Categories
NASIONAL

Tan Sri Khalid Abu Bakar bersara secara rasmi KPN

KUALA LUMPUR 3 SEPT: Tan Sri Khalid Abu Bakar akan menamatkan perkhidmatannya secara rasmi sebagai Ketua Polis Negara pada satu majlis serah terima tugas di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) di sini, Isnin.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadual menyaksikan majlis serah terima tugas jawatan tertinggi dalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM) itu.

Khalid berkata persaraannya, yang dibuat awal sehari sebelum hari lahirnya pada Selasa ini, diputuskannya sendiri.

“Ya, memang benar saya akan bersara esok… perancangan saya selepas ini adalah mengikuti kelas memasak di Malaysian Institute of Baking di Petaling Jaya,” katanya.

POLIS BIRU 2 4x4Khalid akan diraikan pada majlis Perbarisan Khas sempena persaraan beliau di Padang Kawad, Pulapol yang dijadual pada 2.30 petang Isnin.

Khalid, yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, berpengalaman lebih 40 tahun dalam PDRM selepas memulakan khidmatnya dengan pasukan keselamatan itu sebagai inspektor pada 5 Disember 1976.

Antara jawatan penting yang pernah disandangnya adalah Ketua Polis Negeri Sembilan (2005), Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (2006) dan Ketua Polis Selangor (2007), Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (2010) dan Timbalan Ketua Polis Negara (2011).

Khalid dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada 17 Mei 2013 bagi menggantikan Tan Sri Ismail Omar yang tamat tempoh pelantikan secara kontrak.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

PKR Seru JPM Jangan Ganggu Keluarga Dharmendran – BULETIN 13

Sinopsis

BULETIN 13 Untuk 29052013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Henti mengganggu keluarga mendiang N Dharmendran, yang mati dengan kesan kecederaan pada tubuh selepas ditahan polis, seru Parti Keadilan Rakyat kepada Kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak

2. Suaram mengulangi gesaan supaya Suruhanjaya Aduan & Salahlaku Polis atau IPCMC ditubuhkan dengan segera, selaras dengan saranan Suruhanjaya Penambahbaikan Perjalanan & Pengurusan PDRM.

3. Parti Keadilan Rakyat membidas Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar sebagai tidak cekap menjalankan tugas.

4. Pakatan Rakyat hari ini mendedahkan lagi bukti bahawa terdapat keraguan dalam proses pengundian awal dan undi pos yang boleh memesongkan keputusan pilihanraya ke-13.

5. Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Saleh mendedahkan ‘Garis Panduan Tatacara Proses Pengundian’ yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) bagi mengatasi masalah kesesakan di saluran tempat mengundi didakwa tersirat dengan cubaan membolehkan pengundian berganda.

6.Sebutan kes melibatkan Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad yang didakwa berhubung penganjuran himpunan besar-besaran Black 505 di Kelana Jaya pada 8 Mei lalu, ditetapkan pada 26 Ogos depan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

Categories
SELANGOR

Ibu Aminulrasyid Fail Saman Kerajaan Malaysia RM50 Juta

Gambar kes aminulrasyid 01

SHAH ALAM, 17 APRIL : Ibu remaja yang ditembak mati pada 2009, Aminulrasyid Amzah, 14, memfailkan saman berjumlah RM50 juta terhadap Korperal Jenain Subi dan empat lagi defendan.

Dalam writ saman itu yang difailkan menerusi peguamcara plantif Tentuan Daim dan Gamany turut menamakan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Bekas Ketua Polis Shah Alam ; Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Polis Negara serta Kerajaan Malaysia.

Ibunya, Norsiah Mohamad bersama kakak mangsa, Nor Azura Amzah diwakili tiga peguam iaitu N Surendran, Latifah Koya dan Eric Paulsen.

Tuntutan itu dibuat berdasarkan asas-asas pencabulan hak asasi manusia yang membawa kepada tuntutan sivil.

Bercakap kepada pemberita, Surendran berkata tuntutan itu adalah asas terhadap pencabulan hak asasi mangsa.

“Kita menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk atau teladan kerana kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan polis.

“Kes ini juga satu deklarasi bahawa defendan dengan sengaja dan berniat jahat melanggar hak asasi mangsa,” katanya ketika ditemui.

Beliau menambah pihak keluarga turut kecewa kerana hanya seorang polis yang didakwa seterusnya dibebaskan oleh mahkamah.

“Selepas tiga tahun kes ini berlaku, tiada seorang pun yang dihukum atau dilihat bertanggungjawab bagi kes ini.

“Malah, Khalid Abu Bakar mengeluarkan kenyataan menuduh mangsa sebagai penjenayah sedangkan di dalam mahkamah, tidak ada sebarang bukti dikeluarkan,” katanya.

Selain itu, Eric berharap kes itu akan dapat mengubah pendirian polis terhadap ‘budaya kebal’ pihak berkuasa.

“Polis tidak boleh bertindak sesuka hati, sudah banyak kes yang berlaku, jadi perlu ubah keadaan supaya mereka tidak boleh bertindak sesuka hati,” katanya.

