Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat beli-belah One Utama dibenar operasi semula

SHAH ALAM, 16 OKT: Pusat beli-belah One Utama, Bandar Utama dibenarkan kembali beroperasi mulai esok selepas ditutup sejak enam hari lalu, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan diambil berdasarkan langkah dan kawalan dibuat pengurusan pasar raya serta nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM).

“Pemilik premis dibenarkan membuat persiapan dan persediaan pada hari ini,” katanya pada sidang media secara langsung di Facebook.

Ismail Sabri berkata sehingga semalam, 6,000 individu disaring dan mereka disahkan positif kini berada di hospital.

“Individu tak bergejala diperintah menjalani kuarantin 14 hari manakala yang bergejala diminta membuat rawatan di klinik kesihatan,” katanya.

Pada 11 Oktober lalu, pusat beli-belah itu diarah tutup selepas sembilan individu disahkan positif virus Covid-19.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

63 kes positif babit Kluster Kompleks Beli-Belah One Utama

SHAH ALAM, 14 OKT: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Petaling memutuskan supaya pengurusan Kompleks Beli-Belah One Utama meneruskan saringan ke atas semua pekerja selepas 60 kakitangannya dikesan positif Covid-19.

Pegawai Daerah Johary Anuar berkata terdapat 63 kes positif melibatkan Kluster Kompleks Beli- Belah One Utama dengan 59 kes daripadanya di daerah Petaling dan baki empat kes di luar daerah.

“Pekerja yang positif akan dirawat di hospital dan kontak kepada pekerja positif perlu dikuarantin selama 14 hari serta menjalani saringan susulan sebelum diberi pelepasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan 16 pekerja pusat membeli belah dan 44 pekerja keselamatan positif wabak hasil saringan terhadap 6,000 kakitangan.

Pengerusi Jawatankuasa itu berkata pengurusan kompleks juga perlu memastikan syarikat keselamatan melantik pekerja baharu bukan terdiri daripada kontak rapat kes positif dan perlu menjalani saringan Covid-19 sebelum mula bekerja.

Menurut Johary seramai 110 pengunjung disaring hari ini selepas Kompleks Beli-Belah One Utama ditutup 14 hari bermula 11 Oktober lalu berikutan terdapat empat kes positif.

Pecahan kes Kluster Kompleks Beli-Belah One Utama:

1. Pekerja Pengurusan Kompleks : Satu

2. Pekerja kompleks : 15 kes (12 kes daerah Petaling + Tiga kes luar daerah)

3. Pekerja keselamatan : 44

4. Pengunjung : Tiga kes (Dua kes daerah Petaling + Satu kes luar daerah)

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kontak rapat kes Covid-19 One Utama perlu jalani saringan

SHAH ALAM, 13 OKT: Kontak rapat kepada kes positif Covid-19 di pusat membeli-belah One Utama, Bandar Utama perlu menjalani saringan selepas menerima pesanan daripada MySejahtera atau Pejabat Kesihatan Daerah Petaling.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Petaling Johary Anuar berkata bagaimanapun individu bergejala dikehendaki segera ke klinik kesihatan kerajaan berdekatan.

“Sekiranya tidak bergejala, anda dinasihatkan untuk membuat saringan Covid-19 di Dewan D’Kelana (Jalan Stadium SS 7/15, 47301 Petaling Jaya, Selangor) pada 14 dan 15 Oktober dari 9 pagi hingga 3.30 petang.

“Sementara itu, anda dinasihati untuk duduk di rumah, asingkan diri daripada ahli keluarga dan rakan serta pastikan tatacara operasi piawai (SOP) sentiasa dipatuhi,” katanya dalam kenyataan.

Pada 11 Oktober lalu, kompleks beli-belah berkenaan diarah tutup susulan empat kes positif Covid-19 dilaporkan membabitkan tiga pekerja dan seorang pengunjungnya.

Categories
AGENDA NASIONAL

1 Utama, kelab golf di PJ ditutup untuk saringan Covid-19

SHAH ALAM, 10 OKT: Pusat beli-belah 1 Utama dan Tropicana Golf & Country Resort di Petaling Jaya ditutup bermula esok bagi saringan kontak rapat Covid-19 serta proses nyahkuman.

Pegawai Daerah Petaling Johary Anuar berkata penutupan itu susulan terdapat empat kes Covid-19 di 1 Utama melibatkan tiga pekerja dan seorang pengunjung.

Sementara di kelab golf tersebut, lima kakitangannya disahkan positif.

“Jawatankuasa memohon kerjasama orang ramai yang mengunjungi dua tempat ini untuk tampil membuat saringan. Lokasi meliputi bahagian kosmetik dan wangian di aras G, Parkson Elite antara 30 September hingga 7 Oktober dan Mac City di aras dua antara 25 hingga 30 September,” katanya dalam kenyataan.

Johary berkata Pejabat Kesihatan Daerah Petaling akan membuat saringan di 1 Utama pada 14 dan 15 Oktober bermula jam 9 pagi hingga 2 petang.

Beliau berkata keutamaan saringan adalah kontak rapat kes sahaja iaitu pengunjung premis pada tarikh yang dinyatakan.

“Bagi mereka yang bergejala sebelum tarikh saringan diminta ke fasiliti kesihatan berdekatan dengan kadar segera untuk pemeriksaan dan rawatan,” kata beliau lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Paradigm Mall, 1 Utama sahkan kakitangan positif Covid-19

SHAH ALAM, 5 OKT: Pengurusan Paradigm Mall di Petaling Jaya hari ini mengesahkan seorang kakitangan butik pakaian di situ dikesan positif Covid-19.

Kompleks beli-belah itu memaklumkan staf tersebut dijangkiti melalui rakan sebiliknya yang bukan kakitangan di situ, yang pulang dari Sabah serta positif Covid-19, lapor Free Malaysia Today.

Katanya, individu berkenaan hanya berkunjung ke pusat beli-belah itu pada 2 Oktober lalu dan tidak menunjukkan sebarang gejala.

“Dia memohon cuti keesokannya dan sejak itu dilaporkan tidak bekerja. Semua staf dan individu yang berhubung secara langsung dengan staf itu sedang dikesan serta dinasihatkan kuarantin diri serta mendapatkan bantuan perubatan segera jika mula mempunyai gejala,” katanya dalam kenyataan.

Susulan itu, pusat beli-belah berkenaan akan segera menjalankan pembersihan dengan mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sementara itu, menurut laporan New Straits Times, 1 Utama turut mengesahkan seorang kakitangan dari salah sebuah premis di situ positif Covid-19.

Dalam kenyataannya, pihak pengurusan pusat beli-belah itu memaklumkan premis yang terletak di tingkat dua itu ditutup serta-merta untuk pembasmian kuman.

“Pesakit tidak masuk ke premis ini sejak habis waktu kerja pada 30 September dan bercuti keesokan harinya. Kami telah mengesan kemasukannya sebelum itu, termasuk tempat kerjanya dan mendapati suhu kakitangan itu bawah 37.5 darjah celsius,” kata pengurusan 1 Utama.