AMPANG, 19 JUN: Operasi perniagaan pasar pagi dan ekspo di Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai kini mencatatkan aliran tunai lebih RM500,000 sehari.
Ahli Dewan Negeri Teratai, Lai Wai Chong berkata ia satu perkembangan baik serta dapat membantu peningkatan ekonomi sejak sektor itu dibenarkan kembali beroperasi dengan kira-kira 270 peniaga dapat menjana semula pendapatan mereka.
“Walaupun berniaga secara penggiliran, keuntungan tetap diperoleh memandangkan hampir 1,500 hingga 2,000 individu datang ke tapak niaga membeli keperluan,” katanya.
Terdahulu Wai Chong menyertai EXCO Kerajaan Tempatan, Ng Sze Han meninjau tapak pasar pagi Taman Muda di sini.
Bermula Isnin lalu, sebanyak 417 pasar pagi dan malam serta bazaria seluruh Selangor dibuka berperingkat di lokasi terpilih dengan kaedah penggiliran mengikut ketetapan pihak berkuasa tempatan (PBT).