Sementara itu, Norsiah berkata pihaknya tidak mahu memberikan sebarang komen dan menyerahkan semuanya kepada peguam mereka.

Pada 26 April 2009, Aminulrasyid mati ditembak polis dalam insiden kejar mengejar antara kereta yang dipandunya dan penumpang yang juga rakannya, Mohd Azamuddin Omar dengan pasukan peronda.

Disebabkan itu, Korperal Jenain didakwa.

Bagaimanapun, beliau dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 5 Disember tahun lalu selepas menerima rayuannya.

Categories
SELANGOR

MyWATCH : Kadar Jenayah Semakin Meningkat, Kerajaan Perlu Bertindak

PETALING JAYA, 28 NOV : NGO Malaysian Crime Watch Task Force (MyWATCH) mendakwa statistik Kerajaan Pusat tidak melambangkan realiti sebenar di mana kes-kes jenayah semakin menular sehingga anggota polis menjadi mangsa.

Pengerusinya, R Sri Sanjaven berkata masyarakat kini dibelenggu rasa ketakutan kerana jenayah boleh berlaku tidak mengira waktu dan tempat.

“Kita sekarang dalam keadaan tidak selamat lagi, kejadian kecurian dan pembunuhan semakin meningkat itupun kerajaan mendakwa bahawa negara masih lagi selamat,” katanya di dalam satu sidang media di sini semalam.

Hadir bersama Mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang juga penaung MyWatch.

Sebelum ini, Unit Pencegahan Jenayah Pemandu telah mengeluarkan angka yang menunjukkan penurunan indeks jenayah sebanyak 11.1 peratus dari 2010 sehingga tahun lalu, manakala jenayah jalanan menurun 39.7 peratus pada tempoh sama.

Akan tetapi statistik tersebut dipertikaikan Sanjaven yang merujuk kepada kes berprofil tinggi seperti kecurian kereta Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar yang ketika itu menjawat Ketua Polis Selangor.

Malah juga terdapat cubaan untuk merompak rumah Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye turut Oktober lepas.

Ujar beliau, kerajaan perlu memberi penjelasan dan telus dalam mengumumkan indeks statistik jenayah.

Dalam pada itu, Musa berkata pihak polis dan kerajaan sewajarnya melantik pihak ketiga yang bebas seperti universiti untuk memberikan data statistik jenayah.

Katanya semasa beliau menjadi Ketua Polis Negara, pakar-pakar bebas yang mempunyai pengalaman luas dipanggil bersama untuk membuat kajian berkenaan indeks statistik jenayah.

“Semasa menjadi KPN, kita mendapatkan geran daripada kerajaan untuk Universiti Sains Malaysia (USM) untuk membuat penyelidikan terhadap statistik kadar jenayah dari pihak polis.

“Kajian itu telah dijalankan oleh Professor Sundramorthy, dan program itu sepatutnya terus berjalan sehingga kini,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pei Nei – Segerakan Pembinaan Balai Polis Bandar Country Homes

KUALA LUMPUR, 15 OKT : Kementerian Dalam Negeri diminta menyegerakan pembinaan balai polis di Bandar Country Homes, Rawang kerana kadar jenayah kawasan itu semakin meningkat.

Pada masa kini, hanya 10 anggota polis bertugas di Balai Polis Komuniti Bandar Country Homes dan penduduk merasakan anggota tersebut tidak cukup untuk mengekang kadar jenayah di kwasan mereka.

Adun Rawang Gan Pei Nei berkata beliau sudah mengajukan surat kepada pihak polis pada tahun 2009 tetapi permintaan mereka tidak mendapat maklumbalas daripada kerajaan pusat.

“Penduduk yang datang kepada kita melihat sebagai satu permintaan yang mendesak,” katanya dalam satu sidang media

Turut hadir sama, Ahli Parlimen Selayang, William Yong dan wakil Jawatankuasa penduduk Bandar Country Homes, Gunaraj George.

Jelas Pei Nei, sebidang tanah seluas lapan ekar telah digazetkan oleh pihak pemaju untuk pembinaan balai polis dan kuarters anggota.

Namun sehingga sekarang tiada keutamaan yang diberikan meskipun satu surat rasmi telah diajukan pada tahun 2009 kepada Ketua Polis Selangor ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

“Pada waktu itu, maklum balas yang diberikan adalah meraka katakan sudah masuk dalam kajian perancangan Malaysia.

“Tetapi selepas tiga tahun, kita tidak boleh tunggu lagi sebab keselamatan penduduk disitu begitu terancam,” katanya yang turut mewakili Jawatankuasa Penduduk Bandar Country Homes.

Jumlah penduduk Bandar Country Homes kini hampir 50,000.

Menurut Pei Nei, antara kejadian jenayah yang berlaku adalah rompakan tabung Masjid Cahaya Iman meskipun memiliki kamera litar tertutup (CCTV) serta kamera berkenaan dirosakkan.

Selain itu, dalam tempoh tiga hari, hampir tiga buah rumah dipecah masuk selain nasib malang yang dihadapi Sekolah Agama Rakyat berhampiran ekoran kehilangan komputer sekolah.

