Categories
SENI

Merapat Renggang kembalikan ‘daerah yang tertinggal’ ke pusar masyarakat

Oleh Hafiz Hamzah

DENGAN matlamat mengisi kelompongan penerbitan berbahasa Melayu dengan nuansa serius, sebuah jurnal seni budaya dengan judul Obscura: Merapat Renggang berusaha meletakkan hal seni dan budaya kembali ke tengah-tengah masyarakat.

Ia sekaligus bertujuan menyuntik perbincangan dan penulisan yang lebih terbuka dan segar.

Tidak hanya mencakupi pelbagai aspek penulisan seperti esei, cerpen, sajak serta terjemahan serpihan karya sastera agung dari bahasa asing seperti Yunani dan Jerman, jurnal itu juga menampilkan artikel perbincangan.

GM-Pelancaran ObscuraIa meliputi perbincangan mengenai filem, seni lukis, teater dan buku yang menjadi teras kepada penerbitan ini.

Jurnal itu membawa matlamat yang cukup jelas iaitu  menerbitkan bahan-bahan yang mampu merancakkan perbincangan terhadap seni budaya, satu ‘daerah’ yang sering kelihatan tertinggal ketika kita membincangkan dengan rancak soal kehidupan sosial dalam bernegara terutama di Malaysia.

Antara karya asing yang diterjemah dan termuat dalam terbitan sulung jurnal ini ialah dari Homer, Franz Kafka, Ernest Hemingway dan Mark Twain.

Penerbitan itu turut menampilkan tulisan asli penulis serantau dan Malaysia seperti Goenawan Mohamad, WS Rendra, Iqbal, Nabila Najwa, Shaira Amira, Wahyudi Yunus dan ramai lagi.

Antara penterjemah yang karyanya turut termuat dalam edisi sulung ialah Za’ba, Khalid Jaafar, Eddin Khoo, Pauline Fan dan Amaluddin Zhafir.

Obscura - Journal - No.1 - Cover_Page_1Dalam kemeriahan penerbitan persendirian yang diterajui ramai orang muda – yang rancak menerbitkan pelbagai produk masing-masing kebelakangan ini, kepekaan penggunaan bahasa Melayu dengan sewajarnya masih ketinggalan.

Kami tidak berhasrat untuk mengikut jalan ini, sebaliknya berusaha meletakkan kembali bahasa itu di tempatnya – yang tentunya tidak tertakluk kepada cara berbahasa gaya institusi yang melihat bahasa sebagai perkara yang seragam (uniform).

Obscura – ditubuh pada 2011, sebuah penerbitan mandiri yang menerbitkan buku seputar hal sastera dan seni budaya, ingin meraikan keunikan penggayaan bahasa Melayu yang beragam, lebih kuat dan berakar.

Dalam banyak keadaan, kata ‘sastera’, ‘seni’ dan ‘budaya’ sering terkesan memencilkan dirinya ke satu sudut yang kononnya hanya boleh dihadap dan difahami oleh segelintir orang sahaja.

Misalnya, konotasi yang menyebutkan ini; ‘orang sastera’ atau ‘orang seni’.
Untuk kami, itu bukan kesnya. Obscura bermaksud untuk memecahkan tanggapan itu. Sastera dan seni tidak hanya untuk segelintir tertentu, yang terpilih kononnya.

Obscura - Journal - No.1 - Cover_Page_2Ia sepatutnya boleh dicapai dan dinikmati oleh sesiapa pun yang berminat dan tidak terbatas kepada golongan tumpuan yang kecil semata; asal saja ia tidak membosankan.

Pada masa ini, Jurnal Obscura: Merapat Renggang berharga RM25 sudah mula beredar di acara kesenian, distro buku independen dan toko buku utama seluruh negara dan boleh ditempah melalui emel, [email protected].

Antara buku teribatan Obscura terdahulu ialah Sekuntum Pantun & 99 Kelopak Cinta (koleksi pantun) dan Bayang: 20 Fotograf Jepun (koleks fotografi).

– FZL