ibunya pada 17 April 2013 atas kapasiti sebagai pentadbir harta Aminulrasyid.

Masing-masing sebagai plaintif pertama dan kedua untuk menuntut ganti rugi atas alasan kecuaian Koperal Jenain Subi, 54, dan tiga yang lain.

-nR-

Categories
SELANGOR

Ibu Aminulrasyid Fail Saman Kerajaan Malaysia RM50 Juta

Gambar kes aminulrasyid 01

SHAH ALAM, 17 APRIL : Ibu remaja yang ditembak mati pada 2009, Aminulrasyid Amzah, 14, memfailkan saman berjumlah RM50 juta terhadap Korperal Jenain Subi dan empat lagi defendan.

Dalam writ saman itu yang difailkan menerusi peguamcara plantif Tentuan Daim dan Gamany turut menamakan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Bekas Ketua Polis Shah Alam ; Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Polis Negara serta Kerajaan Malaysia.

Ibunya, Norsiah Mohamad bersama kakak mangsa, Nor Azura Amzah diwakili tiga peguam iaitu N Surendran, Latifah Koya dan Eric Paulsen.

Tuntutan itu dibuat berdasarkan asas-asas pencabulan hak asasi manusia yang membawa kepada tuntutan sivil.

Bercakap kepada pemberita, Surendran berkata tuntutan itu adalah asas terhadap pencabulan hak asasi mangsa.

“Kita menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk atau teladan kerana kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan polis.

“Kes ini juga satu deklarasi bahawa defendan dengan sengaja dan berniat jahat melanggar hak asasi mangsa,” katanya ketika ditemui.

Beliau menambah pihak keluarga turut kecewa kerana hanya seorang polis yang didakwa seterusnya dibebaskan oleh mahkamah.

“Selepas tiga tahun kes ini berlaku, tiada seorang pun yang dihukum atau dilihat bertanggungjawab bagi kes ini.

“Malah, Khalid Abu Bakar mengeluarkan kenyataan menuduh mangsa sebagai penjenayah sedangkan di dalam mahkamah, tidak ada sebarang bukti dikeluarkan,” katanya.

Selain itu, Eric berharap kes itu akan dapat mengubah pendirian polis terhadap ‘budaya kebal’ pihak berkuasa.

“Polis tidak boleh bertindak sesuka hati, sudah banyak kes yang berlaku, jadi perlu ubah keadaan supaya mereka tidak boleh bertindak sesuka hati,” katanya.

Sementara itu, Norsiah berkata pihaknya tidak mahu memberikan sebarang komen dan menyerahkan semuanya kepada peguam mereka.

Pada 26 April 2009, Aminulrasyid mati ditembak polis dalam insiden kejar mengejar antara kereta yang dipandunya dan penumpang yang juga rakannya, Mohd Azamuddin Omar dengan pasukan peronda.

Disebabkan itu, Korperal Jenain didakwa.

Bagaimanapun, beliau dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 5 Disember tahun lalu selepas menerima rayuannya.