Categories
AGENDA EXCO NASIONAL SELANGOR

Pasar malam di Selangor ikut ketetapan PBT – EXCO

SHAH ALAM, 1 FEB: Operasi pasar malam seluruh negeri ini akan berjalan mengikut ketetapan dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

EXCO kerajaan tempatan berkata pendekatan itu sama seperti pembukaan pasar pagi sebelum ini yang ditentukan pihak majlis mengikut kesesuaian.

“Kaedah pengurusan dan kawalan setiap kawasan pasar tersebut adalah berbeza mengikut PBT masing-masing.

“Penjaja dan pengunjung pasar dikehendaki mematuhi SOP (tatacara operasi piawai),” kata Ng Sze Han ketika dihubungi semalam.

Rabu lalu, kerajaan mengemas kini SOP pasar malam ketika Perintah Kawalan Pergerakan dengan membenarkan operasinya dari jam 4 petang hingga 10 malam.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Penjaja minta kerajaan pertimbang benar operasi pasar malam

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) meminta agar kerajaan mempertimbang untuk membenarkan operasi pasar malam di enam negeri yang terlibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setiausaha Agungnya, Mohamed Zamri Mohammed berkata pihaknya akan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan bagi membolehkan pendapatan terus dijana dalam tempoh sukar ini.

“Golongan penjaja ini hampir keseluruhan terdiri daripada golongan B40, sebahagiannya ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ dan tiada simpanan, kalau seminggu dua mungkin masih boleh bertahan, tapi apa akan jadi jika PKP dilanjutkan,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk ‘PKP 2.0 Dan Darurat: Nasib Kumpulan Rentan’ terbitan Bernama TV malam tadi.

Mohamed Zamri berkata beliau yakin golongan penjaja mempunyai kesedaran dan pengetahuan untuk menjalankan perniagaan dalam normal baharu susulan pengalaman PKP pelbagai fasa sebelum ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata operasi pasar malam bagi tempoh PKP memerlukan model yang jelas agar memastikan matlamat mengekang Covid-19 tercapai tanpa mengabaikan kebajikan mana-mana pihak.

“Umpamanya, kalau dulu kita boleh masuk ke pasar malam dari mana-mana arah, mungkin boleh wujudkan dan hadkan laluan pintu masuk dan keluar dengan kawalan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA),” katanya.

Selain itu, Noor Azlan berkata tahap kesedaran dan disiplin masyarakat untuk membudayakan kawalan kendiri juga memainkan peranan sekiranya golongan penjaja dibenarkan berniaga dalam tempoh PKP.

– BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

Peniaga pasar malam berniaga ikut sistem giliran Isnin ini

SELAYANG, 19 JUN: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menetapkan peniaga pasar malam akan meneruskan semula operasi perniagaan mengikut sistem penggiliran mulai Isnin ini, kata pengarah jabatan pelesenannya.

Hairudin Daud berkata tatacara operasi piawai (SOP) ketat perlu dipatuhi peniaga dan pengunjung sepanjang kebenaran operasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) itu.

“Semalam, kita memanggil 46 pengelola pasar malam untuk diberi taklimat berkenaan SOP Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan dan MPS.

“Mereka faham garis panduan itu malah menyambut baik sistem penggiliran peniaga di tapak berkenaan kerana kita mahu kurangkan orang ramai berkumpul di lokasi terbabit,” katanya selepas lawatan ke beberapa pasar pagi dan tapak penjaja sekitar daerah itu hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan menjalankan pemantauan secara berterusan di semua tapak pasar malam bagi memastikan semua pihak mematuhi garis panduan dan MPS bekerjasama dengan polis untuk tujuan itu serta membuat laporan kepada pejabat daerah dan tanah setiap minggu.

Pada 12 Jun lalu, Kerajaan Negeri memutuskan membuka semula perniagaan pasar pagi dan malam serta bazaria secara berperingkat di lokasi terpilih sejak Isnin lalu.

Waktu operasi bagi pasar pagi, pasar terbuka dan pasar tani sewaktu PKPP adalah bermula pada 6 hingga 11 pagi manakala pasar malam bermula 4 petang hingga 10 malam.

Operasi bazaria pula hanya dibenarkan bermula pada 5 petang hingga 12 tengah malam.