Categories
EXCO SELANGOR

PKP: Pasar pagi dibenar mulai 6 pagi, kaedah berbeza ikut PBT 

SHAH ALAM, 17 JAN: Pasar pagi di Selangor dibenarkan beroperasi mulai esok dari 6 pagi hingga 12 tengah hari sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

EXCO kerajaan tempatan berkata kaedah pengurusan dan kawalan setiap kawasan pasar tersebut adalah berbeza mengikut ketetapan pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing.

“Keputusan dibuat selepas perbincangan bersama PBT. Memadangkan struktur dan operasi lokasi berbeza, ia akan ditentukan PBT mengikut kesesuaian dan keupayaan kawalan kawasan.

“Penjaja dan pengunjung pasar pagi dikehendaki mematuhi SOP (tatacara operasi piawai),” kata Ng Sze Han menerusi kenyataan hari ini.

Mulai Rabu lalu hingga 26 Januari ini, PKP dilaksanakan seluruh Selangor bagi mengekang penularan Covid-19 yang semakin meningkat.

Susulan itu hanya lima sektor yang dikategorikan sebagai bidang ekonomi penting membabitkan pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, serta perladangan dan komoditi dibenarkan beroperasi.

Categories
ADN SELANGOR

Pembukaan semula pasar catat aliran tunai lebih RM500,000 sehari

AMPANG, 19 JUN: Operasi perniagaan pasar pagi dan ekspo di Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai kini mencatatkan aliran tunai lebih RM500,000 sehari.

Ahli Dewan Negeri Teratai, Lai Wai Chong berkata ia satu perkembangan baik serta dapat membantu peningkatan ekonomi sejak sektor itu dibenarkan kembali beroperasi dengan kira-kira 270 peniaga dapat menjana semula pendapatan mereka.

“Walaupun berniaga secara penggiliran, keuntungan tetap diperoleh memandangkan hampir 1,500 hingga 2,000 individu datang ke tapak niaga membeli keperluan,” katanya.

Terdahulu Wai Chong menyertai EXCO Kerajaan Tempatan, Ng Sze Han meninjau tapak pasar pagi Taman Muda di sini.

Bermula Isnin lalu, sebanyak 417 pasar pagi dan malam serta bazaria seluruh Selangor dibuka berperingkat di lokasi terpilih dengan kaedah penggiliran mengikut ketetapan pihak berkuasa tempatan (PBT).