Tegasnya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein perlu turun sendiri melihat keadaan pondok komuniti berkenaan selain meninjau keadaan anggota polis yang tidak mempunyai keharmonian suasana kerja ketika bertugas.

Beliau menambah, anggota polis dari Balai Polis Rawang terpaksa turun membantu sekiranya berlaku sebarang kes besar.

Categories
NASIONAL

Guan Eng : CJMY Lebih Telus Dari Media Perdana

PULAU PINANG 21 MEI : Sesuatu berita itu seharusnya disampaikan dengan penuh profesionalisme dan integriti tanpa mengabaikan nilai-nilai kemanusiaan, demikian ucap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ketika menghadiri Malam Gala Konferens CJMY (Kewartawanan Warganegara Malaysia) di sini baru-baru ini.

Beliau turut melahirkan rasa senang hati dengan kewujudan Kewartawanan Warganegara yang dilihat lebih telus dalam menyampaikan berita yang kebanyakkannya sengaja diabaikan oleh media arus perdana.

“Sejak akhir 2008, Kewartawanan Warganegara di seluruh Malaysia tanpa mengenal penat lelah menyampaikan berita dari semua aspek termasuk cerita-cerita yang sentiasa diketepikan oleh media arus perdana selama ini.

“Secara tidak langsung, usaha ini memberi ruang dan peluang kepada penonton dan pembaca untuk melihat sisi lain sesuatu cerita atau berita, yang biasanya tidak hadir dalam laporan media arus perdana,” ucap Guan Eng yang turut bertindak melancarkan Portal Terbaru CJMY.

Dalam majlis yang sama juga, beliau mengutuk sekeras-kerasnya sikap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang disifatkannya memalukan Malaysia.

“Mereka tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pelaku yang melakukan aksi memualkan di hadapan rumah Pengerusi Bersama Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan malah ketiadaaan sebarang tindakan seolah-olah merestui segala perbuatan yang tidak senonoh itu.

“Sedangkan Datuk Ambiga tidak melakukan sebarang jenayah, dia tidak meletupkan orang dengan C4, tidak menyalahgunakan dana rakyat membeli kondominium tetapi dia diperlakukan seolah-olah dia mengancam negara sehingga ingin dipenjarakan dan ingin dibuang negeri,” tegas Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP.

Mengulas lanjut, beliau berkata segala perbuatan tidak bermoral terhadap Ambiga hanya tindakan terdesak dan dengki Umno-BN ekoran kejayaan Bersih 3.0 mengumpulkan 300, 000 rakyat demi menuntut pilihanraya yang bersih dan adil.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Maria Chin: Jangan Layan 120 Orang Peserta BERSIH Macam Penjenayah

SHAH ALAM, 15 MEI : Polis perlu menghantar surat pemberitahuan lebih awal kepada 120 orang peserta BERSIH 3.0 sebelum bertindak menahan atas dakwaan menimbulkan kekacauan semasa himpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Maria Chin yang juga Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH 3.0 mengesa agar polis tidak melayan kesemua peserta ini sebagai penjenayah kerana banyak kaedah lain untuk mendapatkan kerjasama daripada mereka ini.

Menurutnya, jika polis ingin meminta kerjasama peserta BERSIH 3.0, polis perlu bertindak secara professional dengan tidak hanya menggertak dan menakut-nakutkan mereka supaya hadir ke balai polis sebelum tindakan diambil.

“Jika benar polis mempunyai nama mereka, kenapa tidak menghantar surat pemberitahuan kepada mereka yang terlibat dan bukannya hanya menyiarkan gambar mereka di dada akhbar-akhbar,” katanya ketika dihubungi  hari ini.

Katanya, penangkapan 120 orang ini merupakan salah satu bentuk gangguan dan  tidak seharusnya berlaku kerana polismempunyai data yang diperlukan untuk mengetahui alamat peserta-peserta BERSIH 3.0 ini.

Sementara itu, mulai esok polis akan mencari 120 orang baki individu-individu yang disyaki terlibat mencetuskan rusuhan pada himpunan bantah terhadap keengganan Suruhanjaya Pilihanraya(SPR) menunaikan lapan tuntutan bagi membaiki sistem pilihanraya di Malaysia.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar sebelum ini dipetik berkata, polis tidak memerlukan waran tangkap untuk menahan mereka kerana terlibat dengan kesalahan lazim seperti merusuh dan polis berhak menahan sesiapa sahaja untuk siasatan.

Maria Chin juga menasihati mana-mana individu yang akan dipanggil polis tidak perlu panik dan jangan melawan polis tetapi perlu mendapatkan nama pegawai, balai polis serta nombor pegawai yang menghubunginya.

“Individu-individu terbabit akan diberi khidmat guaman atau boleh terus menghubungi pihak SUARAM atau Ahli Jawatankuasa Bersih 3.0 dan jangan menghadirkan diri ke balai polis seorang diri,” jelasnya lagi.

Nombor yang boleh dihubungi adalah 03-77723275 atau 016-9670921 bagi mendapatkan khidmat nasihat atau bantuan guaman yang telah disediakan.