Categories
NASIONAL SELANGOR

Belantan, pistol renjat untuk penguatkuasa PBT

teng pc stripe tie 01SUBANG JAYA 24 SEPT : Pegawai Penguatkuasa di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor akan dilengkapi dengan peralatan keselamatan belantan renjat dan pistol renjat tidak lama lagi.

Exco Kajian, Penyelidikan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Teng Chang Khim berkata kelengkapan ini perlu supaya penguatkuasa dapat melaksanakan tugas mereka dalam keadaan selamat ketika menjalankan tugas seperti operasi serbuan atau rampasan.

Katanya, pihaknya sudah membuat sebut harga dan setakat ini hanya tunggu kelulusan dari Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).

“Kita sudah menghantar permohonan kepada SIRIM awal bulan ini dan kita masih menunggu kelulusan, jika sudah mendapat maklum balas kita akan terus laksanakannya,” katanya kepada pemberita seusai pembentangan Dialog Belanjawan 2014 yang bertajuk Pengukuhan Perkhidmatan PBT, di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya.

Senjata renjat menggunakan aliran elektrik untuk menganggu kawalan otot dan menyebabkan saraf otot kehilangan upaya buat seketika. Belantan dan pistol renjat itu tidak bertujuan untuk menyebabkan kesakitan melampau, kecuali penggunanya memilih mod tertentu.

Sebagai permulaan hanya anggota-anggota terlatih akan diberi kelengkapan itu.

“Peruntukkan saya masih lagi mempunyai baki RM1 juta. Jika sebut harga dan keputusan dari SIRIM itu dalam tempoh terdekat maka kita akan gunakan peruntukkan itu dan jika lambat, kita gunakan peruntukkan tahun depan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Teng memaklumkan Kerajaan Negeri dan PBT sedang mengkaji untuk memberi kenaikan elaun lebih masa kepada penguatkuasa. Turut diberi perhatian adalah kenaikan pangkat penguatkuasa.

“Penguatkuasa yang sedia ada akan ditawarkan bonus yang menarik serta elaun yang tinggi bagi mereka mempertingkatkan mutu kerja seterusnya menaikkan imej PBT,” katanya.

Sementara itu, Kerajaan Negeri mengkaji untuk melantik penguatkuasa secara kontrak bagi memantapkan lagi penyampaian khidmat PBT di wilayah masing-masing.